KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) - Pelbagai pihak mendesak penganjuran forum awam bertajuk 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam yang akan diadakan di Auditorium Majlis Peguam esok dihentikan.
[Lagi berita klik disini]
Sehubungan itu, umat Islam yang pritahin untuk mempertahankan kesucian Islam diajak beramai-ramai membuat bantahan secara aman terhadap Majlis Peguam mulai jam 8 pagi esok.
Koordinator Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya forum mengenai isu Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal memeluk Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu.
Dalam kenyataan yang dipersetujui 18 Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyatakan forum anjuran Jawatankuasa Undang-undang Keluarga Majlis Peguam itu menunjukkan Majlis Peguam cuba untuk memprovokasi masyarakat Islam.
Tegasnya, provokasi yang tidak perlu itu akan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana Majlis Peguam bukan pihak yang layak untuk membahaskan hal ehwal Islam.
"Kami mengingatkan agar Majlis Peguam jangan cuba bermain dengan api. Isu hal ehwal Islam adalah isu sangat sensitif kepada umat Islam.
"Tindakan ini jelas cuba menghidupkan semula usaha terdahulu yang dilakukan oleh beberapa kelompok dari Majlis Peguam bagi menubuhkan IFC dan kemudian diikuti pula oleh satu lagi usaha dari kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai Kumpulan Artikel 11,"katanya.
Tambahnya, usaha tersebut telah mendapat bantahan sebahgian besar masyarakat Islam dan dari pihak berkuasa sendiri.
Katanya, edaran surat jemputan mengenai pengenalan kepada forum tersebut jelas menunjukkan tujuan Majlis Peguam menganjurkan program tersebut adalah untuk mempersoalkan dan mencabar bidangkuasa Mahkamah Syariah yang termaktub dalam Artikel 121 (1A), yang mana Kes Subashini dan Shamala dijadikan asas untuk perbahasan ini diadakan.
"Kami menegaskan bahawa Majlis Peguam tidak ada hak untuk memandai-mandai dan cuba membahaskan hal yang berkaitan dengan undang-undang Islam secara terbuka.
"Kami mendesak supaya forum ini dihentikan oleh pihak berkuasa kerana ia boleh membawa kepada kemarahan masyarakat Islam yang tidak mahu undang-undang Islam dicabar oleh mana-mana pihak,"katanya yang mempersoalkan kenapa Majlis Peguam mahu mencampuri urusan yang bukan bidang kuasanya?
Mohamad Azmi menegaskan sebagai sebuah badan statutori sepatutnya menumpukan perhatian kepada memperkemaskan profesionalisme para peguam yang masih tidak diuruskan dengan sempurna.
Katanya, sebarang perbahasan yang berkaitan dengan urusan Islam hendaklah diutarakan kepada saluran khas.
Sehubungan itu katanya, Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam mencadangkan pihak kerajaan menubuhkan saluran khas ini supaya sebarang pandangan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam didengari oleh mereka yang pakar dalam ilmu agama Islam .
Saluran khas tersebut katanya bertujuan untuk mengelakkan urusan Islam dibahaskan secara terbuka dan menimbulkan kekeliruan yang tidak perlu dikalangan masyarakat.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Roslan Mohd Nor juga berpandangan sebarang perbahasan mengenai hukum-hukum Islam, perundangan, sistem dan hak-hak orang-orang Islam yang terkandung dalam perlembagaan tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti akan mengakibatkan kekeliruan dan salah faham terhadap Islam.
"Tindakan berkenaan adalah suatu usaha yang terancang yang disusun oleh pihak tertentu untuk secara berterusan mempertikaikan hak-hak yang terkandung dalam perlembagaan terhadap Islam.
"Kami memberi amaran kepada Majlis Peguam agar menghentikan segera penganjuran forum berkenaan atau menghadapi tindakan penentangan serius umat Islam di negara ini," katanya.
Sementara itu Pengerusi Badan Bertindak Anti Murtad (FORKAD), Ustaz Riduan Mohamad Nor turut sama menggesa umat Islam menghentikan keangkuhan golongan anti Islam di sebalik program Majlis Peguam.
Katanya, hak agama Islam yang harus diutamakan dan kontrak sosial tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak.
"Justeru kami mahu perbincangan terbuka persoalan yang sensitif ini dihentikan segera.
"Majlis Peguam angkuh kerana enggan mendengar nasihat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta forum tersebut dihentikan," tegasnya.
0 comments:
Post a Comment