Recent Posts

Recent comments

Auku: Kerajaan digesa tidak kelirukan rakyat

|

Saya merujuk kepada kandungan semua akhbar utama tanahair pada hari Jumaat, 30hb Mei 2008 yang telah melaporkan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bahawa kerajaan bercadang untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Pindaan tersebut, menurut Timbalan Perdana Menteri, akan membabitkan beberapa peruntukan supaya ia tidak mengongkong pembabitan pelajar dalam kegiatan yang membina dan konstruktif. Bagaimaimanapun, beliau tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan kegiatan yang konstruktif tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) dengan ini menggesa kerajaan supaya tidak mengelirukan rakyat, khususnya kalangan mahasiswa dengan membuat pengumuman sedemikian.

Pindaan terhadap AUKU tidak seharusnya hanya menumpukan tentang apakah bentuk aktiviti yang dibenarkan kepada pelajar untuk terlibat. Ini adalah kerana, DPPNP melihat selama ini pun, dengan adanya peruntukan Seksyen 15 (1) yang melarang secara mutlak keterlibatan mahasiswa dengan parti politik dan kesatuan sekerja, ianya telah dikuatkuasakan secara berat sebelah dan selektif dengan hanya difokuskan kepada keterlibatan mahasiswa dengan parti-parti pembangkang sahaja.

Sedangkan parti pemerintah, contohnya melalui sayap Pemuda dan Puteri UMNO, bebas bergerak di dalam kampus. Maka, apa bezanya sekiranya pindaan AUKU yang dicadangkan kerajaan memberikan sedikit kelonggaran untuk pelajar terlibat dengan keggiatan yang 'konstruktif', tetapi ianya kelak hanya menjadi topeng untuk membolehkan pelajar terlibat hanya dengan persatuan-persatuan di luar kampus yang pro kepada kerajaan sahaja.

DPPNP melihat bahawa isu asas yang menjadi pendirian PAS, gerakan pelajar, tokoh-tokoh akademik, dan NGO-NGO sivil yang membicarakan berkenaan AUKU selama ini, adalah supaya beberapa peruntukan tertentu di dalam AUKU yang amatlah tidak demokratik, bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia bahkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan (unconstitutional), dapat dipinda ataupun dimansukhkan sama sekali.

Meskipun di dalam preamble AUKU 1971 jelas memperuntukkan bahawa AUKU adalah bertujuan untuk �to provide for the establishment, maintenance and administration of University and University Colleges and for other matters connected therewith�, tetapi kita melihat bahawa banyak peruntukan di dalamnya, terutamanya seksyen-seksyen baru yang dimasukkan selepas pindaan pada tahun 1975 yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Dr Mahathir Mohamad melalui Akta Pindaan A295, seperti Seksyen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C dan lain-lain yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan dan undang-undang. Matlamat utama terhadap pindaan yang dibawa dalam tahun 1975 tersebut yang kekal sehingga kini ialah menghalang 1) penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan 2) penggabungan di antara badan-badan pelajar.

Antara beberapa peruntukan di dalam AUKU dan juga Kaedah-Kaedah Tatertib Pelajar (merupakan undang-undang kecil yang mengandungi semua peruntukan berkaitan dengan tataertib pelajar-pelajar dan dikuatkuasakan secara seragam di semua IPTA) dimana kaedah ini digubal oleh Lembaga Pengarah Universiti melalui perwakilan kuasa (delegated power) yang diberikan oleh Seksyen 16C (1) AUKU 1971, yang berlawanan dengan hak asasi manusia serta bersifat menindas dan perlu dipinda atau dimansukhkan segera ialah:

1. Di dalam Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang digunapakai di kesemua IPTA di negara ini dan juga praktis yang menjadi amalan kebanyakan IPTA, bidangkuasa berkenaan dengan hal-ehwal tatatertib pelajar adalah diwakilkan oleh oleh Naib Canselor/Rektor sesebuah universiti kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang kemudiannya akan membentuk Jawatankuasa Tatatertib Universiti/Pihak Berkuasa Tatatertib Universiti.

Merujuk kepada AUKU sendiri dan juga Kaedah-Kaedah Tatatertib Universiti, kuasa Jawatankuasa Tatatertib ini adalah amat luas dengan meliputi kuasa 1) menyiasat, 2) menjalankan pendakwaan, 3) mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut dan 4) membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman sekiranya pelajar yang dipertuduh itu didapati bersalah. Perkara ini amatlah bertentangan dengan rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semulajadi (natural justice) yang menjadi dasar utama kepada mana-mana adjudicatory body termasuklah mahkamah atau pun mana-mana tribunal.

Tidak ada jaminan pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib tersebut akan mendapat perbicaraan yang adil oleh kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib adalah terdiri dari orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Peruntukan ini juga bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang dan hak sama rata untuk mendapat perlindungan undang-undang.

2. Tidak terdapat pun sebarang peruntukan samada di dalam AUKU mahupun di dalam Kaedah Tatatertib Pelajar yang memberikan hak kepada pelajar yang didakwa di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar untuk mendapatkan khidmat seorang Peguambela dan Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut.

Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang turut di dakwa atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh seorang peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000.

Diskriminasi ini adalah bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

AUKU sepatutnya dipinda bagi memasukkan peruntukkan yang membenarkan seseorang pelajar diwakili oleh peguam pilihannya sendiri jika dia dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Universiti.

3. Seksyen 15D pula menjadi ancaman utama kepada pelajar, terutamanya kepada pelajar yang sedang dipertuduh di bawah sebarang kesalahan jenayah diluar, di mana pelajar terbabit hendaklah digantung pengajian hinggalah kesnya selesai.

Peruntukan ini jelas berlawanan dengan prinsip 'a man is innocent until proven guilty' kerana pelajar terbabit telahpun �dihukum� sedangkan kesalahannya belum dibuktikan lagi.

Jika didapati bersalah pelajar terbabit secara automatik akan dipecat dan sekiranya didapati tidak bersalah, akan diterima kembali untuk menyambung pengajian. Tetapi kita semua maklum bahawa sesuatu kes di mahkamah akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. DPPNP berpendirian peruntukan Seksyen 15D ini sepatutnya dimansuhkan serta merta.

4. Berdasarkan kepada Kaedah Tatertib Pelajar-Pelajar, mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas sesuatu kesalahan boleh dikenakan mana-mana satu atau gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai yang berikut, iaitu : a) amaran; b) denda; c) dilarang daripada mana-mana bahagian atau bahagian-bahagian tertentu Universiti bagi tempoh yang ditetapkan; d) digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi tempoh yang ditetapkan; e) dipecat dari universiti.

Apa yang menjadi masalah, peruntukan ini adalah umum dan ianya tidak menentukan urutan hukuman yang mesti diikuti. Bentuk hukuman yang hendak dijatuhkan adalah berdasarkan kepada budibicara Jawatankuasa Tatatertib tanpa dipandu oleh apa-apa peraturan tertentu.

Oleh sebab itu soal proportionality (kesetimpalan) juga boleh dipertikaikan di mana dalam beberapa kes, terdapat pelajar yang terus dikenakan hukuman dipecat dari universiti meskipun didapati bersalah melakukan kesalahan kali pertama dan kesalahan tersebut bukanlah kesalahan yang besar sepertu jenayah rompak ataupun rogol.

Selain dari perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Perenggan 1-4 di atas, sebenarnya terdapat beberapa lagi peruntukan di dalam AUKU yang perlu dipinda atau dimansuhkan.

Justeru, DPPNP mendesak kerajaan supaya meneliti perkara ini secara cermat dan mendalam. Kenyataan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, pada hemat DPPNP, adalah satu kenyataan yang gopoh tanpa berasakan kepada pengkajian yang teliti.

DPPNP tetap dengan pendirian bahawa AUKU 1971 perlu dikaji semula secara keseluruhannya di samping beberapa peruntukan di dalamnya perlu dipinda atau dimansuhkan sama sekali.

Jangan hanya memberikan kenyataan kabur yang kelihatan ianya adalah semata-mata helah untuk terus mengekalkan AUKU bagi dijadikan senjata untuk terus mempertahankan hegemoni Umno-BN di kampus-kampus.

Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang

0 comments:

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: