Recent Posts

Recent comments

Pelan peralihan kuasa tiada dalam perlembagaan Umno - Ku Li

|

KOTA BHARU, 20 Julai (Hrkh) - Adakah pelan peralihan kuasa yang cuba diamalkan dalam Umno sekarang selaras dengan perlembagaan parti itu. Bagi Tengku Razaleigh Hamzah ia jelas bertentangan.



[Lagi berita klik disini]

Beliau berkata, penyandang sekarang (Presiden) dipilih untuk berkhidmat hanya untuk tempoh tiga tahun saja.

"Oleh itu, mengikut Perlembagaan Umno mesti diadakan pemilihan dan ketika itulah parti akan memilih siapa untuk menyandang jawatan tertentu sama ada orang yang sama atau orang lain.

"Kalau dilihat kepada perlembagaan parti tidak ada peruntukan mengenai peralihan kuasa. Timbalan Presiden tidak sepatutnya ditentukan lebih awal.

"Kita sudah 50 tahun merdeka, rakyat pandai memilih. Rakyat Malaysia bijak. Ahli-ahli Umno pun bijak," katanya pada sidang media di kediamannya di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan akan berundur pada pertengahan 2010 dan tempatnya sekarang akan diganti Dato' Seri Najib Razak.

Ku Li yang juga anggota Parlimen Gua Musang menegaskan tetap bersedia untuk bertanding bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan sempena perhimpunan agung parti itu, Disember depan.

"Saya menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden berdasarkan perlembagaan parti. Kita manusia bertamadun. Kita berorganisasi seperti Umno. Kita ada perlembagaan yang menentukan pergerakan kita.

"Dan kalau tidak mahu mengikut perlembagaan parti, baik kita masuk hutan, mengikut undang-undang binatang," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Perdana Menteri mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 sebagai keputusan untuk kepentingan diri.

Menurutnya Majlis Tertinggi (MT) tidak boleh membuat keputusan atau memberi pandangan bertentangan dengan perlembagaan parti.

Kata beliau, ahli Umno berhak dipilih dan boleh memilih, dan hak mereka itu dijamin dalam perlembagaan.

"Tidak ada tradisi serah kuasa dalam Umno, perkara itu hanya dibuat-buat saja. Barangkali sebagai helah untuk duduk di situ," tegasnya.

Mengulas mengenai cadangan supaya diadakan debat bagi calon yang akan bertanding dalam pemilihan jawatan parti, beliau menyatakan persetujuannya.

Beliau juga memberitahu syarat-syarat ketat seperti dimuatkan dalam buku Etika Ahli Umno akan dibatal sekiranya beliau dipilih menjadi Presiden parti.

Selain itu, beliau menyifatkan Tataetika tersebut dilakukan bertujuan menyekat pihak establishment dalam parti.

"Orang atasan tidak kena. Itulah demokrasi, kita mampus.." katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun beliau menegaskan mahu mengekalkan demokrasi termasuk peraturan pemilihan Presiden, Pengerusi Tetap dan ahli-ahli Majlis Tertinggi.

"Terserahlah kepada pencalonan. Saya tidak membuat apa-apa keputusan mengenai pertandingan jawatan Presiden. Saya serahkan kepada perwakilan dalam perkara itu.

"Namun begitu, saya sedia menerima siapa sahaja yang dipilih dan difikirkan layak," katanya.

0 comments:

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: