KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Perdana Menteri (PM) yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti menjelaskan siapakah yang dimaksudkan binatang dalam sepanduk tunjuk perasaan penyokong-penyokong Ketua Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Sepanduk itu tertulis "Kami nak Idris, natang".
"PM, TPM (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak), Idris dan 23 Adun yang dilaporkan dikurung oleh Idris untuk memastikan mereka menyokong cita-citanya menjadi Menteri Besar (MB) kini dilihat sebagai pihak yang bertanggungjawab merestui sepanduk di dalam demonstrasi penyokong-penyokong Idris Jusoh itu.
"Siapa dituduh binatang? Sultan (Terengganu)?" tanya beliau.
Sambil menyifatkan perbuatan itu lebih buruk dari kebiadaban dan sifat kurang ajar, Mahfuz mengingatkan Perdana Menteri dan penyokong-penyokongnya bahawa merekalah yang dituduh sebagai pihak yang bertanggungjawab dengan sepanduk itu.
"Tunjuk perasaan itu menyokong Idris. Idris adalah kehendak PM (untuk menjadi MB). TPM pula hanya ikut sahaja kehendak PM sebab beliau kini didakwa terlalu takut kepada PM.
"Sebab itulah saya diberitahu sudah bertebaran SMS di sana sini yang menuduh PM, TPM, Idris serta 23 Adun tersebut yang 'buat' sepanduk itu," kata beliau.
Polis tidak cari?
Mahfuz menuntut pihak polis bertindak segera ke atas sesiapa sahaja yang terlibat dengan sepanduk itu yang turut ditayangkan dalam laporan berita sebuah stesen TV tempatan semalam.
"Tahun lalu, ketika polis menuduh pembangkang mengadakan perhimpunan haram di Batu Burok, sibuk sangat mereka mencari siapa membakar jalur gemilang untuk menutup perbuatan mereka menembak rakyat yang tidak bersenjata dengan peluru hidup.
"Kenapa tidak cari siapa yang buat dan pamer sepanduk-sepanduk yang dilihat menghina Sultan itu? Amboi, bukan main lembut dan mesra Ketua Polis Terengganu memberi nasihat," kata beliau.
Bernama melaporkan, Ketua Polis Terengganu Datuk Ayub Yaakob menasihati pihak-pihak yang terlibat dalam kemelut berhubung pelantikan Menteri Besar Terengganu agar tidak menghadiri atau terlibat dalam mana-mana perhimpunan haram.
Ayob terkenal berikutan tindakan polis menggunakan peluru hidup menembak rakyat yang dituduh menghadiri perhimpunan haram di Batu Buruk tahun lalu.
Kedegilan
Sambil menyifatkan apa yang berlaku itu adalah akibat kedegilan Abdullah untuk melantik Idris sebagai MB sehingga mengetepikan perubahan dan keamanan di Terengganu, Mahfuz meminta rakyat Terengganu membuat lebih banyak laporan polis ke atas Abdullah, Najib serta 23 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang terlibat.
Malaysiakini melaporkan, petang tadi, Angkatan Muda KeADILan (AMK) membuat laporan terhadap PM, TPM serta 23 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang didakwanya ?bersikap biadap dan menderhaka? kepada Sultan Terengganu.
Laporan tersebut dibuat oleh Timbalan Ketua AMK pusat, Fariz Musa, di ibu pejabat polis daerah Kuala Terengganu jam 4.30 petang tadi.
"Lebih banyak laporan polis ke atas mereka perlu dibuat kerana apa yang berlaku itu mencabar kedaulatan undang-undang dan keluluhuran perlembagaan.
"Rakyat tidak boleh biarkan perbuatan itu, nanti Umno dan BN akan pijak lagi kedaulatan undang-undang dan keluluhuran perlembagaan. Selepas (dibuat laporan polis) itu, rakyat boleh tengok sendiri apa polis buat," katanya.
Kurang ajar
Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al- Habshee berkata, tindakan Umno Terengganu yang menentang secara terang-terangan pilihan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) itu secara tidak langsung mencerminkan sikap biadap mereka yang tidak menghormati kedaulatan kesultanan Melayu.
"Kalau kita ada masalah kita kena duduk berbincang, sultan adalah kedaulatan orang Melayu, saya khuatir rakyat hilang kepercayaan.
"Bukan dengan cara macam ini (bantah), kurang ajar dengan Sultan," katanya.
"Kita marah apabila DAP memulaukan keputusan Istana Perak, malah, kita memaki-hamun DAP kerana menderhaka kepada Sultan tetapi di Terengganu keadaan terbalik pula, Umno Terengganu sanggup menentang Sultan yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong secara terbuka," katanya lagi.
Akhbar tersebut juga melaporkan, rakyat Terengganu mahu semua pihak menerima dan menghormati keputusan MPPR yang melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.
Tinjauan akhbar itu di sekitar Kuala Terengganu mendapati, rakyat berpendapat, keputusan yang dibuat oleh MPPR perlu diterima bagi mengelak dituduh menderhaka kepada istana.
"Kita sebagai rakyat Terengganu perlu menerima keputusan yang dibuat oleh MPPR kerana jika tidak ikut, kita seperti menderhaka kepada sultan," akhbar itu memetik seorang peniaga buah, Zainal Abidin, sebagai berkata.
[updated 25/03/2008]
Salahuddin Ayub (Ketua Pemuda PAS)
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Tindakan Umno dan penyokong Dato' Seri Idris Jusoh dianggap sebagai keterlaluan apabila berlaku penentangan secara terang-terangan terhadap Istana Terengganu berikutan isu lantikan Menteri Besar.
Terkini Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendakwa kain rentang yang bertulis 'KAMI NAK IDRIS, NATANG' telah digunakan oleh penyokong Idris Jusoh, ditujukan kepada Sultan Terengganu.
Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini menegaskan kain rentang yang tertulis perkataan tersebut boleh dianggap hasutan dan tidak sepatutnya berlaku apabila sesuatu keadaan tidak berpihak kepada mereka.
"Seharusnya mereka bersikap 'gentleman' dalam menghadapi apa jua kondisi politik. Saya yakin dan percaya bahawa sultan dan raja hari ini menunjukkan keprihatinan mereka dan bukan disebabkan mereka ingin campur tangan. Sultan akan memilih sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar sama ada di kalangan PAS, Barisan Nasional atau DAP yang menang," katanya.
Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS Terengganu akan membuat laporan polis di Balai Polis Terengganu hari ini agar satu siasatan dilakukan siapakah dalang di sebalik tulisan kain rentang tersebut.
Dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Pemuda PAS, Sabki Yusuf dan Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohamad Shahir, Salahuddin turut menunjukkan salinan foto kain rentang yang bertulis perkataan tersebut.
Jelas Salahuddin, selain diletakkan di kediaman Menteri Besar, kain rentang tersebut juga didapati digantung di tempat-tempat strategik di seluruh Terengganu.
Salahuddin menegaskan beliau tidak menuduh individu atau pihak tertentu di sebalik tulisan di kain rentang tersebut, namun apa yang penting siasatan perlu dilakukan agar tidak wujud suasana yang tidak baik.
"Apa yang berlaku hari ini biarlah undang-undang yang menyelesaikan, bukan dengan campur tangan atau menghina serta memperlekeh mana-mana institusi di raja hari ini.
"Jika Perdana Menteri menyatakan interpretasi perlembagaan masih berhak menyatakan kerajaan berhak mendengar pendangannya, itu interpretasi beliau," katanya.
Salahuddin juga berkeyakinan sultan mempunyai penasihat undang-undang sendiri dan menggunakan undang-undang tersebut untuk melantik siapakah Menteri Besar yang diyakini.
"Sultan juga 'membaca' suasana politik yang berlaku hari ini dan melihat perubahan siapa yang dikehendaki rakyat. Mungkin sudah sampai masanya sultan memilih yang terbaik di kalangan ahli dewan undangan negeri yang telah dipilih bagi memenuhi hasrat rakyat.
"Jika di Perak, tiga nama dikemukakan sebagai calon MB, kenapa di Terengganu hanya satu nama sahaja dikemukakan. Persoalannya ialah kenapa Abdullah tetap mahukan Idris? Dan kenapa Umno hanya serahkan satu nama sahaja calon MB? "soalnya.
Dalam pada itu sewaktu ditanya pandangannya kenapa Idris tidak layak dilantik sebagai Menteri Besar, jelas Salahuddin masyarakat sedia maklum dan 'orang kampung' juga mengetahui 'siapa Idris Jusoh yang sebenarnya'.
Selain itu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga percaya bahawa berdasarkan bukti yang diperolehinya, Idris terlibat dengan beberapa kes rasuah sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu.
"Ya, saya memiliki fail yang tebal membuktikan Idirs terlibat dengan rasuah. Tunggu dan lihat, saya akan bongkarkan isu ini dalam sidang Parlimen akan datang," katanya.