KUALA LUMPUR - Stik yang dimasak sepenuhnya mungkin menjadi hidangan cukup lazat, namun boleh juga menyebabkan kanser usus, kata seorang pakar semalam.
[Lagi berita klik disini]
Konsultan Bahagian Carcinogenesis Alam Sekitar, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, Prof. Dr. David M DeMarini menyatakan dalam ceramahnya bahawa daging merah yang dimasak pada suhu tinggi mengeluarkan lebih banyak bahan mutagenic ke dalam DNA seseorang berbanding masakan pada suhu rendah.
DeMarini mengemukakan kajiannya berjudul 'Daging goreng dan kanser usus: Pengurangan DNA dimusnahkan oleh antimutagen pemakanan pada manusia' di Simposium Sains Kesihatan Kebangsaan Ketujuh Universiti Kebangsaan Malaysia di sebuah hotel di sini semalam.
"Daging yang dimasak pada suhu tinggi menyebabkan mereka yang memakannya menghadapi risiko penyakit dikenali sebagai colorectal adenoma. Berdasarkan kajian kami ke atas 350 sukarelawan di Amerika, kami dapati mereka mempunyai lebih banyak bahan mutagenic dalam air kencing.
"Kami menghidangkan kepada sukarelawan ini diet daging merah pada suhu tinggi dan suhu rendah selama sebulan dan membandingkan keputusan kedua-duanya.
"Kajian kami menunjukkan mereka yang memakan daging yang dimasak pada suhu tinggi mempunyai lebih banyak bahan mutagenic dalam air kencing," kata DeMarini yang menyamakan risiko dijangkiti colorectal adenoma dengan menghidap kanser usus.
DeMarini menjelaskan orang yang suka memakan daging yang dimasak sepenuhnya adalah enam kali lebih mudah mendapat kanser usus berbanding dengan vegetarian atau mereka yang memakan daging pada jumlah kecil.
Antimutagen seperti sayuran 'cruciferous' (brokoli, bunga kobis, kubis) dan yogurt bagaimanapun boleh membantu melindungi tubuh manusia dari bahan-bahan mutagenic, kata beliau. - Bernama
0 comments:
Post a Comment