Belum apa-apa lagi, kerajaan Malaysia sudah membatalkan rancangannya membantu usaha menyelamatkan Sufiah Yusof keluar dari cara hidup tidak bermoral yang dipilihnya kini. Pembatalan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad Zahid Hamidi, Khamis (10 April) lalu.
==>> Lagi berita klik disini
Kata Ahmad Zahid, rancangan itu dibatalkan berikutan Sufiah sendiri tidak mahu dibantu kerana selesa dengan cara hidupnya itu. Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan supaya hajat Timbalannya, Senator Dato' Dr Mashitah Ibrahim hendak menubuhkan jawatankuasa menangani isu Sufiah dibatalkan.
Keputusan itu dibuat dipercayai semata-mata atas laporan akhbar yang memetik Sufiah kononnya tidak mahu pihak ketiga mencampuri urusannya. Beliau malah dikatakan hidup mewah hasil profesion barunya itu.
Terlalu mudah nampaknya menteri kita membuat kesimpulan atas perkara sebegini penting dan membabitkan maruah umat Islam. Laporan dimaksudkan itu pula entah kan benar, entah kan tidak. Jika pun benar, berapa peratus pula kepastiannya?
Keraguan itu terbukti apabila laporan yang didakwa pengakuan Sufiah itu turut diragui Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom (PMMUK). Presidennya, Hamidi Abdul Rahman dalam satu kenyataan disiarkan media, Sabtu (12 April) menyebut pihaknya percaya apa yang dikatakan wanita itu dalam satu wawancara bersama sebuah akhbar di UK beberapa hari lalu bukan satu pengakuan yang ikhlas oleh Sufiah sendiri.
Kisah Sufiah pernah menggemparkan dunia sedekad lalu apabila muncul kanak-kanak pintar Matematik dan berjaya memasuki University Harvard semasa berusi 13 tahun. Bapanya Farooq Yusof adalah warga Pakistan, manakala ibunya Halimahton Yusof berasal dari Muar, Johor.
Bulan lalu Sufiah sekali lagi menggemparkan dunia, tetapi dengan cerita yang sama sekali berbeza. Kisahnya yang menjadi pekerja seks di London didedahkan oleh wartawan News of the World (NOTW) yang menyamar sebagai pelanggannya.
Sufiah dikatakan terbabit dengan kegiatan tidak bermoral tersebut untuk menyara hidup dan pengajiannya sejak bercerai dengan suaminya beberapa tahun lalu.
Berikutan tersiarnya kisah menyayat hati itu, beberapa usaha termasuk dari kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan wanita malang itu dilancarkan. Dr Mashitah telah dilantik mengetuai usaha itu bagi pihak kerajaan. Kesungguhan itu bagaimana pun tidak bertahan lama. Ia dibatalkan hanya disebabkan laporan media yang didakwa sebagai pengakuan Sufiah itu.
Nampak sangat kerajaan Malaysia bersikap �melepas batuk di tangga�. Usaha dibuat seolah-olah sekadar bagi menunjukkan kepada orang bahawa kita telah cuba melakukan sesuatu. Sedangkan hakikatnya usaha itu terlalu minima dan tidak disertai kesungguhan.
Sejauhmanakah benar bahawa keluarga Sufiah dan wanita itu sendiri tidak mahu dibantu? Bagaimana pula jika kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan menerusi Hamidi, yang dikatakan telah mendapat kepercayaan Halimahton dalam menyelesaikan kes ini?
Kita rasa ketiadaan kesungguhan di pihak kerajaan Malaysia meneruskan usaha menyelamatkan Sufiah secara terbuka mungkin disebabkan dua pertimbangan. Pertama, kerajaan tahu kewibawaan Dr Mashitah dalam menangani perkara ini amat dipertikaikan. Rakyat masih dibayangi kenyataan beliau mengharuskan wanita menjual diri semata-mata atas alasan terdesak.
Sewaktu menjadi Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mashitah pernah mengatakan bahawa melacur atau menjual diri dimaafkan jika terdesak dan darurat, termasuk demi memberi makan dan membesarkan anak. Pendapat beliau itu disiarkan Harian Metro, 21 Jun 2005.
"Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram. Tetapi jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan," katanya.
Kes Sufiah ialah kes serupa, iaitu melacurkan diri demi menanggung kehidupannya yang sudah menjadi janda. Justeru, bagaimana mungkin seorang timbalan menteri yang mewajarkan aktiviti hina dan terkutuk itu diharapkan menjadi penyelamat kepada wanita yang melakukannya.
Kita bimbang ditakdirkan Dr Mashitah menemui kesempatan bertemu Sufiah di sana, beliau akan berkata kira-kira begini, "tak apa nak, Mama faham apa yang anak alami. Mama pun berpendirian apa yang anak buat ini atas dasar darurat dan terdesak. Mama fikir tidak ada salahnya anak teruskan cara hidup sebegini. Ia dimaafkan."
Itulah pandangan yang selari dengan "fatwa" Dr Mashitah tiga tahun lalu, bukan? Jika itu kesudahannya, maka tindakan Ahmad Zahid membatalkan tugasan timbalannya itu sedari awal adalah tepat.
Kedua, kita tidak tahu berapa ribu lagi wanita rakyat Malaysia yang ada dalam negara ini sedang mengalami nasib serupa Sufiah. Mereka terpaksa terjerumus ke lembah hina itu semata-mata demi menyara kehidupan. Jika diambilkira yang memang mengharapkan kemewahan hidup, tentu jumlah mereka jauh lebih besar.
Justeru, ada yang berpendapat apa rasionalnya kerajaan Malaysia begitu bersungguh membantu seorang anak kepada rakyatnya, yang sebenarnya rakyat Britain, sedangkan dalam negara sendiri bersepah wanita mengalami nasib malang seumpama itu. Tentu sekali keutamaan sepatutnya diberikan untuk menyelesaikan kes serupa yang berlaku dalam negara.
Jika benar Dr Mashitah ada kesungguhan untuk menangani masalah pelacuran ini, dia masih ada peluang dan ruang untuk membuktikannya di dalam negara sendiri. - mks.
0 comments:
Post a Comment