Recent Posts

Recent comments

Calon bankrap: Sistem tapisan Umno sukar dipercayai

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Sambil menyatakan PAS Kelantan telah mendapat lonjakan kedua , Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa meminta rakyat berhati-hati sebelum memilih calon-calon Barisan Nasional (BN).

==>> Lagi berita klik disini

Mengulas penolakan calon BN di DUN Kijang dalam posting bertajuk "Umno Kelantan perlu dirawat?" dalam blognya (cetusan-hati.blogspot.com), beliau bertanya, jika bantahan tidak dibuat dan jika ditakdirkan Umno berjaya mendapatkan kemenangan di Kelantan, "apa nasib khazanah Kelantan dengan adanya calon seperti itu?"

"Selain muflis, apa lagi bentuk calon destruktif yang mungkin mengambil kesempatan atas khazanah negara jika mereka berkuasa – yang dibariskan sebagai calon Umno/BN seluruh negara? Awas!" beliau memperingatkan.

Bagai membayangkan sistem tapisan yang digunakan oleh Umno untuk menapis calon-calon mereka tidak boleh dipercayai, Husam mempersoalkan:

"Sistem tapisan Umno begitu lemah? Maklum balas risik tentera dan polis tidak ada? Calon pula mendiamkan diri dan tidak memaklumkan pada pucuk pimpinan?

"Dan andai kata mereka menang? Siapa dulu yang akan diselamatkan? Rakyat atau diri masing-masing?"

Menurut Husam, senarai yang diumumkan Pengerusi Umno Negeri Kelantan adalah senarai yang diluluskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama semasa pemilihan akhir dibuat ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad).

Meskipun begitu, Calon BN di DUN Kijang, Mustopha Ahmed, telah ditolak pencalonannya kerana muflis. Penolakan itu memberikan kemenangan percuma kepada calon wanita PAS, Wan Ubaidah Wan Omar.

Sambil menyatakan Umno kecewa lagi dengan perkembangan itu, Husam menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai lonjakan kedua sangat penting kepada PAS Kelantan, "di saat Umno galak bercakap angkuh Kelantan sudah dalam mulut mereka".

Gelombang pertama untuk PAS Kelantan, katanya, ialah apabila dua nama besar yang dicalonkan Umno enggan bertarung atas tiket BN.

Mereka ialah Prof Madya Abdullah Sudin di Pengkalan Chepa dan Pengelola Istana Diraja, Datuk Halim Ahmad di Pasir Mas.

"Mereka enggan turun. Nama sudah diumumkan. Persetujuan batang tubuh tidak ada.

"Difahamkan, Datuk Awang Adek mengadap Sultan Kelantan untuk mendapat perkenan (baginda bagi membolehkan) Datuk Halim bertanding. Gagal. Umum dahulu, baru perkenan diminta. Bukan caranya.

"Umno kecewa pusingan pertama. Cubaan mendapat milage kononnya Umno mendapat restu Istana dengan adanya Datuk Halim, patah di tengah jalan," kata beliau.

Mohamad Sabu ziarah mangsa tembakan Batu Burok

KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu sebentar tadi menziarahi Mohammad Azman Abdul Aziz, 22, mangsa tembakan polis di Batu Burok di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu akibat jangkitan kuman di jantung.

==>> Lagi berita klik disini

Mohamad yang juga calon PAS di Parlimen Kuala Terengganu diiringi calon Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Menurut Azman, beliau dimasukkan ke HKT dua hari lepas selepas tidak boleh berdiri selama dua hari.

Azman yang ditemani ibunya, Fatimah Yusuf berkata, beliau tidak tahu berapa lama akan dirawat di hospital.

Katanya, doktor memberitahu jangkitan kuman yang diperolehinya berkemungkinan akibat kesan tembakan polis di leher dan dada semasa tragedi Batu Burok November tahun lepas.

Azman dan seorang lagi mangsa, Mohd Suwandi Abdul Ghani, sebelum ini ditahan di Penjara Marang selama 42 hari dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3000.

Kes mereka dijangka disebut semula April depan. - mks.

Puteri sulung Anwar, Izzah berdepan Sharizat di Lembah Pantai

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Kerusi P.121 Lembah Pantai menjadi tumpuan anak-anak muda dan pihak media dalam penamaan calon yang mempertaruhkan puteri sulung Dato' Seri Anwar Ibrahim, iaitu Nurul Izzah, 28, yang mewakili parti KeADILan untuk melawan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Seri Sharizat dan calon bebas Periasamy A/L Nagartham.

==>> Lagi berita klik disini

Berpuluh-puluh wartawan dan juru gambar membuat liputan di tempat berkenaan beserta kira-kira seratus anggota polis berkawal di tempat berkenaan.

Seawal 8.00 pagi, penyokong-penyokongnya membawa bendera KeADILan dan poster Nurul Izzah ke pusat penamaan calon iaitu di Kompleks Sukan Bangsar, Bangsar dekat sini, hari ini.

Suasana menjadi tambah meriah apabila Nurul tiba di pusat penamaan calon tersebut kira-kira jam 9.00 pagi.

Nurul yang berkebaya labuh berwarna 'silver' serta berbunga-bunga kecil hitam dan bertudung diiringi suaminya Raja Shahrir Raja Salih, bapanya, Anwar dan adik-adiknya.

Bagaimanapun mereka semua tidak masuk ke dewan tetapi berada bersama-sama kira-kira 500 penyokong.

Nurul masuk ke dewan diiringi seorang peguam, Edmund Bon, penyokongnya, Md Zamir Tasi dan pencadangnya, Norleha Ghani.

Proses penamaan calon mengambil masa hampir tiga jam kerana berlaku dua bantahan.

Bagaimana Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Najib Muhamad berkata kedua-dua bantahan ditolak.

Apa yang menarik perhatian, Nurul yang sentiasa tersenyum dicium oleh Shahrizat bagaikan seorang ibu dan anak selepas diumumkan namanya sebagai calon di Lembah Pantai oleh pegawai SPR di luar dewan.

Suasana bertambah gamat apabila Nurul berjalan keluar dewan sebaik saja proses penamaan calon selesai.

Laungan "takbir", "Nurul, Nurul", dan "reformasi" bergema ketika Nurul berjalan menuju kepada penyokongnya yang berada di jalan raya sebelah kanan dewan.

Beliau disambut oleh bapa dan suaminya yang menantinya tanpa berganjak sejak awal hingga selesai proses penamaan calon.

Sementara itu penyokong BN yang berkumpul di kiri dewan lebih banyak menyanyi lagu 'Inilah Barisan Kita' semasa mereka menanti Shahrizat.

Jumlah penyokong BN hampir sama dengan penyokong Nurul.

Nurul yang ditemui di komplek tersebut berkata beliau akan memfokus kepada perjuangan nasib rakyat di Lembah Pantai.

"Sebagai seorang anak muda yang dilahirkan di Universiti Hospital, Petaling Jaya dan dibesarkan di sini dan sekarang dapat cahaya mata yang akan dibesarkan di kawasan ini, saya amat prihatin dengan kehidupan rakyat di sini," katanya.

Katanya, beliau bercita-cita untuk perjuangkan nasib rakyat bagi memastikan jurang ekonomi yang wujud secara jelas di Lembah Pantai.

Katanya, pembangunan yang berlaku di kawasan tersebut tidak mengambil kira mereka yang berada di bawah paras kemiskinan.

Sementara itu, Anwar yang sampai ke kompleks itu pagi tadi setelah menemani isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam berkata, beliau bersyukur kerana anaknya komited dalam perjuangan biarpun terpaksa menghadapi risiko yang amat perit, lebih-lebih lagi dalam negara seperti Malaysia ini.

"Saya berbangga dan akan cuba memberi pandangan," katanya setelah Nurul bersetuju untuk menjadi calon.

Katanya, beliau tahu BN akan menggunakan jentera kerajaan, membuat penipuan dan sebagainya untuk menang.

Namun katanya isu yang dibawa bukan soal nasi lemak dan minuman percuma tetapi masalah seperti perumahan rakyat, pengangguran, masalah harga barang, masalah majoriti penduduk miskin di Lembah Pantai yang perlu difikirkan.

Mengulas mengenai, persetujuan anaknya menjadi calon untuk Lembah Pantai, beliau berkata anaknya itu dilahir, dibesarkan dan bersekolah di Lembah Pantai.

Sementara itu suaminya, Raja Shahril berkata, sebagai suami beliau berbangga dan akan memberi sokongan dan semangat kepada Nurul.

Malah katanya, beliau akan turut bertungkus lumus berkempen secepat mungkin.

Katanya walaupun sebelum ini beliau keberatan untuk melepaskan Nurul bertanding tetapi atas pemintaan penyokong-penyokong beliau melepaskannya.

"Sebenarnya selama tiga hari berfikir baru saya membuat keputusan untuk membenarkannya,

"Ini kerana kita mengambil mandat rakyat bukan soal untuk mendapat pulangan, dan apa-apapun pengorbanan perlu difikir secara serius. Beliau akan cuba memberi manfaat sebaik mungkin kepada rakyat," katanya. - mns

Mohamad Sabu ditentang wanita bergelar nenek

KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Hrkh) - Haji Mohamad Sabu berdepan dua calon iaitu Barisan Nasional (BN) dan Bebas yang boleh dikatakan bergelar nenek di Parlimen Kuala Terengganu.

==>> Lagi berita klik disini

ImageCalon bebas seorang wanita, Maimun Yusuf, 89 mengemukakan borang percalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 9.05 pagi.

Lima minit kemudian diikuti calon BN, Dato' Razali Ismail, bermakna Parlimen tersebut menghadapi pertandingan tiga penjuru sebagaimana yang diumumkan Pegawai Pengurus SPR Kuala Terengganu, Dato' Mat Razali Kassim, 53.

Sementara empat Dewan Udangan Negeri (Dun) dalam parlimen tersebut hanya berlaku pertandingan satu lawan satu.

Mohd Abdul Wahid Endut sekali lagi diamanahkan bertanding bagi mempertahankan kerusi beliau di Wakaf Mempelam menentang Othamn Awang dari BN yang merupakan muka baru.

Dr Syed Azman Ahmad Nawawi menghadapi tugas besar bagi mempertahankan kerusi Dun Batu Burok yang dilepaskan oleh Wan Mutalib Embong. Kali ini beliau meghadapi saingan BN yang merupakan Senator, Nordiana Shafie.

Nordiana yang juga Ketua Puteri Umno Terengganu mengantikan calon BN lalu Dato' Che Mat Jusoh yang digugurkan.

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr Abdul Manaf Che Mat bertanding di Dun Bandar menentang calon BN dari MCA, Toh Chin Yaw.

Bagi kerusi Parlimen terdapat bantahan daripada parti yang bertanding iaitu PAS dan Umno, bagaimanapun ditolak oleh SPR.

Hampir 5,000 penyokong PAS mengiringi calon yang bertanding berarak ke Wisma Durul Imam bermula di Masjid Tok Ku Paloh Cabang Tiga pada pukul 8.15 pagi. Manakala BN berarak dari Bangunan Umno di Jalan Gong Kapas. - mns

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: