KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Usul tergempar di bawah Perkara 18 (1) yang dibawa Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) ke Dewan Rakyat mengenai kes Pulau Batu Puteh ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meskipun beberapa kali ditegaskan Salahuddin supaya ia dibahaskan.
Salahuddin yang bangun membacakan usul itu tidak berpuas hati dengan alasan Pandikar yang enggan membenarkan usul itu untuk dibahaskan.
Bagi Salahuddin perkara itu perlu dibahaskan kerana ia adalah soal kedaulatan dan keselamatan negara.
"Saya bangun merayu dan menggunakan pelbagai peraturan mesyuarat di bawah perkara 18 (1) 3B, saya merayu demi rakyat Malaysia, demi maruah dan kedaulatan negara supaya usul ini diambil perkiraan oleh Dewan Rakyat.
"Biarlah negara mencacatkan sejarahnya sendiri apabila Parlimen hari ini membincangkan soal kedaulatan negara yang terlepas kepada Singapura ini, ini soal kedaulatan saya tidak akan duduk selagi ia tidak dibincangkan," ujarnya dengan nada yang tegas.
Menurut Salahuddin, perbahasan usul ini amat penting bagi Parlimen merakamkan penjelasan bagaimana kegagalan dan kelemahan pasukan pembela kerajaan dalam menyediakan bahan bukti dalam membawa kes Batu Puteh ke Makhamah Antarabangsa (ICJ).
Beliau mahu pengajaran dalam kes Pulau Batu Puteh diambil iktibar oleh kerajaan kerana kes yang serupa (tuntutan sempadan dengan Singapura) juga akan berulang selepas ini.
Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat enggan membenarkan Salahuddin meneruskan usul itu untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
Timbul kekecohan sebelum itu apabila Salahuddin beberapa kali bangun mendesak budi bicara Speaker Dewan Rakyat meluluskan usul tersebut untuk dibahaskan.
Beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun untuk menyokong usul itu apabila Salahuddin meminta sekurang-kurangnya 15 orang ahli Dewan Rakyat bangun bagi menyokong permintaannya di bawah Perkara 18 (1) 3B.
Antara yang bangun semua ahli Parlimen PAS termasuk, Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena); Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) dan Pakatan Rakyat yang lain antaranya dari DAP dan KeADILan.
Kedengaran suara-suara sinis dari ahli Parlimen Pakatan Rakyat memperli ahli-ahli Parlimen BN yang enggan bangun menyokong usul itu untuk dibahaskan.
Namun akhirnya usul itu tetap ditolak Speaker Dewan Rakyat dari dibahaskan.
[Sambungan]
BN bakulsampahkan usul Batu Puteh
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Rakyat yang mempunyai semangat patriotisme boleh menilai dan menghakimi sendiri sikap dan gelagat Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional ketika usul mengenai kehilangan Pulau Batu Puteh dibentangkan di Dewan Rakyat pagi ini.
"Ketika saya menggunakan peraturan yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen bangun untuk menyokong supaya usul itu dibahaskan, ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bangun beramai-ramai sebagai tanda sokongan.
"Malangnya, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), khususnya yang mewakili Umno Johor, enggan bangun untuk menyokong supaya usul itu dibahaskan. Hebat Umno Johor.
"Saya sangat kagum dengan semangat patriotisme mereka sehingga enggan menyokong supaya isu kehilangan Pulau Batu Puteh dibincangkan!" kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang membentangkan usul tersebut.
Hakikat bahawa usul tersebut tidak dibentangkan bukan untuk kepentingan PAS atau PR, sebaliknya demi kedaulatan negara, menambahkan kekaguman Ahli Parlimen Kubang Kerian itu kepada semangat patriotisme ahli-ahli Parlimen BN itu.
"Usul itu tidak bersifat politik kepartian dan yang pertama mengenai Pulau Batu Puteh dalam sesi Parlimen kali ini. Sepatutnya semua ahli Parlimen BN menyokong usul itu," kata Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Mat Ramli.
Tetapi, kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu, sikap divisif yang memandang pembangkang sebagai lawan menyebabkan isu tersebut sekalipun menjadi isu yang dibakulsampahkan.
"Kalau ahli-ahli Parlimen BN bangun untuk menyokong supaya usul itu dibahaskan tadi, saya yakin keputusan Yang DiPertua dewan boleh berubah," kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar yang juga amat kagum dengan semangat patriotisme ahli-ahli Parlimen BN itu.
Lebih mengkagumkan, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ialah sikap ahli-ahli Parlimen BN yang hanya menjadi tukang angguk walaupun dalam isu membela kedaulatan negara yang telah tercalar dengan kehilangan Pulau Batu Puteh.
Walaupun mengakui semua pihak bersedih atas kecuaian yang berlaku sehingga negara kehilangan Pulau Batu Puteh tetapi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tetap dengan keputusannya menolak usul Salahuddin untuk membincangkan kehilangan Pulau Batu Puteh.
Beliau sebelum itu menolak usul tersebut kerana berpendapat usul tersebut tidak perlu disegerakan kerana Malaysia telahpun bersetuju dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Setelah usul itu ditolak untuk dibahaskan, Salahuddin kemudiannya menggunakan peruntukan dengan meminta sekurang-kurangnya 15 ahli Dewan Rakyat untuk bangun menyokong usul tersebut.
Kesemua Ahli Parlimen PR bangun untuk menyokong usul itu supaya dibahaskan.
Ketika itu, Mahfuz berkata kepada ahli-ahli Parlimen BN "sebelah sana tak bangun!"
Terdengar juga suara Ahli Parlimen PR yang berkata "takutkah, larikah?".
Meskipun begitu, Yang Dipertua dewan tetap dengan keputusannya yang menolak usul itu dibahaskan.
Ketika itu, beliau ditanya "macam mana tak puas hati?"
Sambil membangkitkan keputusan ICJ itu telah dipersetujui oleh kerajaan Malaysia, Pandikar Amin menjawab: "Ada kala saya puas hati (untuk dibahaskan) umpamanya dalam isu beras".
Ketika itu, Salahuddin terus merayu agar usul itu dibahaskan kerana usul tersebut adalah isu keselamatan dan kedaulatan negara.
"Saya menghormati, saya merayu, saya merayu atas nama negara, saya merayu atas nama rakyat, saya merayu atas nama kedaulatan ngara, saya merayu agar dibahaskan.
"Ini bukan isu PR, ini isu negara!" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu merayu.
Ketika itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat menyatakan beliau juga merasa sedih dengan kehilangan Pulau Batu Puteh itu.
"Perasaan Yang Berhormat adalah perasaaan kita semua, saya setuju kita ambil iktibar.
"Kalau itu kesilapan kita semua, kita ambil iktibar, di masa akan datang simpan rekod dengan cara baik.
"Mohon maaf kerana tidak dapat layan," kata beliau sambil mencadangkan Salahuddin mengemukakan usul di bawah Peraturan 43 Dewan Rakyat.
Salahuddin menjawab, kalau dibahaskan di bawah peraturan 43 akan hilang kesegeraan.
"Apa salahnya Parlimen yang mulia merakamkan apa sebab kita kalah?" tanya beliau sambil menekankan jawapan menteri mengenai kekalahan di dalam ICJ itu sepatutnya dirakamkan oleh Dewan Rakyat.
Pandikar Amin kemudiannya menerangkan bahawa sebelum beliau menolak usul itu, beliau telah "ambil kira dengan baik" dan kalau dibahaskan sekalipun, katanya lagi, hanya iktibar sahaja yang boleh diambil.
Salahuddin mencelah, "kita ada banyak lagi pulau yang kita berhadapan dengan Singapura!"
Yang Dipertua dewan kemudiannya bertanya, tidak cukupkah dengan mengambil iktibar kerana "kalau bahas pun keputusannya juga ambil iktibar".
"Kita ambil iktibar bahawa perkara seperti ini tidak harus berlaku, saya cukup bersimpati, saya faham perasaan Kubang Kerian. Kita semua mempunyai perasaan yang sama seperti Kubang Kerian," katanya.
Memandangkan Yang Dipertua dewan bersungguh-sungguh merayu dan menyarankan pula Salahuddin agar membahaskannya dalam perbahasan tambahan, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu akhirnya beralah.
Ketika membentangkan usulnya, Ketua Pemuda PAS itu menekankan bahawa keputusan ICJ melenyapkan kedaulatan negara ke atas pulau tersebut.
Hakikat bahawa pulau itu diserahkan kepada British dengan kebenaran Sultan Johor ketika itu, kata beliau, menunjukkan Pulau Batu Puteh milik Malaysia.
Memandangkan begitu banyak isu tertunggak dengan Singapura termasuk isu pembekalanair ke pulau itu, isu Pulau Api di Pulau Pisang dan lain-lain, beliau mahu kehilangan kedaulatan negara itu menjadi pengajaran yang amat besar bagi menjaga kedaulatan negara.
Beliau menyarankan Dewan Rakyat membahaskan apakah punca kekalahan Malaysia di ICJ.
Adakah kekalahan itu akibat "kelemahan hujah" atau "kelemahan persediaan".
"Rakyat Malaysia amat meragui kemampaun pasukan yang diketuai oleh Peguam Negara," kata beliau sambil menekankan perlunya usul itu dibahaskan kerana ia melibatkan kedaulatan negara.
0 comments:
Post a Comment