Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada kenyataan kerajaan yang akan menaikkan kuota dari 10 peratus kepada 45 peratus pemberian biasiswa kepada bukan Bumiputera di bawah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mulai tahun ini.
Dalam keghairahan kita menaikkan kouta biasiswa sebanyak 35 peratus sebagai hadiah kepada bukan bumiputra, isu-isu sampingan yang melibatkan sensitiviti penduduk peribumi dalam negara juga harus diambil kira.
Sepertimana kita sedia maklum, biasiswa pendidikan ini adalah merupakan hak penuh pelajar melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, bagi PKPIM, peningkatan kuota yang banyak untuk bukan bumiputra bukanlah merupakan jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengembangkan pembangunan pendidikan negara.
Permasalahan akan terus berlarutan jika pendekatan kouta ini dilaksanakan. Ini kerana peratus kouta boleh meningkat dan menurun pada bila-bila masa.
Cuba bayangkan jika jumlah kaum bukan bumiputra yang layak diberikan biasiswa menjangkaui 45 peratus? Adakah kuota ini akan dinaikkan sehingga 50 peratus atau mencecah 60 peratus yang melebihi kaum bumiputera?
Bagi tujuan pendidikan, kerajaan seharusnya menyalurkan biasiswa penuh kepada seluruh mahasiswa bumiputra memandangkan perkara tersebut adalah salah satu hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Bagi pelajar bukan Melayu pula suatu skim bantuan kewangan khas yang mencukupi harus diberikan. Untuk tujuan tersebut, saya ingin mencadangkan agar suatu skim berupa amanah saham mahasiswa diwujudkan. Skim ini secara tidak langsung akan membantu melabur kewangan mahasiswa bagi menampung bebanan mahasiswa untuk membayar semula pinjaman.
Dalam pada itu, mungkin ada yang berpandangan bahawa pemberian biasiswa dan bantuan kewangan pendidikan tidak lagi boleh disalurkan memandangkan jumlah kuantiti mahasiswa yang begitu ramai berbanding zaman dahulu.
Namun, jika kita lihat, hasil pendapatan ekonomi negara juga sebenarnya meningkat jauh lebih tinggi dari semasa ke semasa. Dengan peralihan dari dasar pertanian ke perindustrian dan perkhidmatan serta pertumbuhan syarikta-syarikat besar yang menggalakkan dalam negara, ia seharusnya dimanfaatkan kerajaan.
Kerajaan harus menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk membuat pelaburan pendidikan. Sebelum ini kita hanya melihat syarikat GLC seperti TNB, TM, dan Petronas sahaja yang bersungguh-sungguh memberi sumbangan dalam aspek pendidikan.
Maka, sudah tiba masanya pelaburan tersebut dicontohi oleh syarikat-syarikat besar lain. Antara usaha yang dilihat amat berkesan dalam pembangunan pendidikan termasuklah penubuhan universiti syarikat, skim bantuan untuk anak-anak perkerja, biasiswa untuk bakal pekerja syarikat dan sebagainya.
Kerajaan juga boleh mengenakan cukai beberapa peratus ke atas keuntungan syarikat besar khusus bagi tujuan pendidikan. Kita seharusnya mencontohi kejayaan pertubuhan pendidikan bangsa lain seperti Pertubuhan Jawatankuasa Kesatuan Sekolah-sekolah Cina (Dong Zong) yang dimana keseluruhan dana mereka ditampung oleh ahli korporat dan syarikat konglomerat dari kalangan mereka sendiri
0 comments:
Post a Comment