Recent Posts

Recent comments

Hormatilah saranan Dr Mahathir, jangan pilih calon BN yang rasuah

"Pemberi dan penerima rasuah masuk neraka." (mafhum hadis)

Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersuara lagi. Kali ini tentang rasuah. Dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan buku terbarunya, "Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders" (Surat Terpilih Dr Mahathir Kepada Para Pemimpin Dunia) beliau mahu penyokong BN tidak mengundi pemimpin yang "korup dan kayu mati" dalam pilihan raya umum ini.

Menurutnya, masa sudah tiba untuk "membersihkan kerajaan BN, khususnya parti tulang belakangnya, Umno" yang sudah semakin parah dihinggapi barah rasuah.

Usaha ini, tegasnya perlu kerana BN nampaknya tidak mungkin dapat membersihkan dirinya sendiri. Beliau menambah, tiada harapan untuk Umno membersihkan parti itu dari dalam kerana sebarang pandangan yang bertentangan dari ahli parti akan dikekang.

Itu saranan daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN yang telah menerajui pentadbiran negara lebih dari dua setengah dekad (24 tahun)!

Dan sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Dr Mahathir mengakui telah memberi amaran, merayu malah menangis di atas pentas Perhimpunan Agung Umno supaya budaya membeli undi, politik wang dan rasuah dihapuskan dalam Umno. Bagaimanapun amaran, rayuan dan ratapan beliau tidak langsung diendahkan para perwakilan Umno kerana masing-masing sudah basah lencun disimbah gelombang rasuah!

Apa yang mendukacitakan Dr Mahathir, beliau juga kalah dalam mendapatkan tempat sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu kerana rasuah.

"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangkakan perkara ini akan berterusan sewaktu pilihan raya umum," katanya.

Bagi Dr Mahathir, seluruh perwakilan Umno yang memenuhi PWTC setiap kali persidangan Umno berlangsung tidak lagi boleh dipercayai kerana gagal membersihkan Umno daripada amalan rasuah. Baginya, Umno tidak lagi berupaya untuk membersihkan diri daripada rasuah seperti mana gagalnya tokoh-tokoh agama Umno untuk menjadikan parti itu sebagai 'parti yang beragama'. Maka jelaslah bahawa teori "membersihkan tong tahi dari dalam" tidak langsung menampakkan hasil seperti gagalnya Anwar Ibrahim dan para sahabatnya untuk "mengislamkan Umno dari dalam".

Maka Dr Mahathir merayu kepada para penyokong setia Umno dan BN - yang tidak terlibat dengan rasuah - untuk membantu membersihkan Umno dan BN daripada rasuah.

Ketika pentadbiran Abdullah dilihat lemah dalam usaha membanteras rasuah dan di saat institusi pembanteras rasuah seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga terlibat dalam rasuah dan melindungi perasuah (lihat kenyataan bekas setiausaha 'peguam mabuk' VK Lingam dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Pita Lingam), tiada pilihan bagi rakyat khususnya penyokong BN selain menolak calon-calon rasuah dalam pilihan raya umum ini.

Memang ada usaha di kalangan pemimpin Umno/BN untuk mengaburi mata rakyat dengan mendakwa calon-calon BN telah pun ditapis oleh BPR dan bersih daripada rasuah; tetapi adakah kita boleh mempercayai sebuah badan pembanteras rasuah seperti BPR yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan kredibiliti dan komitmen pentadbiran Abdullah dalam membanteras rasuah diragui rakyat.

Lihat sajalah kesudahan kes rasuah bekas Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Eric Chia. Apa jadi dengan 18 kes rasuah berprofail tinggi yang diumumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Rais Yatim yang pada penggal kedua pentadbiran Abdullah ditukar portfolio ke Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (Kekkwa)? Bagaimana pula kes dakwaan rasuah membabitkan Ketua Pengarah BPR dan Ketua Polis Negara yang masing-masing dibebaskan dari sebarang dakwaan oleh polis (yang menyiasat Zulkifli Mohd Nor) dan BPR (yang menyiasat Musa Hassan).

Adakah kita tidak mendapat pengajaran daripada kegagalan polis mengesan individu yang melebamkan mata Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan; sehingga satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan dan mendapati penjenayah itu ialah Ketua Polis Negara sendiri (Tan Sri Abdul Rahim Nor)?

Kita boleh menyenaraipanjangkan kes-kes rasuah yang masih tersimpan dalam 'fail X' negara termasuk pengagihan saham bumiputera kepada menantu Ketua Wanita Umno yang masih lagi bersemangat untuk mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar. Tetapi jika rakyat masih bersikap sambil lewa dalam usaha membanteras dan membasmi rasuah - barah ini akan terus membelenggu negara.

Mungkin ramai penyokong BN yang menganggap kempen PAS dan BA untuk menyelamatkan negara daripada rasuah sebagai 'cakap-cakap politik' bagi meraih kuasa. Bagaimanapun jika seruan itu datang daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN - yang telah menerajui kerajaan lebih dua dekad lamanya - ia perlu dipandang serius oleh rakyat!

Dr Mahathir bercakap tanpa sebarang kepentingan; malah kedudukan beliau sebagai penasihat beberapa GLC boleh tergugat apabila membangkitkan isu ini. Beliau mungkin gagal membanteras rasuah ketika memegang kuasa. Tetapi berilah peluang untuknya membersihkan negara daripada rasuah setelah melihat betapa jijiknya amalan itu ketika tidak lagi berkuasa.

Kepada para penyokong BN, hormatilah saranan Dr Mahathir.

Jangan pilih calon rasuah!

Selamatkan negara daripada pemimpin rasuah!

Kerajaan tidak bertindak pada kakitangan jika sokong pembangkang

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya (P125), Mohamad Nor Mohamad, menegaskan bahawa semua pengundi di kalangan kakitangan kerajaan tidak perlu takut untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-12 yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mac ini.

==>> Lagi berita klik disini

Beliau berkata demikian dalam satu temubual khas di pejabat pentadbiran Harakah di Jalan Pahang tengahari tadi.
Katanya, ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya kepada beliau baru-baru ini, memberi jaminan tidak akan memasukkan nombor siri pengundi pada kertas mengundi kali ini seperti pada PRU-11 (2004).

Jaminan itu juga telah disuarakan oleh penyandang kerusi parlimen di situ, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam laporan akhbar The Star minggu lalu, di mana beliau menegaskan bahawa pihaknya dan kerajaan tidak akan sama sekali mengambil tindakan kepada mana-mana kakitangan yang didapati cenderung kepada calon pembangkang.

Cuma katanya, mereka tidak boleh berkempen pada waktu pejabat, malah boleh bertemu dengan calon pembangkang di luar bangunan kerajaan seperti di kantin-kantin, di tempat letak kereta dan pusat membeli belah.

Terdahulu Mohamad Nor yang ditanya berhubung persiapan untuk berkempen khususnya di kalangan kakitangan kerajaan, mendakwa tidak ada masalah.

Perbadanan Putrajaya benarkan calon berkempen di padang awam

"Walaupun di peringkat awal kita dihalang oleh pihak berkuasa untuk berkempen di premis-premis kerajaan, tetapi setelah bertemu dengan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Shamsuddin Osman semalam, beliau membenarkan calon PAS berkempen di padang-padang yang terletak di beberapa lokasi sekitar Putrajaya.

"Nampaknya kempen kita di rumah-rumah kakitangan sebagai satu strategi kita mendapat sambutan baik malah cuba ditiru oleh calon BN.

"Walaupun kita mendapat kebenaran untuk menggunakan padang-padang untuk berkempen, tapi kemungkinan ramai yang tak nak keluar mendengar ceramah politik, kerana takut terserempak dengan ketua jabatan masing-masing, tetapi kita yakin suara-suara kempen kita akan masuk melalui celah-celah tingkap rumah mereka dan mereka faham apa yang tersirat dalam hasrat yang kita janjikan,"jelasnya.

Mengenai kempen calon BN katanya, mereka cuba bermain isu agama dengan menjanjikan akan membina sekolah agama, tetapi janji tersebut hanya retorik semata-mata, kerana selama empat tahun menjadi wakil rakyat di situ sejak 2004 tidak pernah terdengar usaha untuk membina sekolah-sekolah agama.

"Malah kita lebih 'advance' daripadanya, kerana pada pertengahan tahun 2006, kita telah menghantar satu memorandum kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Zulhasnan Rafique dan pada 2007 kepada Jakim berdasarkan keluhan warga Putrajaya, di mana anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan agama secara formal kerana ketiadaan sekolah-sekolah agama sekitar Putrajaya,"tambahnya lagi.

Umno-BN tidak prihatin masalah agama

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai kenyataan Pengarah II Jawi, bahawa tidak ada peruntukan untuk membina sekolah-sekolah agama.

"Justeru tidak mustahil, di bawah-bawah jambatan terdapat gejala sosial yang semakin parah, anak-anak muda di kalangan lelaki dan perempuannya boleh duduk bersama, ia berlaku disebabkan tidak ada penguatkuasaan pihak berkuasa, perkara ini dipandang serius kerana melibatkan masa depan golongan remaja,"katanya.

Benarlah katanya, Umno dan BN tidak prihatin terhadap masalah agama, malah ia bukan sinonim dengannya.

"Jika remaja dibiarkan tanpa bimbingan agama secukupnya, mereka adalah aset untuk menang dalam pilihan raya, sebab jika remaja baik, mereka tidak akan pangkah calon-calon Umno/BN yang memang tidak mementingkan aspek agama Islam itu sendiri, sedangkan ia termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-9.

"Surau-surau juga banyak bercambah di presint-presint, namun pengajian agama tidak rancak dibincangkan, kita akan pastikan ia berfungsi bukan setakat tempat untuk solat tetapi juga tempat menghubungkan silaturrahim dan mampu melahirkan graduan agama,"jelasnya lagi.

Tambah Mohamad Nor,beliau begitu optimis kemenangan akan berpihak kepadanya kali ini, memandangkan gerak kerja yang dilakukan khususnya daripada petugas-petugas PAS dari Bandar Tun Razak, Titiwangsa dan dari beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan merancakkan lagi suasana kempen.

"Putrajaya memiliki kira-kira 6,000 pengundi berdaftar dan mereka bertanggungjawab menjalankan amanah bagi membuang undi pada 8 Mac ini tanpa perlu risau, bimbang, takut kerana undi mereka adalah rahsia.

"Kita yakin bahawa penduduk Putrajaya yang memilih pembangkang kali ini akan menikmati pelbagai kebajikan seperti yang termaktub dalam manifesto PAS ," tegas beliau dengan nada penuh yakin.

Calon BN disambut 'Barang naik mari doh...'

KUALA TERENGGANU, 28 Feb (Hrkh) - Peniaga Pasar Borong Darul Iman di Gong Pauh, Wakaf Mempelam di sini berdailog secara spontan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail, menyatakan sikap mereka menolak BN.

==>> Lagi berita klik disini

Kedatangan Razali yang bertanding di Parlimen Kuala Terengganu bersama calon BN, Othman Awang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam pada pukul 10.30 pagi disambut peniaga pasar dengan: "Barang naik mari doh..."

Pasar tersebut yang memuatkan penjual sayur, ikan, ayam, daging dan barangan keperluan serta runcit secara serentak menyambut kedatangan calon BN itu dengan kata-kata tersebut. Bunyinya cukup lantang seperti tempat pembangkang berdemontrasi.

"Barang naik mari doh… itu merujuk kepada slogan kempen PAS iaitu `Ingat BN, Ingat Barang Naik'.

Dalam masa yang sama Razali mungkin mahu menunjukkan gentleman sempat berbual dengan pengunjung pasar yang berbaju kuning berslogan `Bersih'.

Razali: "Cantik baju..."

Pengunjung pasar: "Memang doh saya orang bersih. Kita nak bersih... Makan minum mahu bersih.., pilihan raya pun mahu bersih!"

Beliau kemudiannya beredar ke bahagian jualan ikan dan bertemu salah seorang peniaga meminta menyokong BN pada pilihan raya umum ke 12 ini.

Peniaga ikan: "Kita orang PAS Dato'..."

Razali: "Boleh apa sokong PAS? PAS boleh beri apa..."

Peniaga ikan: "Ni, pasar ni PAS buat..."

Menurut tinjauan rambang, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah berkata masyarakat peniaga melahirkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan BN dan mahukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS memerintah negara supaya harga barangan dapat dikawal.

"Peniaga bersungut keuntungan mereka semakin kecil berikutan harga yang dibekalkan pemborong sentiasa naik. Kerajaan pula tidak mampu bendong dan menyekat pemborong sebaliknya yang sering menjadi mangsa ialah peniaga kecil," ujarnya.

Abdullah gunakan kuasa sebagai PM untuk berkempen

KEPALA BATAS, 28 Feb (Hrkh) - Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap iringi polis trafik dan Jabatan Penerangan di setiap kempen dalam pilihan raya umum sekarang walaupun jawatan Perdana Menteri bukan miliknya lagi seketika ini.

==>> Lagi berita klik disini

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Tapiudin Hamzam ketika dihubungi menegaskan, sepatutnya Dato' Seri Abdullah lebih maklum siapa dia sebenarnya.

"Bukan Pak Lah tak tahu apa jawatanya ketika ini. Dia bukan lagi Perdana Menteri kerana parlimen telah dibubarkan. Atau dia buat tak tahu sahaja kerana Umno memang begitu suka melakukan penyalahkuasaan kuasa," tegasnya.

Jabatan Penerangan juga didakwa membantu kempenya setiap malam dengan menyebarkan fitnah terhadap pembangkang.

Mereka dikatakan sengaja membuang risalah dakyah jahat di Unit Peti Undi (UPU) atau pun di pos-pos yang mendapat sokongan remaja.

Tindakan sebegitu tambahnya, membuktikan Barisan Nasional (BN) adalah satu kerajaan yang tidak bijak malahan gila kuasa kerana bimbang ia akan memakan diri seandainya Kerajaan Barisan Alternatif (BA) berjaya dibentuk.

Ujar Ustaz Tapiudin, sebagai rakyat yang bijak dan cerdik buatlah pilihan yang tepat untuk membolehkan kerajaan BA melakukan perubahan serta menghukum tindak tanduk kepimpinan yang lalu.

"Kerajaan BN memang takut kalah maka berbagai usaha dibuat untuk mengekalkan kemenangan walaupun menggunakan samseng untuk bersama berkempen," tambahnya yang juga calon N.1 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penaga.

Semalam, Dato' Seri Abdullah berkempen di Permatang Tinggi 'C' dan tengah hari ini beliau berada di Lahar Minyak untuk merasmikan sebuah rumah bantuan kerajaan.

Umno-BN Kedah bergolak, hanya 300 hadiri majlis Abdullah

ALOR STAR, 28 Feb (Hrkh) - Pemerhati politik Kedah, Pak Tuan Syed, menegaskan bahawa Dato' Seri Mahdzir Khalid amat lemah dan tidak berpengaruh sebagai pemimpin sehingga terpaksa memanggil PM dan TPM turun berkempen di Kedah dalam Pilihan Raya Umum.

==>> Lagi berita klik disini

Image"Ini tidak pernah berlaku sejak puluhan tahun lalu, sekalipun ketika Tun Mahathir menjadi PM, beliau tidak perlu turun ke merata negeri Kedah ini," sambung Pak Tuan.

Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak terpaksa mengadakan lawatan mengejut ke Kedah sejak kelmarin, Abdullah memilih Kuala Kedah dan Jerlun, sementara hari ini, Najib ke Sik dan Pendang.

Para wartawan akhbar harian pula menyebut bahawa mereka amat terkejut dengan kehadiran yang amat sedikit ketika Abdullah di Padang Awam, Taman Sri Putra, Kuala Kedah.

"Hanya sekitar 200 hingga ke 300 orang sahaja yang hadir, belum pernah berlaku begini, cuma di Padang Sera, Kodiang agak lebih ramai sedikit dari biangan yang hadir di Kuala Kedah," cerita mereka.

Bagi Pak Tuan, kunjungan ke Kuala Kedah hanya sekadar menjaga hati bekas MB Kedah, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain dan juga perasaan pengundi di sana atas sifat, Syed Razak sebagai Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah.

"Parlimen Jerlun terpaksa dipilih untuk menjaga hati Tun Mahathir, anaknya bertanding di sana, jadi Pak Lah turun berkempen untuk Mukhriz," tegas beliau lagi.

Katanya lagi, BN Kedah juga sudah kekeringan idea kerana membawa semula Najib ke Felda Sungai Tiang, tidak sampai sebulan lalu, Najib telah ke sana dan menemui para peneroka di Felda Lubuk Merbau, dalam jarak yang cukup dekat antara dua tempat ini.

"Sik sedang bergolak, Najib cuba nak jadi hero, orang Sik tak mahu Osman Desa di Parlimen, dia orang luar, ini tak dapat dinafikan, tetapi kehadiran Najib hanya menambahkan lagi marah rakyat kepada BN kerana orang Sik juga tidak berminat dengan Najib atas faktor terlalu banyak terpalit dengan isu rasuah dan wanita," sambung beliau.

Kem BN kali ini masih belum dapat digerakkan di mana-mana bahagian, anak muda sudah tidak bersama mereka dan pengundi bukan Islam juga dilihat sudah menunjukkan isyarat akan meninggalkan BN.

Dalam perkembangan lain, beberapa calon BN yang cuba mendekati rumah-rumah yang majoritinya pengundi Cina, dihalau dan diberi amaran untuk tidak datang lagi ke kawasan mereka atas alasan, hari ini calon-calon BN itu datang, lima tahun pula dia akan menemui mereka.

KDNK naik tapi taraf hidup rakyat turun

Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak ke 7.3 peratus dalm suku keempat 2007.

==>> Lagi berita klik disini

Ini di luar dugaan sebab terlebih dahulu jangkaan kenaikan untuk 2007 oleh Kerajaan sendiri ialah 6.3 peratus, berbanding dengan 5.0 peratus bagi tahun 2006. Malaysian Institute for Economic Research (MIER) pula telah menganggarkan kenaikan hanya sebanyak 5.4 peratus saja bagi tahun 2007.

Angka lonjakan ini boleh dipertikaikan. Adakah ia dikeluarkan semata-mata untuk membantu Umno-Bn dalam kempen pilihanraya ke-12 ini? Bank Negara menyatakan lonjakan tersebut hasil dari perbelanjaan pengguna yang bertambah disokong oleh aktiviti swasta yang kukuh dan perbelanjaan sektor awam yang meningkat.

Tidak ada bukti perbelanjaan pengguna bertambah, bahkan ini tidak mungkin sebab kuasa beli rakyat terutama sekali berkurangan akibat tiadanya peningkatan pendapatan sebenar kerana pendapatan tidak bertambah dan harga barang keperluan meningkat.

Aktiviti swasta pun tidak begitu kukuh sebab keadaan ekonomi baru pulih lebih separuh saja selepas krisis kewangan yang bermula pada tahun 1997. Juga, jumlah dan kadar pelaburan langsung (FDI) rendah dan tidak menunjukkan tanda bertambah.

Kerajaan BN memang banyak menjanjikan perbelanjaan lebih besar untuk beberapa projek gergasi. Akan tetapi ini belum dilaksanakan. Memang ada penambahan perbelanjaan awam yang lebih kecil, tetapi adakah mereka mempengaruhi secara signifikan lonjakan KDNK itu?

Yang lebih penting lagi ialah walaupun KDNK dikatakan bertambah tetapi ia tidak tercermin pada kenaikan taraf hidup rakyat ramai. Mengikut Manifesto BN, pendapatan sebenar isi rumah di Malaysia pada tahun 2007 ialah RM3,617 berbanding dengan RM3,249 pada tahun 2004, tanpa mengambil kira inflasi.

Ini bererti hitung panjang pertumbuhan bagi tip-tiap tahun hanya sebanyak 3.6 peratus. Jikalau diambil kira kadar inflasi 2.6 peratus pada tempoh yang sama (mengikut indeks harga - PI – yang diumum kerajaan), maka didapati pertumbuhan pendapatan seisi keluarga ialah hanya sebanyak 1.0 peratus saja bagi tiap-iap tahun.

Apakah yang Dato' Seri Abdullah Badawi dan Umno-Bn hendak banggakan tentang kemjuan yang dicapai di bawah Umno-Bn? Pendapatan tidak naik. Harga barang melambung. Rakyat ramai tidak mendapat faedah dari lonjakan KDNK. Tetapi hanya segelintir kecil dari golongan elit yang mengaut bahkan merompak kekayaan negara.

BA tidak punya masalah mentadbir Perak jika menang pilihan raya

IPOH, 28 Feb (Hrkh) - Barisan Alternatif Negeri Perak tidak menghadapi masalah untuk membentuk kerajaan sekiranya parti pembangkang berjaya menang sekurang-kuranya tiga puluh lima kerusi Dun pada pilihan raya umum ini.

==>> Lagi berita klik disini

ImageWalaupun PAS tidak ada kerjasama dan pakatan dengan DAP dalam pilihan raya umum ini, tetapi PAS mempunyai hubungan yang cukup baik dengan DAP kerana itu sekiranya BA dan DAP menguasai negeri ini, tidak akan wujud masalah untuk memerintah negeri ini.

Demikian ditegaskan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dalam sidang media di Pejabat PAS negeri. Turut sama di majlis itu pimpinan kedua-dua parti PAS dan PKR,

"Kita tidak ada masalah, tidak akan berlaku perebutan siapa yang menjadi Menteri Besar, kerana kita yakin hubungan yang baik dengan DAP akan memudahkan pembentukan kerajaan di negeri ini," ujar beliau,

Dalam Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri jelas menyebut parti-parti yang menang boleh membentuk kerajaan dan menteri besarnya adalah seorang Melayu dan beragama Islam.

"Walaupun kami berlainan parti dan ideologi tidak bermakna kami tidak boleh bermuafakat untuk membentuk kerajaan," tegasnya.

"Oleh kerana PKR ada kerjasama dengan DAP, masalah ini telah pun dibincang dan DAP memahami peruntukan tersebut," jelas Ahli Majlis Tertinggi PKR Pusat, Usaili Alias.

Sebenarnya parti-parti pembangkang di negeri ini memang mempunyai persefahaman yang baik, ini terbukti dari pembahagian kerusi yang ditandingi di mana PAS bertanding 21 kerusi Dun, PKR 20 dan DAP 18.

Ini menggambarkan ketulusan dalam persehahaman, ini akan memudahkan parti pembangkang membentuk kerajaan, sekali gus mentadbir dengan baik dan berkesan.

Beliau meminta rakyat memberikan kepercayaan dan sokongan yang padu untuk membolehkan parti-parti pembangkang mengambil alih negeri ini.

Beliau juga percaya manifesto BA Perak mampu menarik sokongan rakyat untuk memilih BA sebagai peneraju negeri ini.

Husam minta jentera PAS guna layar besar untuk berkempen

KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa meminta jentera penerangan PAS dan parti-parti pembangkang di seluruh negara menggunakan skrin besar sebagai salah satu media kempen pilihan raya.

==>> Lagi berita klik disini

Beliau menyatakan perkara itu ketika memaklumkan persetujuan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi kepada permintaan PAS untuk mengggunakan skrin besar bagi menayangkan majlis ceramah dan kempen sepanjang pilihan raya umum kali ini.

"Negeri-negeri lain juga mesti menggunakan skrin besar untuk berkempen kepada para pengundi. Jika penggunaan skrin besar itu diluluskan di Kelantan, tidak ada sebab ia tidak boleh digunakan di negeri-negeri lain," kata beliau.

Sebelum ini, polis Kelantan melarang penggunaan skrin besar dalam kempen pilihan raya kali ini.

Larangan tersebut dikeluarkan oleh Abdul Rahim sebaik sahaja proses penamaan calon selesai dilakukan pada 24 Februari lepas.

Berikutan larangan itu, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bertemu dengan Ketua Polis Kelantan itu dan berjaya meminta kerjasama beliau supaya menarik balik larangan itu

Puteri Reformasi diserbu penyokong dan peminat di Pantai Dalam

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Calon KeADILan bagi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang lebih dikenali sebagai Puteri Reformasi, dikerumuni oleh penyokong-penyokong dan peminat beliau pada satu ceramah yang diadakan di Pantai Dalam, malam semalam.

==>> Lagi berita klik disini

Dengan ditemani oleh suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Nurul Izzah berjalan menuju ke bilik gerakan KeADILan dengan disambut oleh sekumpulan anak muda bermotorsikal yang mengibarkan bendera KeADILan. Beliau bersalaman dengan wanita dan kanak-kanak yang hadir tetapi hanya sekadar menganggukkan kepala kepada kaum lelaki yang ada di sekelilingnya.

Gaya Nurul Izzah cukup memikat hati apabila beliau memulakan ceramahnya dengan memberi salam dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin dan Tamil kepada orang ramai yang hadir.

Dalam ucapannya Nurul Izzah berjanji untuk membantu mempertingkatkan kualiti hidup penduduk-penduduk di dalam kawasannya terutama setinggan yang tinggal di rumah panjang, yang katanya tidak mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

Katanya, sekiranya beliau dilantik menjadi wakil rakyat, beliau mempunyai posisi yang lebih baik untuk bersuara bagi pihak mereka berbanding lawannya, Dato' Sharizat Abdul Jalil, kerana beliau mewakili pembangkang.

"Tidak menjadi masalah bagi saya untuk mengkritik kerajaan," katanya.

"Saya berdiri di sini untuk anda semua, dan anda semua perlu menyahut seruan ini dengan berkata kepada kerajaan Barisan Nasional bahawa kami sudah tidak sanggup lagi. Kerajaan tidak boleh memandang ringan kepada kami lagi," katanya.

Terdahulu, pada sebelah petang Nurul Izzah berkata beliau telah bertemu penduduk Pantai Dalam di stesen komuter dan beliau difahamkan bahawa penduduk rumah panjang tidak pernah menikmati perubahan sejak 17 lalu.

"Ahli Parlimen BN berada di sini sejak 12 tahun lalu, tetapi kehidupan penduduk rumah panjang masih seperti dulu. Tiada perubahan. Mereka masih tidak dapat menikmati kualiti hidup. Fikirkanlah tentang masa depan anda, dan undilah saya.

"Saya akan buat yang terbaik untuk memperbaiki keadaan di sini," katanya sambil disambut dengan tepukan yang gemuruh daripada mereka yang datang mendengar ceramahnya.

Beliau turut mengulangi janji Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) untuk menurunkan harga minyak sekiranya parti itu memerintah, dan berkata kerajaan hanya tahu membuat janji-janji kosong dan bersikap angkuh kerana tidak mahu mendengar pandangan ahli ekonomi.

"Negara kita kaya. Kerajaan mampu memberi gaji minima RM1,500 sebulan. Tetapi walaupun negara makmur, rakyat menderita. Mengapa rakyat harus menjadi mangsa sedangkan kerajaan berbelanja mewah?" soal beliau.

"Dah tak bersua, nak bersalam macam mana?"

Ada benarnya kata orang bahawa seseorang yang telah berbohong akan sanggup berbohong sepuluh kali lagi bagi menutup pembohongan awalnya itu. Ada orang kata pepatah ini milik Adolf Hitler, diktator Jerman yang digeruni musuh itu. Ada juga yang mendakwa ia pepatah Cina dan ada yang kata ia kata-kata hikmah ahli failasuf Barat.

==>> Lagi berita klik disini

Tak kisahlah siapapun yang empunya pepatah itu. Apa yang nyata ia amat bertepatan dengan gelagat para pemimpin politik negara ini. Keghairahan para pemimpin Barisan Nasional memutarbelit fakta isu salam di Terengganu boleh dijadikan contoh.

Dalam kejadian yang didakwa berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-12, Ahad (24 Februari) lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dikatakan enggan bersalam dengan lawannya dari BN bagi kerusi Parlimen Marang, Dato' Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir.

Anehnya, perkara itu hanya diperbesarkan keesokan harinya. Orang yang membuka cerita itu pula tidak lain daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh. Mengapa cerita ini tidak dicetuskan tuan empunya diri (Ramzi) sendiri?

Ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program kempen bersama calon-calon BN di Kampung Rhu Muda, Marang, Isnin lalu, Idris dilaporkan menempelak Abdul Hadi sebagai angkuh.

"Saya diberitahu mengenai insiden itu semalam. Inilah sikap sebenar pemimpin PAS. Saya tidak pasti apakah sebabnya Abdul Hadi tidak mahu bersalam dengan Ahmad Ramzi," katanya.

Panjang lagi leterannya, termasuk mengaitkan pula dengan ajaran Islam yang menyuruh kita menghormati orang lain dan menyambut salam. Seolah-olah Abdul Hadi selaku seorang ulama dan tok guru tidak tahu hukum dan adab itu.

Siapa tidak kenal Idris? Seorang pemimpin yang entah berapa kali telah berbohong terang-terangan kepada seluruh rakyat Terengganu. Mahu disenaraikan siri pembohongan beliau?

Di minggu pertama jadi MB, dia kata kerajaan BN pimpinannya tidak akan balas dendam. Dalam minggu itu juga ratusan penjawat awam lantikan politik dihentikan khidmat mereka. Beberapa pegawai kanan kerajaan turut menjadi mangsa. Belasan imam dan bilal kemudiannya turut dipecat.

Tanah dianugerah kerajaan PAS dirampas semula. Penerima bantuan kebajikan yang disenaraikan kerajaan PAS dikeluarkan semula dari senarai. Apakah itu tidak balas dendam namanya?

Idris sering sebut sejak BN memerintah Terengganu rakyatnya semakin ceria. Barangkali dia mahu mengiyakan slogan yang diciptanya sendiri, ‘BN Menang Rakyat Senang’.

Siapa sebenarnya rakyat yang senang itu? Siapa lagi kalau bukan kroni dan para penyokongnya. Ada pun rakyat terbanyak masih hidup merempat. Golongan miskin dan termiskin malah makin bertambah.

Kalau nak dikatakan dakwaan ini direka-reka pembangkang, bagaimana dengan pendedahan mengenainya oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri sendiri?

Dalam satu laporan dikeluarkan EPU pada Oktober 2006, disebutkan kadar kemiskinan rakyat Terengganu meningkat kepada 15.4 peratus. Jumlah isi rumah miskin tegar pula seramai 8,300 dan kedua tertinggi dalam negara.

Sedangkan (menurut kenyataan Adun PAS-Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut) sewaktu diambil alih BN daripada PAS, kadar itu hanyalah 10.4 peratus. Terengganu di bawah PAS berada di kedudukan keempat dalam jumlah miskin tegar tertinggi.

Maka apabila Idris berkata di bawah BN, rakyat semakin senang, tidakkah itu satu pembohongan? Tak bohong macam mana kalau sampai rakyat terpaksa pergi merempat di tangga tokong Cina, meminta sedekah dari orang bukan Islam?

Ada lagi. Idris menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Di awal pemerintahannya dia sebut nak sediakan 25,000 peluang kerja. Sekarang, selepas empat tahun, mana peluang kerja tu?

Ya, memang ada dua gedung perniagaan besar. Tapi ia dipenuhi para pekerja asing, termasuk dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal. Di tapak-tapak pembinaan beberapa projek besar seperti Pulau Wan Man, Pulau Duyong, stadium dan lebuh raya pun begitu juga.

Ada lagi peluang kerja, iaitu di tapak pelupusan sampah. Rakyat berkhemah di situ bagi mengumpul bahan buangan. Barangkali itu pun peluang pekerjaan yang dijanjikan Idris juga?

Idris berbohong kononnya di bawah BN anak-anak makin pintar. Maka bagi menutup pembohongannya yang menyalahi fakta sebenar, Idris berbohong lagi kononnya Terengganu sentiasa menjuarai keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sewaktu mengulas keputusan UPSR 2007, Idris turut menyebut bahawa Terengganu telah mengekalkan kejayaan sebagai negeri terbaik UPSR selama tujuh tahun berturut-turut. Ini memang jelas bohong.

Seluruh negara tahu, selama lima tahun berturut-turut Terengganu jadi negeri terbaik dalam UPSR. Kita juga tahu Terengganu gagal mempertahankan rekod cemerlang itu 2006 lalu. Terengganu jatuh ke tangga ketiga, katanya selepas Pulau Pinang dan Selangor.

Kalau sudah jatuh ke tangga ketiga, walaupun sekali, berturut-turut ‘kepala *%£$+’ apa macam tu?

Idris berbohong lagi. Dia bohong pasal ribuan kanak-kanak khatam al-Quran. Walhal budak-budak tu hanya hafal beberap surah Muqaddam.

Dia bohong kononnya selama empat tahun memerintah, PAS tak bina walau sebuah pun masjid. Dia bohong mengatakan berlaku pembalakan haram dan penyelewengan hasil hutan di zaman PAS. Tetapi apabila kerajaan BN sendiri tubuh suruhanjaya khas siasat hal itu, sah lah tiada penyelewengan berlaku.

Idris sudah diketahui memang kuat berbohong. Barangkali di atas faktor itulah Idris merasakan lebih baik beliau sendiri yang membuka cerita fitnah mengenai salam ini. Sebabnya, beliau memang pakar dalam bab mencipta fitnah.

Barangkali juga Ahmad Ramzi selaku pendatang baru dalam konfrontasi politik Terengganu belum terbiasa dengan cara gaya fitnah dan berbohong ini. Lalu Idris mereka-reka cerita kononnya Presiden PAS enggan bersalam dengan calon BN.

Tetapi Ramzi sendiri pun nampaknya cepat belajar daripada bosnya. Akhbar semalam (Rabu) memetik katanya yang mengiyakan fitnah dilemparkan bosnya kepada Abdul Hadi itu.

"Memang masa itu saya cuba bersalam dengan beliau (Abdul Hadi), macam mana pula beliau kata tidak berkesempatan bertemu saya. Itu hanya alasan supaya tidak terus dilabel sebagai seorang pemimpin yang angkuh," katanya sebagaimana dipetik akhbar.

Sekalung tahniah buat Ramzi yang telah berjaya menganggotai kelab 'Berehi Nawok' (akronim baru untuk BN). 'Berehi Nawok' adalah kalimah Terengganu bermaksud suka berbohong.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut, penulis menghubungi beberapa rakan di Marang. Mana tahu kalau-kalau mereka ada bersama Presiden PAS ketika itu.

Berdasarkan keterangan (secara berasingan) tiga daripada mereka, penulis berani menyimpulkan bahawa keadaan yang dikatakan 'bertemu' itu sebenarnya tidak berlaku.

'Dah memang kedua-dua (Abdul Hadi dan Ramzi) tak bertemu dekat, nak bersalam macamana?’, soal Haji Wahab Othman yang turut berada di dalam rombongan Abdul Hadi pagi itu.

Haji Wahab bukan orang asing bagi penduduk Marang, khususnya di Dun Rhu Rendang yang turut diwakili Abdul Hadi. Wahab telah menjadi wakil calon kepada Presiden PAS itu sejak beberapa penggal lalu.

Beliau juga Setiausaha Dun Rhu Rendang dan Setiausaha Kerja Pejabat Adun Rhu Rendang sejak sekian lama.

Menurut beliau, kedua-dua calon berkenaan memang tidak bersemuka walau pun di dalam dewan tempat penamaan calon. Rombongan Abdul Hadi masuk lewat 20 minit daripada rombongan calon BN itu.

"Ketika kami masuk (untuk menyerahkan borang pencalonan), Ramzi (calon BN) dah masuk ke tempat rehat. Dia dah selesai proses serah borang.

"Kami selesai, kami masuk bilik (rehat) berasingan. Memang tak jumpa (rombongan BN) sepanjang tempoh penamaan calon tu," kata Wahab.

Menurut Setiausaha Khas Presiden PAS, Zaihan Mohd Daud pula sebaik selesai proses penamaan calon, Abdul Hadi mengadakan sidang media, terutama bagi mengulas arahan tidak konsisten Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) mengenai syarat pematian setem pada borang pencalonan.

Abdul Hadi, menurut beliau, tidak hadir ke tempat pengumuman calon sah bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"Tahun ni memang pelik daripada sekala (kebiasaan). Selalunya Pegawai Pengurus minta semua calon bersalam, tapi tahun ni tak berlaku benda tu," tambah Wahab lagi.

Menurut maklumat diterima seorang rakan wartawan, isu bersalam ini sebenarnya berpunca daripada dua jurugambar akhbar berhasrat mengambil foto kedua-dua calon untuk Parlimen Marang dalam posisi tersebut.

"Yang bersungguh meminta untuk bersalam katanya jurugambar tu, bukan calon BN pun," ujar rakan tadi.

Menurutnya juga, oleh kerana Abdul Hadi sedang menuju keluar ke arah tempat letak kereta dan berada agak jauh daripada Ramzi, Presiden PAS itu tidak menganggap masih ada perkara penting yang perlu dilayannya.

Fakta kedudukan sebenar antara mereka ini turut dinyatakan Ramzi dalam kenyataannya disiarkan Utusan Malaysia semalam.

"Panggilan kepada Tok Guru (Abdul Hadi) ajak dia bergambar dengan Ramzi tu dari jarak agak jauh. Tok Guru sekadar sebut, ‘tak perlu ambik gambar, dah banyak dah gambar’.

"Tok Guru tak kenal pun yang berdiri bersama jurugambar tu calon BN hak lawan dia, tapi Tok Guru angkat tangan," kata rakan penulis itu.

Itulah keadaan sebenar yang berlaku. Idris dalam kenyataannya kelmarin ada sebut beliau tidak pasti apakah sebabnya Abdul Hadi tidak mahu bersalam dengan Ahmad Ramzi.

Barangkali beliau memang tak tahu. Barangkali juga beliau sudah tahu keadaan sebenar, tetapi masih cuba memfitnah parti lawan.

Barangkali beliau sudah tidak dapat menahan diri daripada bercakap bohong, kerana BN sebenarnya sudah ketandusan isu bagi mengembalikan keyakinan rakyat Terengganu kepadanya. - mns Cetak

Dasar Yang Gagal Dan Mitos Perpaduan

Dasar dan Mitos!!

  • Dasar ekonomi diwujudkan dengan alasan untuk mengukuhkan perpaduan dengan menyusun semula masyarakat dan menghapuskan kemiskinan.
  • Dasar Ekonomi Baru dan penerusannya Dasar Pembangunan Nasional (1991-
    2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan Misi Nasional (2006-2020)
    terbukti gagal.
  • DEB tidak menghapuskan kemiskinan. Data peratus rakyat miskin
    berkurangan sebahagian besarnya kerana garis kemiskinan diturunkan.
  • Perpaduan tidak mungkin dapat diwujudkan melalui pendekatan ekonomi
    yang menindas satu segmen masyarakat.
  • Pembahagian kekayaan negara yang tidak adil.Terengganu dan Sabah kekal
    antara negeri paling mundur sekalipun mempunyai hasil petroleum.

Hakikat Setelah 37 Tahun
  • Kroni dan keluarga pemimpin politik yang mendapat keuntungan. Pemimpin
    UMNO dan BN menggunakan DEB untuk mengkayakan diri.
  • Dasar memberi bantuan kepada orang Melayu untuk membasmi kemiskinan
    diperalatkan sebagai alasan untuk mengkayakan golongan atasan Melayu.
  • Orang Cina dan India juga mendapat manfaat daripada DEB jika mereka ada
    hubungan istimewa dengan elit memerintah. Pemimpin MCA, MIC, Gerakan
    dan sebagainya meraih keuntungan terbesar.
  • Ahli-ahli perniagaan yang mempunyai hubungan politik ini membeli peluang
    keuntungan. Kontrak dan projek diperolehi bukan berasaskan pengetahuan
    dan kemampuan tetapi siapa yang dikenali.
Rakyat mesti sedar
  • Rakyat perlu sedar dan semua pihak perlu mengakui bahawa pertarungan
    sekarang ialah antara kelas dan bukan kaum.
  • Dokumen-dokumen kerajaan mengakui bahawa meskipun kemiskinan mutlak
    (mengikut takrifan mereka) berjaya dikurangkan, kemiskinan relatif sedang dan
    semakin meningkat.
  • Meskipun ekonomi Malaysia berkembang, pembahagiannya dilakukan secara
    tidak adil.

Usaha Lumpuhkan Laman Web KeADILan Gagal, BN Guna Perkhidmatan Web ISRAEL


Kuala Lumpur, 27 Feb - Pengendali laman-laman web KeADILan hari ini mengesahkan bahawa terdapat beberapa cubaan untuk melumpuhkan laman-laman web KeADILan, bermula dengan suarakeadilan.com.

==>> Lagi berita klik disini

Peningkatan mendadak hampir empat kali dari 100 hingga hampir 400 capaian (sila rujuk carta) kepada pelayan web KeADILan dengan status SYN_RECV menunjukkan bukti serangan DoS iaitu Denial of Service, yang cuba memperbanyakkan proses dan membuat capaian berganda terhadap pelayan web.

Walaubagaimanapun, percubaan ini gagal kerana laman-laman web KeADILan dipantau pada setiap masa.

BN juga sah menggunakan perkhidmatan web sebuah syarikat Israel untuk mengiklankan laman kempennya.

Maklumat ini disahkan melalui mencari sumber iklan-iklan BN yang kini dipaparkan di pelbagai laman web. Sumber tersebut menunjukkan BN menggunakan perkhidmatan iklanan yang ditawarkan oleh serving-sys.com milik syarikat yang bernama Eyeblaster.com.

Hubungan iklan dengan serving-sys.com boleh dilihat dengan meneliti sumber (Source/Properties) iklan ini, dan hubungan serving-sys.com dengan Eyeblaster boleh disahkan melalui laman DNSstuff.com.

Pimpinan syarikat Eyeblaster boleh dilihat di sini, dan alamat rasminya adalah:

8 Hasadna St
Ra”anana, Israel 43100
Phone: 972-972-97760801

Manifesto BN: Pendidikan

  • Menaikkan tahap kelayakan minima para guru dan menyediakan lebih banyak peluang latihan
  • Meneruskan usaha menjadikan Sekolah Kebangsaan sebagai sekolah pilihan; antara lain, melalui usaha peluasan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil
  • Memelihara kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan
  • Meningkatkan perpaduan nasional dengan menggalakkan interaksi di kalangan pelajar
  • Menyediakan lebih banyak biasiswa di peringkat ijazah untuk pelajar yang berkelayakan dari keluarga miskin, tanpa mengira kaum
  • Mengenalpasti Universiti Apeks dan memberikan lebih autonomi dan sumber untuk membolehkan institusi pengajian tinggi awam mencapai tahap global
  • Meningkatkan lagi pelaburan di bidang Sains dan Teknologi, khususnya R&D di dalam negara
MANIFESTO BN MENJANA PENDIDIKAN TERBAIK UNTUK RAKYAT, SUDAHKAH ANAK-ANAK KITA MENDAPAT BIASISWA SEPERTI DIJANJIKAN SEBELUM INI?

FIKIR-FIKIRKAN LAH

Manifesto BN : Ekonomi

  • Meningkatkan produktiviti, pendapatan dan daya saing negara
  • Menangani kesan kenaikan harga bagi menjamin kualiti hidup rakyat yang bermutu
  • Memperkasa peranan sektor swasta sebagai enjin utama menjana pertumbuhan ekonomi negara
  • Memupuk dan membantu 1 juta syarikat dan usahawan IKS dalam masa 5 tahun
  • Menjana lebih 2 juta peluang pekerjaan yang bermutu dalam masa 5 tahun
  • Mengurangkan lagi defisit fiskal negara bagi membolehkan lebih
    banyak dana digunakan untuk tujuan pembangunan, tanpa meningkatkan cukai
  • Melaksanakan pelan pembangunan kelima-lima koridor ekonomi bagi menjana pertumbuhan, pelaburan, serta peluang pekerjaan ke seluruh pelosok negara
MANIFESTO BN MENJANA EKONOMI NEGARA, ADAKAH KEUNTUNGAN EKONOMI TERSEBUT MASUK KE POKET RAKYAT?


FIKIR-FIKIRKAN LAH

Manifesto BN: Keselamatan Awam

 

  • Mengurangkan indeks jenayah negara
  • Menangani penyalahgunaan dadah dan lain-lain gejala sosial
  • Menangani isu pendatang asing tanpa izin
  • Menambah 60,000 anggota Polis menjelang tahun 2011
  • Membina 150 balai dan pangkalan rondaan bagi meningkatkan kehadiran Polis dalam kawasan setempat
  • Meningkatkan keselamatan di sekolah-sekolah, taman-taman permainan, dan tempat-tempat awam
  • Meningkatkan usaha kepolisan dalam masyarakat melalui kerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, serta masyarakat tempatan
  • Menaiktaraf teknologi komunikasi, peralatan senjata, kenderaan, alat bantuan teknikal serta program-program latihan pasukan Polis
  • Memberi fokus sumber dan operasi di kawasan-kawasan cenderung jenayah di serata negara
  • Menyusun semula persempadanan daerah Polis agar lebih sepadan antara sumber Polis dan keperluan keselamatan masyarakat setempat
  • MANIFESTO BN MENJANJIKAN KEHEBATAN KESELAMATAN NASIONAL, BAGAIMANA KESELAMATAN KELUARGA KITA?


    FIKIR-FIKIRKANLAH

    Tiada Kenaikan Harga Petrol - Najib

    KUALA LUMPUR: "Tidak mungkin harga minyak akan naik sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyangkal andaian sesetengah pihak yang mengatakan harga bahan api akan dinaikkan selepas PRU pada 8 Mac ini.

    Benarkah apa yang dijanjikan oleh kerajaan BN akan menjadi kenyataan? Realitinya pada pilihanraya 2004 juga pelbagai janji ditaburkan kepada rakyat, malangnya tidak diendahkan dengan pelbagai alasan sedangkan kerajaan BN mengetahui bahawa rakyat sudah tidak mampu menanggung beban yang menggunung. Jika benar apa yang Najib ungkapkan kenapa telah ada ura-ura agar segala urusan menambah data di stesen minyak dibuat mulai awal bulan Mac? Lebih mengejutkan apabila segala pengubahsuaian data perlu dibuat pada waktu malam. Ada dua kemungkinan sama ada menurunkan atau menaikkan harga bahan api tersebut. Atau sekadar tiada kenaikan untuk tahun pertama memerintah sedangkan tahun ke 2 dan seterusnya bagi penggal ke 12 ini akan terus menganak tiri kan rakyat?

    Mampukah kerajaan menurunkan harga petrol? Sedangkan itulah hakikat bahawa kerajaan BN tidak mampu menanggung pengurangan harga bahan tersebut. Walau apapun manifesto kerajaan BN, matlamat setinggan sifat sudah pasti tidak dilupakan oleh kerajaan BN dibawah pimpinan Khir Toyo. Diharapkan rakyat yang bijak diluar sana tidak termakan gula-gula yang diberikan oleh pemimpin BN.

    Kebangkitan rakyat, pengundi Cina sokong BA di Terengganu

    KUALA TERENGGANU, 26 Feb (Hrkh) - Barisan Alternatif (BA) yang terdiri dari PAS dan Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) kini semakin mendapat tempat 'di hati' pengundi Cina dan India.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Ini kerana, berdasarkan senario politik terkini di Terengganu gelombang kebangkitan rakyat sudah berpihak kepada PAS dan KeADILan.

    Beberapa daerah telah berjaya menubuhkan Kelab-kelab Penyokong PAS dari kalangan kaum Tionghua iaitu di Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu.

    ImageTinjauan Harakahdaily pada Majlis Pelancaran Kelab Penyokong PAS Kuala Terengganu yang diadakan di pekarangan Flat Batas Baru, Kuala Terengganu mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat Tionghua.

    Lebih 100 orang masyarakat Tionghua berhampiran perumahan Flat Batas Baru tersebut hadir serta memberi komitmen menyokong calon PAS dan KeADILan yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 ini.

    Kelab tersebut dirasmikan pelancarannya oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali serta penyerahan watikah kepada ahli-ahli jawatankuasa berkenaan.

    Sementara itu, di Kampung Bukit Berangan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh turut diadakan jamuan sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama pemimpin PAS Kuala Nerus.

    Majlis tersebut diraikan oleh calon PAS Tepoh, Ustaz Abu Bakar Abdullah yang juga Yang DiPertua PAS Kuala Nerus.

    Seorang warga emas, Encik Kam Koi Yong, 78, dari Kampung Pulai Baru mengesahkan menerima geran hak milik kekal bagi tanah penempatan ketika kerajaan di bawah pemerintahan PAS.

    Katanya, hampir 50 tahun menunggu geran yang dibekukan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini.

    "Saya ada terima geran tanah masa PAS memerintah Terengganu dan dia (PAS) buat sungguh apa yang dikatakan itu," ujarnya.

    Menurutnya, tidak ada sebab masyarakat Tionghua di kawasan ini menolak PAS yang banyak berjasa kepada rakyat.

    Chan Lan Yung, 63, mendakwa kesan kenaikan harga barang yang melambung itu menyusahkan rakyat miskin.

    Katanya, kestabilan pemerintahan terletak kepada sesebuah kerajaan yang adil, bersih dan cekap.

    "Masa PAS perintah negeri ini barang tidak naik sangat dan rakyat banyak terima duit 'bonus' dari pihak tertentu tapi sekarang tidak ada lagi," ujarnya.

    Beliau turut mengesahkan ada menerima geran tanah kekal yang diagihkan semasa kerajaan PAS Terengganu.

    Tan Yik Nui, 72, dari Kampung Pulai Baru cukup serasi dengan suasana muhibbah bergaul dengan orang Melayu dari kalangan ahli PAS.

    "Saya telah lama tinggal di kampung ini dan telah menerima geran tanah dari kerajaan PAS dahulu.

    "Orang PAS baik-baik belaka dan kami cukup selesa dengan mereka semua," ujarnya yang datang dengan memakai kain sarung batik.

    Beliau mengakui kerajaan PAS Terengganu banyak membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik termasuk di kalangan keluarganya penyokong MCA.

    BA buat laporan polis, ekoran Rafidah lupa tandatangan borang pencalonan

    KUALA KANGSAR, 26 Feb (Hrkh) - Barisan Alternatif (BA) Kuala Kangsar telah membuat satu laporan polis di sini semalam ekoran calon Parlimen Kuala Kangsar, Dato' Seri Rafidah Aziz yang dikatakan terlupa untuk menandatangani borang pencalonannya.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Gara-gara batal duti setem, Rashid 'takut' jumpa calon PAS

    PUTRAJAYA, 25 Feb (Hrkh) - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman enggan berdepan dengan calon-calon PAS ketika menyerahkan memorandum bantahan berhubung pembatalan 'duti setem' tidak sampai 24 jam sebelum hari penamaan calon.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Dalam rombongan itu, Calon Parlimen Kuala Terengganu, Mohamad Sabu; Calon Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali; calon Parlimen Tanjung Karang, Hanipa Maidin dan calon Parlimen Putrajaya, Mohammad Nor Mohamad yang tiba di lobi SPR meminta Pegawai Perhubungan Awam (PR) SPR membawa mereka untuk bertemu dengan Abdul Rashid.

    Bagaimanapun PR SPR Sabri Said memberitahu beliau hanya dibenarkan menerima memo bantahan daripada PAS di lobi sahaja.

    Kata-kata Sabri itu, membuatkan Mohamad Sabu, Hanifa, Lo'Lo' tidak berpuas hati dan mendesak Sabri untuk memanggil Abdul Rashid turun bertemu mereka atau mereka bertemu Abdul Rashid.

    Keadaan menjadi sedikit kecoh apabila Sabri terus menegaskan beliau menerima arahan untuk menerima memo di lobi sahaja selepas beliau menghubungi Rashid melalui telefon bimbitnya.

    "Sila panggil dia turun, atau kami yang naik, apa..SPR ni..biadap, pilihan raya kali ini lebih teruk dan kotor daripada tahun 2004," kata Mohamad Sabu dengan nada marah.

    "Tak ada, tak ada... kami nak jumpa dia sekarang! Telefon dia sekarang atau biar kami bercakap dengan dia," tegas Hanipa Maidin.

    "Sekejap cakap nak duti setem, kejap cakap tak perlu duti setem, bila Umno tidak mampu buat duti setem, SPR terus batalkan arahan itu," tambah Hanipa yang mahukan penjelasan daripada Abdul Rashid sendiri berhubung perkara itu.

    "Kalau dia tak mahu jumpa kami boleh kami bercakap dengan dia atau ada mana-mana 'line' telefon di sini boleh sambungkan kepada dia, kami nak bercakap dengan dia juga," celah Dr Lo' Lo'.

    "Kenapa beliau tidak mahu jumpa dengan kami, atau SPR takut untuk berdepan dengan kami, kami nak jumpa orang yang mengeluarkan arahan kepada kita, dia (Rashid) yang keluarkan surat itu jadi dia berhak untuk memberi penjelasan," kata Dr Lo'Lo'.

    Keadaan bertambah tegang, apabila Sabri memaklumkan kepada rombongan PAS mereka tidak akan menerima memo itu jika PAS berkeras untuk berjumpa dengan Abdul Rashid.

    Bahkan Sabri turut mengarahkan beberapa pegawai keselamatan untuk menghalau rombongan PAS kira-kira 30 orang.

    Atas sikap Pengerusi SPR yang enggan bertemu dengan PAS itu, Mohamad Sabu bertindak mengoyak kertas memo yang hendak disampaikan kepada Abdul Rashid di depan lobi kemudian melempar cebisan kertas itu di situ.

    Sebelum ini, SPR mengarahkan calon yang bertanding mendapatkan pengesahan duti setem, arahan itu dikeluarkan pada jam 3 petang hari Khamis (21 Februari 2008).

    Bagaimanapun, SPR juga membatalkan arahan tersebut pada tengah malam hari Sabtu iaitu beberapa jam sebelum penamaan calon.

    Arahan tersebut tidak dimaklumkan kepada calon-calon pembangkang di kalangan PAS menyebabkan PAS membuat bantahan di lima kerusi Dun Marang dan Parlimen Titiwangsa kerana tidak mengetahui arahan memansuhkan 'duti setem' itu.

    PAS terkejut bantahan mereka ditolak kerana 'duti setem' itu terus dimansuhkan melalui surat yang ditunjukkan oleh wakil SPR ketika penamaan calon di Marang. -

    Khairy mula risau bertanding di Rembau

    KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusuf menyifatkan kenyataan calon Barisan Nasional Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang cuba membangkitkan wujudnya nepotisme di kalangan pembangkang menggambarkan kerisauannya dengan suasana pencalonannya di Rembau.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Jelas Sabki, Khairy mungkin cuba mempertahankan dirinya kerana berasakan dirinya diserang sewaktu dia menjadi calon pilihan raya dalam usia yang masih hijau dalam politik.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS.

    "Saya percaya dia akan mendapat tentangan daripada calon KeADILan, Badrul Hisham. Dan beliau sendiri berasakan isu dirinya sudah menjadi 'liabiliti' dan menunjukkan dia bersedia diserang secara peribadi.

    "Jika dia tidak mempunyai masalah peribadi, dia tidak akan mengatakan dia bersedia diserang secara peribadi. Kita juga tahu penglibatan dia dalam banyak transaksi kewangan dan ini merupakan beban besar untuk dijawab dalam pilihan raya,"katanya.

    Jelasnya, sekiranya Barisan Nasional memenangi pilihan raya, sudah pasti Abdullah akan menjadi Perdana Menteri. Dan sebagai menantu pastinya lebih menghampiri 'coridor of power'.

    Sementara itu, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohamad Shahir yang turut serta dalam sidang akhbar tersebut berkata, pertama kali dalam sejarah Umno, menantu dan bapa mertua bertanding serentak dalam pilihan raya.

    "Jika dilihat dahulu Dato' Seri Najib bertanding pilihan raya setelah ayahnya Tun Abdul Razak meninggal dunia. Begitu juga dengan Dato' Hishamuddin yang terlibat dalam politik setelah ayahnya meletak jawatan. Begitu juga dengan pencalonan Mukhriz setelah Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

    "Tetapi keadaan ini berbeza dengan Abdullah yang mana pada masa yang sama menantu dan bapa mentua bertanding dalam pilihan raya,"katanya.

    Katanya, walaupun terdapat kalangan anak-anak pimpinan PAS yang disenaraikan sebagai calon seperti anak Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anak Dato' Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kedua-dua mereka digugurkan daripada senarai tersebut atas arahan kedua-dua ayah mereka.

    "Kedua-dua anak pimpinan ini tidak akan bertanding dalam pilihan raya selagi ayah mereka memegang jawatan dalam parti,"katanya.

    Khairy sewaktu penamaan calon di Dewan Merdeka, Seremban semalam sebagaimana dilaporkan berkata beliau tidak gentar dirinya menjadi momokan pembangkang.

    Malah beliau mempersoalkan ada di kalangan calon parti pembangkang yang mempunyai pertalian keluarga seperti anak dan ayah serta anak dan ibu yang menyertai pilihan raya.

    Rakyat Terengganu boleh hidup selesa jika PAS memerintah

    KUALA TERENGGANU, 25 Feb (Hrkh) - PAS berjanji memastikan semua rakyat Terengganu mendapat pekerjaan di samping menikmati kemudahan Dana Khas yag membolehkan rakyat mempunyai rumah sendiri, kata Timbalan Pesuruhajaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik.

    ==>> Lagi berita klik disini

    "Hasil daripada kombinasi tersebut iaitu memastikan rakyat mempunyai pekerjaan secara tidak langsung memudahkan mereka menikmati Dana Khas tersebut.

    Malah bagi rakyat termiskin kita akan memberi rumah secara percuma. Kita mengambil berat tentang ini kerana tidak mahu melihat rakyat kita masih lagi tinggal di rumah usang yang tidak selesa," ujarnya ketika ditemui di sini.

    PAS Terengganu memberi tawaran kepada rakyat dalam pilihan raya kali ini, iaitu menyediakan Dana Khas untuk pinjaman perumahan rakyat dan pemberian rumah untuk rakyat termiskin.

    Selain itu, kata beliau PAS akan mengaktifkan skim pinjaman al-Qardhul Hassan bagi rumah, kenderaan dan komputer kerana menyifatkan perkara tersebut sudah menjadi barang keperluan kepada rakyat di samping meningkatkan sosial ekonomi mereka.

    Untuk mendirikan rumah, tambah beliau, PAS juga memastikan setiap keluarga memiliki tanah bagi tapak kediaman dengan kelulusan pemberian geran hak milik kekal.

    Sementara itu orang ramai yang ditemui menyokong tawaran tersebut. Fauzi Sulong dari Kampung Padang Air, Kuala Nerus menyifatkan ia selari dengan apa yang rakyat hendak selama ini.

    "Rakyat mahu hidup dengan memiliki rumah dan kenderaan sendiri serta keperluan asas lain bagi meneruskan kehidupan untuk meningkatkan taraf kemajuan keluarga," ujarnya.

    Tambah beliau bukan sahaja kerajaan mahu mencapai negeri atau negara maju malah rakyat pun berkehendakan sedemikian.

    "Kami mahukan rumah yang selesa, kenderaan sebagai pengangkutan keperluan.

    Barangan asas yang tidak membebankan bagi rakyat untuk terus hidup tanpa tekanan," katanya.

    Suhaimi Othman yang melihat tawaran PAS pada pilihan raya umum kali ini, menyifatkan ia adalah peluang yang cukup istimewa kepada rakyat.

    "Peluang ini mungkin tidak diperolehi kalau kita mengundi Barisan Nasional (BN).

    Bagaimanapun kita harap tawaran ini betul-betul dilaksanakan jika PAS memerintah," katanya.

    Menurut beliau masih ramai rakyat negeri ini tinggal di rumah sewa kerana tidak berpeluang membeli rumah.

    "Ada setengah masyarakat kita mahu membina rumah mengikut cita rasa mereka. Jadi mereka tidak mahu membeli rumah kos rendah. Tetapi sekiranya kerajaan memberi hak milik tanah serta disediakan Dana Khas untuk perumahan ini bermakna kita boleh mereka bentuk rumah mengikut kehendak dan keselesaan kita," katanya.

    Seorang lagi yang ditemui Jaafar Ibrahim berkata tawaran tersebut cukup menarik tetapi apakah PAS mampu memerintah negeri pada pilihan raya umum ini.

    "PAS perlu sebarkan tawaran ini supaya semua rakyat menikmati hasilnya. Kalau ia sampai kepada semua pungundi mungkin PAS boleh memerintah," ujarnya.

    SPR cuba banyakkan 'menang tanpa bertanding' di pihak BN?

    APABILA Pengawai Pengurus Pilihan raya bagi Parlimen Titiwangsa enggan memberikan kerjasama dengan pihak PAS ketika bantahan dibuat, maka tentulah terdapat "sesuatu isu" tersembunyi yang hanya mereka (SPR) sahaja yang tahu.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Jika kerja mereka (SPR) profesional dan telus, dan memang sebuah badan bebas tulen, maka tiada sebab pegawai yang bertugas tidak mahu menunjukkan atau membuktikan kepada calon PAS tentang dua bantahan serius yang dikemukakan.

    Tiada salah dan cacatnya, jika mereka (SPR) menunjukkan Borang Pencalonan calon BN, Dato' Aziz Jamaluddin Md. Tahir kepada mereka yang membuat bantahan bagi mengesahkan sama ada benar atau tidak calon BN itu tidak mendutistemkan kertas pencalonannya.

    Maka, apabila diminta untuk menyemak kesahihan borang itu, mereka (SPR) enggan menunjukkannya - tentu sekali ada yang tidak kena.

    Maknanya, borang itu tiada duti stem yang boleh membawa kepada kertas pencalonan tersebut ditolak (jika mengikut pekeliling awal SPR bertarik 21 Februari 2008).

    Sikap memihak SPR dalam bantahan berkenaan sama ada calon BN membayar wang deposit pencalonan bernilai RM10,000 menggunakan cek atau bank draf juga ditangani penuh prajudis.

    PAS membantah kerana apa yang difahamkan pada peringkat awal, deposit calon BN dijelaskan melalui sekeping cek.

    Ini tentulah bertentangan dengan peraturan kerana cek tidak boleh gunapakai sedangkan deposit mestilah dibayar terus ketika penyerahan borang pencalonan tersebut.

    Penamaan calon jatuh pada hari cuti hujung minggu, Ahad. Semua bank tutup. Cek tersebut tidak dapat ditunaikan pada hari itu.

    Sebab itu ia tidak boleh dibayar melalui cek, kerana tidak semestinya cek tersebut laku. Mungkin cek kosong! Siapa sahaja boleh mengeluarkan cek.

    Lazimnya, untuk urusan jual beli, setelah cek benar-benar tertunai, maka barulah jualbeli itu sah. Produk boleh dihantar. Selagi cek tidak clear, maka tiada penghantaran produk dilakukan.

    Apabila dibantah, timbul pula kononnya calon BN ini, menjelaskan wang deposit tersebut menggunakan bank draf. Tadi katanya menggunakan cek, kini bertukar sekelip mata.

    Isunya, PAS mahu melihat sendiri sebagai pengesahan benar atau tidak, deposit itu dibayar menggunakan bank draf.

    Sekali lagi, pegawai bertugas (SPR) enggan memberikan kerjasama yang sepatutnya diberikan kepada bantahan tersebut.

    Di manakah nilainya sebuah "bantahan" jika si pembantah tidak dapat mempastikan hakikat sebenarnya dan SPR pula menyorok bahan bukti(pengesahan) yang sepatutnya boleh dilihat dengan mata si pembantah.

    Mengapa perlu mengemukakan pelbagai alasan, dan enggan memberi kerjasama yang semudah itu?

    Inilah satu lagi "ketololan" Rashid Abdul Rahman dalam mengendalikan SPR. Dan orang inilah yang sangat-sangat dimahukan oleh anak Badawi untuk menjaga badan bebas yang tidak bebas ini!

    Apa yang terjadi pada hari penamaan calon, banyak kes dikatakan calon-calon BN tidak mendutistemkan kertas pencalonan mereka.

    Walhal, sebelum itu, pekeliling telah dikeluarkan SPR agar semua kertas pencalonan mesti didutistemkan bagi melayakkan mereka menjadi calon. Ini katanya, kehendak perundangan!

    Tanpa duti stem, pencalonan seseorang boleh ditolak. Jika pekeliling ini tidak "gila" maka Dr. Lo' Lo' Ghazali yang bertanding di Titiwangsa, sudah patut diistihar menang tanpa bertanding.

    Seperti yang terjadi di Marang, Terengganu, kelima-lima calon BN tidak mendutistemkan kertas pencalonan mereka. PAS membuat bantahan berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh SPR itu.

    Maka ketika itulah kononnya SPR sudah memansuhkan arahan yang tadinya dikenakan duti setem. Yang peliknya surat arahan dikeluarkan pada 23hb. Februari 2008 yang jatuhnya pada hari cuti hujung minggu, Sabtu.

    Bolehkah surat rasmi kerajaan dikeluarkan pada hari cuti umum? Siapa pula mengeluarkannya? Lakukah surat itu?

    Ini persoalan baru di sebalik isu duti setem yang dipercayai akan meragut lebih banyak "nyawa calon" dari BN jika ia terus dilaksanakan.

    BN dan calon-calonnya memang memandang enteng dalam soal teknikal ini, sebab itu calonnya di Dun Kijang terjerat dengan salahlaku kebankrapan.

    Walhal, ia boleh dikesan tetapi calon dan BN Kelantan tidak boleh mengesan perkara ini? Jawabnya mudah, mereka tidak ambil berat!

    Apabila niat asal untuk menjerat calon-calon pembangkang tidak kesampaian, maka pekeliling baru terpaksa dikeluarkan kerana sudah dihidu lebih ramai calon BN yang tidak berdutisetem.

    Inilah demokrasi ala Malaysia. Dan inilah, Pengerusi SPR yang disifatkan "gila" oleh Mahfuz Omar... Dan Pengerusi SPR inilah yang telah menambah waktu mengundi di Selangor pada pilihan raya umum 1999 dulu.

    Pada saya, secara peribadi, penama Tan Sri Rashid Abdul Rahman ini ada sesuatu yang "tidak kena" sama ada pada mentalnya mahupun pada hubungan kerjanya dengan BN.

    Apa yang jelas, SPR dan dia tidak profesional, tidak telus, tetapi licik mengisi kepentingan tuannya dari BN!

    Sudah tiba giliran pembangkang terajui negara - Dr Badrul Amin

    KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - "Kalau pengundi di Thailand dan Pakistan, mampu mengubah kerajaan mereka masing-masing, mengapa kita tidak, disebabkan banyak skandal dan isu tertentu babitkan ahli-ahli politik kerajaan, maka rakyat tolak mereka dan pilih pembangkang yang jauh lebih berwibawa."

    ==>> Lagi berita klik disini

    Demikian tegas calon (N13-Kuang), Dr Badrul Amin yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang turut dipersetujui oleh calon PAS (N15-Taman Templer), Haji Mohamad Abdul Rahman yang akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Subahan Kamal.

    ImageMenurut Dr Badrul Amin, sejak lebih lima puluh tahun negara mengecapi kemerdekaan cara berfikir rakyat masih belum sampai kepada tahap merdeka seratus peratus.

    "Ini kerana Islam yang menjadi agama rasmi negara, segala isi kandungannya seperti ayat-ayat perintah mengenai hukum-hukum Allah seperti hudud, qisas dan takzir masih belum terlaksana sampai ke hari ini, ini disebabkan pemikiran sesetengah pihak di kalangan orang Islam masih belum merdeka.

    "Justeru, kemenangan BA dalam pilihan raya kali ini di seluruh negara adalah untuk memastikan pencapaian tahap pemikiran rakyat ke arah taraf hidup hidup sebenar berteraskan ajaran agama Islam hakiki,"jelas Dr Badrul semasa ditemui Harakahdaily semalam.

    Tambahnya lagi, maksud perubahan menyeluruh adalah termasuk sikap remaja yang perlu dididik dengan aspek agama khususnya penekanan dalam aspek ilmu pengetahuan, kerana merekalah aset negara pada masa akan datang.

    "Remaja pada hari ini sudahlah tidak diisi dada mereka dengan ilmu, malah disogok dengan sukan, hiburan keterlaluan hingga mengabaikan aspek solat yang menjadi tiang agama dalam hidup mereka.

    "Di Turki, kejayaan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), pimpinan Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menteri, Recep Taiyib Erdogan telah mengubah tahap pemikiran rakyat negara itu yang bergelumang selama 86 tahun dengan sistem pentadbiran berasaskan Sekularisme,"jelasnya lagi.

    Menurutnya lagi, anjakan paradigma perlu diadakan kerana rakyat sudah mula bosan dengan sistem-sistem ciptaan manusia dan mahu kembali kepada sistem ciptaan Allah.

    "Justeru, manifesto yang ditawarkan adalah untuk kesenangan yang perlu dinikmati rakyat seluruhnya tanpa mengira kaum dan keturunan, ia sangat munasabah setelah mengambil kira persoalan pendapatan negara yang perlu ditadbir oleh calon yang amanah.

    "Rakyat sudah mula sedar bahawa para pemimpin BN bukan sahaja tidak berjaya mendidik rakyat dengan agama, malah mengaut keuntungan negara seperti kejayaan Petronas yang sepatutnya dinikmati oleh semua, tetapi tahap kemiskinan di negeri-negeri yang ditadbir BN masih mundur yang amat ketara,"tegasnya. – mks.

    Rangkuman pencalonan PRU-12

    KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Hari ini penentuan bermula. Langkah awal para calon dalam pilihan raya ke-12 akan ditentukan pada hari ini. Kalau diterima borang pencalonan, maka mereka akan bertanding, tetapi jika ditolak, maka lawan calon akan meraih kemenangan tanpa memerah keringat.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Dalam melaporkan perkembangan yang berlaku, beberapa wartawan Harakah meninjau situasi di beberapa kawasan pencalonan seperti berikut;

    Lembah Klang

    Di Pusat Pencalonan Sekolah Menengah Sungai Pusu, Gombak, ANIS NAZRI melaporkan sekitar jam 9.30 pagi tadi calon-calon daripada Barisan Alternatif (BA) telah mengemukakan borang pencalonan mereka iaitu, untuk calon Parlimen Gombak (P098), Azmin Ali; Dato' Dr Hasan Ali (Dun Gombak Setia - N17); Shaari Sungib (Dun Hulu Klang - N18) dan Amiruddin Shaari (Dun Batu Caves - N16).

    Sementara itu, calon-calon BN pula adalah Said Anuar Said Ahmad (P.098), Yuszahari Yusoff (N17), Ahmad Bujang (N18) dan T Mohan (N16). Manakala dalam perkembangan yang tidak dijangka, terdapat pencalonan Bebas iaitu , Azmi Hussain (N16).

    Menurut Anis, di luar kawasan pusat pencalonan, para penyokong BA telah memenuhi kawasan berkenaan dengan membawa sepanduk, bendera dan melaungkan slogan-slogan untuk menaikkan semangat para calon dan ahli parti.

    Antara, slogan yang dikesan ialah, 'reformasi', 'hidup rakyat'dan 'barang naik' sementara sepanduk yang dibawa pula tertulis; 'dah lama sangat dah...cuba ubah sekali', 'kami menang, sekolah rendah ke pendidikan percuma untuk semua rakyat',' kami menang, petrol dan diesel turun.

    Selain itu, terdapat juga sepanduk yang tertulis 'tawaran-tawaran BA untuk wanita','undilah PAS untuk menuju negara kebajikan.'

    Sementara itu, wartawan NYZA AYOB melaporkan dari Pusat Pencalonan Dewan MPAJ, pusat berkenaan telah dibuka pada jam 9 pagi tadi.

