Recent Posts

Recent comments

Harga minyak sudah sepatutnya RM1.62

KUALA LUMPUR – Harga minyak dunia yang terus merudum ke paras AS50 (RM175) setong semalam, sewajarnya mendorong penetapan harga baru di bawah RM1.92 sen untuk pasaran tempatan.

Malah, kepada Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Abdul Rahim Anuar, masanya kini sudah sesuai untuk ia diselaraskan kepada RM1.62 seliter.

“Pada saya, harga runcit petrol seharusnya diturunkan kepada RM1.62 seliter, namun apa sahaja harga di bawah RM1.92 sebenarnya sudah pasti menggembirakan rakyat,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad semalam bahawa harga petrol mungkin diturunkan kepada RM2 selain cadangan penetapan paras minimum.

Mengenai cadangan itu, Abdul Rahim lebih selesa membiarkan harga runcit petrol dan diesel ditentukan oleh pasaran tanpa menetapkan paras minimum jika tidak mahu rakyat disekat daripada menikmati keselesaan ketika harga minyak dunia turun.

“Purata rakyat membelanjakan hampir 30 peratus pendapatan untuk membeli minyak dan jika kerajaan menurunkan lagi harga runcit petrol di bawah paras RM2, pendapatan boleh guna mereka akan meningkat,’’ jelasnya.

Dr Mahathir persoal dari mana pendapatan Zaid Ibrahim

| 0 comments

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim tidak menutup peguam Bumiputera jika pendapatannya yang tinggi datang daripada urusan-urusan berkaitan dengan kes-kes penswastaan kerajaan.

"Apakah mungkin pendapatan yang tinggi dan banyak ini datang daripada urusan-urusan berkaitan dengan kes-kes penswastaan Kerajaan dan lain-lain keperluan "conveyancing" Kerajaan? Ini sangkaan saya sahaja. Jika tidak benar tunjuk bukti yang ianya tidak benar.

"Jika benar patutkah bekas Menteri ini tutup mata pencarian yang lumayan ini kepada peguam Bumiputera yang lain kerana ingin dikenali sebagai seorang yang liberal yang tolak Dasar Ekonomi Baru dengan peluang-peluang untuk Bumiputera?" beliau mempersoalkan ketika mengulas kenyataan Zaid bahawa bahawa bayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang dipecat oleh tribunal dalam krisis kehakiman 1988 adalah bersesuaian.

"Saya bersetuju dengan Datuk Zaid Ibrahim, bekas (mantan) Menteri Undang-undang de fakto bahawa bayaran ex-gratia RM5 juta adalah bersesuaian jika dibanding dengan pendapatan peguam terkemuka di negara ini yang mencecah RM2 juta setahun.

"Bahawa peguam terkemuka di Malaysia mendapat RM2 juta setahun amat memberangsangkan saya. Jelas sekali saya telah pilih karier yang salah kerana Perdana Menteri mendapat hanya RM240,000 setahun. Ini tentulah kerana tanggungjawab Perdana Menteri tidak seberat peguam," kata Dr Mahathir dengan nada sinis yang menjadi kebiasaannya.

Dakwaan Zaid tentang pendapatan peguam terkemuka tentulah diasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai pemilik firma guaman yang mempunyai 100 peguam, kata Dr Mahathir.

"Saya tidak pernah baca berkenaan Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Undang-undang mempertahankan mana-mana penjenayah atau anak guam dalam mahkamah.

"Jadi saya tertanya-tanya daripada manakah datangnya pendapatan yang lumayan bagi firma guamannya dan sudah tentu dirinya sendiri," katanya.

Dengan nada sinis Dr Mahathir bertanya "apa perlunya dasar-dasar DEB selepas kita sudah sampai ke atas?"

"Buang sahajalah supaya orang lain tidak mendapat manfaat daripadanya".

Parti Keadilan sedang menggamit, katanya lagi.

"Tempat tertentu boleh dikosongkan supaya calon baru dapat mengisinya. Duit tak penting. Apabila pendapatan sudah sebanyak RM2 juta setahun siapa perlu jawatan Menteri yang tidak menjanjikan pendapatan yang setanding?"

ABIM pandang serius ada pihak protes fatwa

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat tindakan pihak-pihak tertentu menganjurkan protes umum atau membuat kritikan terbuka terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman perlakuan tomboy ataupun pengkid serta fatwa mengenai Yoga yang sedang dipertimbangkan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Yusri Mohamad berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan sumber rujuk utama bagi umat Islam di negara ini untuk mencari penyelesaian tentang sebarang kemusykilan mengenai hal-hal agama.

Katanya fatwa yang dikeluarkan akan melalui proses perbincangan yang teliti dan bersandarkan kepada sumber-sumber hukum sahih serta kaedah-kaedah perundangan Islam yang muktabar.

"Oleh sebab itu, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah. Jika pertikaian tetap timbul, ia hendaklah disalurkan ke proses perbincangan yang tertutup.

"Sama sekali tidak sesuai menjadi perbahasan di kalangan masyarakat awam lebih-lebih lagi jika dijadikan bahan untuk menganjurkan protes umum atau demonstrasi," katanya dalam satu kenyataan media.

ABIM katanya, khuatir tindakan pihak-pihak tertentu, terutama sekali pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mencetuskan suasana ketegangan dan perselisihan di kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat amnya di negara ini.

Pendekatan terbaik kata Yusri untuk menangani sebarang kemusykilan dan pertikaian mengenai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan disalurkan secara sihat melalui perbincangan-perbincangan ilmiah tertutup yang disertai oleh individu yang mempunyai kepakaran dalam isu yang dibincangkan.

"Kita cadang Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama yang berkenaan mengambil inisiatif lebih aggresif.

"Ini untuk menjelaskan kepada masyarakat umum rasional fatwa terbaru itu demi meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama di negara ini mengenai isu tersebut," katanya.

Bukan Cina tak boleh jadi PM Singapura realistik – Rais

PUTRAJAYA 10 Nov. – Pendirian kepimpinan Singapura yang menegaskan republik itu belum bersedia memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat menunjukkan penduduk negara itu sebenarnya bersikap realistik terhadap politik majoriti dan perkauman.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, berdasarkan pendirian itu, seluruh rakyat Malaysia juga seharusnya menerima hakikat bahawa majoriti yang memegang tauliah politik di negara ini ialah orang Melayu.

Menurut Rais, sejak tertubuhnya UMNO yang menjadi tulang belakang politik Malaysia pada 1946, orang Melayu merupakan kaum yang mempunyai kuasa politik terbesar.

‘‘Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong) sendiri mengakui belum sampai masanya orang Melayu (di Singapura) menjadi Perdana Menteri. Di Malaysia, inilah juga hakikat yang perlu dilihat.

‘‘Saya berani katakan bukan Melayu pun belum sampai masanya menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan ia tidak akan menjadi kenyataan sebab majoriti tenaga politik di sini ialah Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Calon Naib Presiden UMNO itu ditanya pandangannya mengenai kenyataan Hsien Loong bahawa Singapura yang mempunyai penduduk berbilang kaum berjumlah lebih 3.5 juta orang belum bersedia memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat.

Hsien Loong membuat kenyataan tersebut kelmarin semasa dialog dengan anggota masyarakat Melayu di republik itu sebagai menjawab soalan sama ada pemilihan Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS) bermakna anggota kaum minoriti di Singapura turut berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Rais yang merupakan pakar Perlembagaan Persekutuan berkata, hakikat bahawa orang Melayu adalah pemegang kuasa politik Malaysia tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja.

Kata beliau: ‘‘Pihak-pihak lain mesti akur dengan apa yang telah diehsankan oleh kontrak sosial.

‘‘Kita sudah ehsankan hak-hak mereka (kaum-kaum lain), maka tidak harus ada pihak yang seolah-olah bersikap buta tuli tentang perkara-perkara sensitif yang harus dilenyapkan hanya semata-mata kerena mereka menjangkakan UMNO telah lemah ketika ini.”

Kemenangan Obama di AS mencetuskan analisis politik di kalangan pihak tertentu di negara ini sehingga ada suara pemimpin bukan Melayu yang mahukan bukan Melayu diberi peluang menjadi Perdana Menteri.

Khamis lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka daripada belenggu isu perkauman.

Dengan mengambil Obama sebagai contoh, Tee Keat berkata: ‘‘Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).”

Tindakan kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS dipersoalkan banyak pihak kerana dikatakan tidak memenuhi aspirasi penubuhan PKNS bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi bumiputera

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: