Recent Posts

Recent comments

Sikap kerajaan terhadap syarikat Halliburton dipersoal

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) hari ini menimbulkan persoalan adakah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memikirkan perasaan orang Islam di negara ini, berhubung syarikat Halliburton Manufacturing and Technology (M) Sdn Bhd yang membuka kilang di Johor, sedangkan ia merupakan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Zionis, yang meluaskan penjajahan di Iraq, Palestin dan Mesir.


[Lagi berita klik disini]

Beliau ketika mengemukakan soalan tambahan, di Dewan Rakyat, turut membangkitkan persoalan adakah kerajaan menerima tekanan dari Amerika Syarikat untuk membenarkan kilang syarikat itu dibuka.

"Adakah kementerian menerima tekanan dari AS atau tidak mempunyai pilihan lain dalam urusan pelaburan negara, sedangkan syarikat ini berkait dengan penjajahan Zionis di Iraq, Plstin dan Mesir?" soal beliau.

Menjawap soalan tersebut, Timbalan Menteri, Dato' Jacob Dunggau Sagan, berkata kerajaan memang sentiasa mementingkan prinsip-prinsip yang dijalankan untuk membangunkan negara ini termasuk prinsip Islam dan etika.

Bagaimanapun katanya, kerajaan juga ingin melihat negara ini dibangunkan supaya industri yang berteknologi tinggi ini diadakan di negara ini dengan meluluskan beberapa syarikat lain dari Perancis, Norway, Ireland, dan negara-negara lain.

Dalam soalan asal, Dato' Mukhriz Tun Mahathir (BN-Jerlun) meminta kementerian terbabit menyatakan sama ada kerajaan sedar bahawa syarikat Halliburton itu adalah pembekal senjata yang terbesar bagi tentera AS di Iraq, sekali gus melibatkan mereka dalam pembunuhan lebih 1 juta rakyat Iraq yang tidak bersalah dan bagaimana ia dibenarkan membuka kilang di Johor.

Jacob, dalam jawapannya berkata adalah menjadi dasar kerajaan untuk menarik dan menggalakkan pelaburan, termasuk pelaburan asing dalam industri-industri yang terpilih dan berteknologi tinggi.

Beliau juga berkata keputusan kerajaan untuk membenarkan syarikat terbabit membuka kilang di Johor merupakan satu keputusan yang dibuat berasaskan faedah terkumpul yang boleh diperolehi dari pelaburan tersebt.

"Kementerian juga telah dimaklumkan bahawa Halliburton sudah tidak terlibat lagi dengan apa-apa perkhidmatan dan peralatan yang dikaitkan dengan ketenteraan sejak awal 2007, iaitu sebelum kelulusan lesen pengilang diberikan," jelas Jacob lagi.

0 comments:

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: