KOTA BHARU, 1 Mac (Hrkh) - Awas jaga kad pengenalan anda. Ini kerana ada agen-agen yang tidak dikenali keluar masuk kampung bagi memunggut maklumat peribadi penduduk.
Tindakan yang meragukan itu dilakukan orang yang tidak dikenali tanpa diketahui mewakili jabatan kerajaan atau parti politik.
Kejadian itu didakwa penduduk berlaku Pasir Tumboh yang membabitkan penduduk kampung dan penghuni Pondok Pasir Tumbuh sejak beberapa hari lalu.
Seorang penduduk tempatan, Azmi Yaakub, 54 berkata, agen yang tidak dikenali itu menemui setiap penduduk di Pasir Tumboh termasuk penghuni-penghuni pondok bagi mendapatkan maklumat peribadi.
“Maklumat yang diambil iaitu nama, nombor kad pengenalan dan alamat penuh mengikut kad pengenalan. Mereka datang secara berkumpulan.
“Yang menghairankan mereka tidak memberitahu mewakili mana-mana jabatan dan hanya bertanya sama ada penduduk mengguna air telaga atau paip. Mereka datang pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau mendakwa rumahnya didatangi orang yang tidak dikenali itu pada sebelah petang minggu lepas dan berlalu begitu sahaja selepas kad pengenalan diminta tidak diberi.
Oleh itu Azmi berharap penduduk di Pasir Tumbuh lebih berhati-hati apabila didatangi pihak yang tidak dikenali mahu mendapatkan kad pengenalan.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zah, 33, berkata, keluarganya turut didatangi orang yang meragukan bagi mendapatkan kad pengenalan.
“Dia kata nak banci. Saya tanya nak banci apa. Dia kata nak banci kesihatan, lalu dia minta kad pengenalan dengan mencatat nombornya dan mengambil alamat saya.
“Mereka datang dalam kumpulan dua orang kemudian berpecah. Memakai pakaian biasa, tidak memperkenalkan diri dari mana, bahkan tidak ada sebarang fail yang dibawa dan hanya sehelai kertas di tangan,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Mak Su berkata, beliau tidak lena tidur selepas didatangi orang yang tidak kenali mencatat kad pengenalannya kerana khuatir tidak dapat keluar mengundi nanti.
“Mereka bertanya sama ada makcik pakai tandas macam mana. Berapa jauh jarak dari telaga. Orang itu meminta kad pengenalan kemudian salin maklumat pada kertas yang dibawanya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Ustaz Abdul Rahman Yunus berharap penduduk lebih berhati-hati dan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mereka yang tidak dikenali.
0 comments:
Post a Comment