    Calon-calon daripada BN dilaporkan memulakan penyerahan borang pencalonan iaitu; Dato' Ong Tee Kiat (Parlimen Pandan), Nosimah Hashim (Dun Chempaka) dan calon untuk Dun Teratai. Manakala diikuti pula dengan calon BA pada jam 9.15 pagi iaitu; Syed Shahir Syed Mohamud - KeADILAn (Parlimen Pandan), Iskandar Abdul Samad - PAS (Dun Cempaka) dan Jenice Lee - DAP (Dun Teratai).

    Di luar kawasan pencalonan kira-kira 2,500 penyokong pembangkang kelihatan berkumpul dengan meneriakkan; 'hidup..hidup rakyat','undi BA, KeADILan, DAP' dan 'kasi turun BN - Barang Naik.'

    Sementara itu, BN dilaporkan memenangi kerusi Dun pertamanya di Selangor dengan tanpa bertanding melalui calonnya di Dun Sementa oleh Abdul Rahman Palil setelah calon KeADILan tidak hadir di pusat pencalonan.

    Manakala terdapat pertandingan tiga penjuru di Kelana Jaya apabila calon KeADILan, Goh-Burne Loh ditentang oleh calon BN-MCA, Lee Hwa Beng dan calon bebas, Billi Lim Peng Soon.

    Di Lembah Pantai pula, wartawan Harakah, ROY RASUL melaporkan pertandingan tiga penjuru berlaku apabila Dato' Sharizat Jalil (BN), ditentang oleh Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar (KeADIlan) dan calon bebas, N Periasamy.

    Dalam pada itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ditemui di pusat penamaan calon Lembah Pantai memberitahu, beliau akan membantu berkempen untuk anaknya di situ demi memastikan kemenangan Nurul Izzah.

    Kelantan

    Dalam pada itu, perkembangan di Kelantan yang dilaporkan oleh WAN NORDIN dan INTAN ABDULLAH memaklumkan; calon-calon PAs di Parlimen Tumpat telah dikepalai Dato' Kamarudin Jaffar dengan melangkah masuk pusat penamaan calon di Pejabat Tanah Daerah Tumpat.

    Di Dun Kelaboran, Ketua Pemuda PAS Kelantan yang juga penyandang kerusi akan menentang calon BN, Wan Hanapi Wan Daud, sementara di Dun Wakaf Barum calon PAS, Che Abdullah Mat Nawi akan menentang Mohd Rosdi Abdul Aziz dari BN.

    Manakala Dun Pengkalan Kubor pula calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Hassan Berahim akan menentang calon BN, Noor Zahidi Omar.

    Terdapat bantahan yang dibuat wakil PAS terhadap calon BN pertamanya ke atas Ashraf Wajdi berikutaan kekeliruan alamat tetap dan alamat suart menyurat, begitupun bantahan ditolak.

    Sementara itu di luar pekarangan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, penyokong kedua-dua parti yang bertanding saling sorak menyorak.Kira-kira 5000 penyokong PAS berkumpul di bahagian sebelah kiri pejabat,sementara kira-kira 1000 penyokong Umno terdiri dari Puteri Umno bersorak di sebelah kanan pejabat.

    Di Dun Kijang pula, PAS menang tanpa bertanding apabila pencalonan calon Barisan Nasional (BN) ditolak.

    Calon PAS, Wan Ubaidah Omar menang tanpa bertanding apabila pencalonan calon BN, Mustopha Ahmed ditolak.

    Sebelum itu, PAS memprotes pencalonan Mustopha kerana beliau telah menerima notis bankrap Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke atasnya pada 25 November 2005.

    SPR akhirnya menerima protes itu.

    Terengganu

    Sementara itu, RASHIDI HASSAN melaporkan dari Terengganu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Awang ditentang oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang.

    Di kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, beliau ditentang oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris.

    Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Marang sebentar tadi.

    Bagi kerusi Dun Alur Limbat, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, ditentang Alias Abdullah.

    Di Bukit Payung, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah ditentang calon BN oleh Zaidi Muda.

    Manakala AJK PAS Kawasan Marang, Mohd Draman menjadi calon PAS di Dun Pengkalan Berangan ditentang oleh Yahya Khatib Mohamad.

    Manakala di Kuala Terengganu pula, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berdepan pertandingan tiga penjuru bersama calon BN, Razali Ismail dan seorang calon Bebas, Maimun Yusuf yang berusia 89 tahun.

    Pulau Pinang

    Di kawasan Parlimen Permatang Pauh pula (P44), lebih 3,000 penyokong Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan sokongan apabila berkumpul di sebuah padang berhampiran dengan pusat pencalonan.

    Dr Wan Azizah telah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.15 pagi di Maktab Perguruan Tengku Bainun manakala lawannya, Pirdaus Ismail menyerahkan borang pada jam 9.03 pagi.

    Manakala di Parlimen Bukit Bendera (P48),calon BN, Chia Kwang Chye ditentang oleh calon DAP,Liew Chin Tong. Manakala di Jelutong (P50) pula, blogger Jeff Oii akan berhadapan dengan calon BN, Dr Thor Teong Gee dan calon Bebas, Badrul Zaman.

    Pahang

    Manakala wartawan Basiron Abdul Wahab melaporkan, kesemua calon BA, 12 parlimen dan 35 Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pahang bertanding dalam pilihan raya umum pada 8 Mac nanti.

    Tiga kawasan Dun bagaimanapun berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan calon bebas iaitu Dun Damak, Dong dan Mentakab. Kerusi Dun Damak diwakili KeADILan, begitu juga Dun Dong manakala Mentakab diwakili DAP.

    Pesuruhjaya PAS Pahang Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di Dun Jengka, beliau ditentang calon BN, Wan Salman Ismail.

    * Sila refresh / reload untuk mendapatkan maklumat pencalonan dari semasa ke semasa.

    Duti setem: Demi selamatkan BN, tindakan SPR dikecam

    MARANG, 24 Feb (Hrkh) - PAS kesal dan mengecam tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menarik kembali arahan supaya semua calon pilihan raya mengenakan duti setem pada borang pencalonan.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Arahan tersebut digunakan untuk menyusahkan pembangkang, sebaliknya 'menikam' Barisan Nasional sendiri.

    ImagePresiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS amat tidak berpuashati dengan tindakan SPR yang membuat arahan tergesa-gesa, menarik balik secara tergesa-gesa sehingga menyusahkan parti pembangkang.

    Dalam sidang akhbarnya di Pejabat Daerah Marang sebentar tadi beliau berkata, PAS menerima arahan tersebut pada 21 Februari lepas dan ianya menyusahkan kerana di kebanyakan tempat pejabat kerajaan yang menjual setem hasil sudah ditutup.

    Bagaimanapun katanya, calon-calon PAS sempat mengenakan duti setem pada borang masing-masing walaupun borang calon PAS Kedah terpaksa dibawa ke Perlis.

    Dalam surat SPR yang ditandatangani Setiausahanya, Dato' Kamaruzzaman Mohd Nor menyatakan, "Pegawai Pengurus boleh menolak Kertas Penamaan Calon jika sekiranya Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) yang dikemukakan bersama kertas penamaan tersebut tidak mematuhi peruntukan di bawah peraturan 4 (7) Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981."

    Menurut Ustaz Hadi, PAS kesal kerana penarikan balik arahan tersebut tidak dimaklumkan kepada parti-parti pembangkang.

    "Kita hanya dengar pegawai berbisik sesama sendiri mengatakan arahan tersebut hanya diterima subuh tadi," katanya.

    Tegasnya, setelah didesak beberapa kali, barulah pegawai menunjukkan surat pembatalan arahan tersebut.

    Sementara itu dalam sidang media yang sama Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali menempelak SPR yang mendakwa badan tersebut sudah menjadi 'robot' Umno.

    Katanya, BN menghadapi krisis calon dan sehingga malam tadi barulah urusan mengisi borang-borang calon BN selesai.

    Menurutnya, jika syarat ini diteruskan nescaya ramai calon BN akan ditolak.

    "Untuk selamatkan calon Umno/BN, arahan telah dikeluarkan kepada SPR untuk gugurkan arahan tersebut," tegasnya. - mks.

    Pergolakan Umno Perlis bukti pemimpin 'gila' kuasa!

    KANGAR, 24 Feb (Hrkh) - Pergolakan 'retak menanti belah' Umno Perlis membuktikan pemimpinnya lebih mementingkan dan 'gilakan' tampuk kuasa berbanding membela nasib dan menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Image

    Malah 'sengketa' perebutan kuasa Umno Perlis sudah berlaku terlalu lama sebelum kepimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim dan terkini merupakan kemuncak segalanya sehingga mendedahkan sikap buruk pemimpin Umno kepada pengetahuan umum.

    Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir berkata perebutan kuasa itu berlaku kerana masing-masing cuba membina empayar pengaruh dan kuasa di dalam negeri yang kecil ini.

    Akibatnya, wujud tiga puak yang bersengketa 'didalangi' antaranya oleh Shahidan, Dato' Seri Azmi Khalid dan Dato' Radzi Sheikh Ahmad.

    "Inilah wadah Umno, yang sibuk 'gilakan kuasa' berbanding membantu bersama-sama membangunkan Perlis dan membela rakyat negeri ini.

    "Lebih menakjubkan, mereka bukan sahaja abaikan rakyat tetapi mengenepikan kepentingan parti mereka sendiri," katanya ketika ditemui Harakah di pekarangan Pejabat Perhubungan PAS Perlis semalam. Image

    Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan negeri, Bashir Ishak

    Dalam pada itu kata Anuar, mereka ini sanggup melakukan apa jua kaedah seperti menggunakan samseng, rasuah dan segala salah laku demi untuk mencapai matlamat mereka mendapatkan kuasa.

    "Segala kepincangan yang berlaku bakal dijadikan sandaran oleh rakyat untuk memilih parti yang boleh membawa masa depan rakyat dan negeri Perlis dengan lebih terjamin.

    "Justeru segala lakonan yang dipertontonkan oleh Umno ini sepatutnya dijadikan iktibar untuk menyingkirkan mereka pada pilihan raya umum 8 Mac ini," katanya yang menjadi calon PAS untuk DUN Bintong Perlis.

    Semalam dilaporkan jentera pilihan raya Umno kawasan Parlimen Arau,Perlis lumpuh sama sekali berikutan perletakan jawatan beramai-ramai pimpinannya diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagian Senator Dato' Ismail Kassim.Ia dikatakan makin merebak ke kawasan parlimen Kangar dan Padang Besar. Image

    Suasana politik Perlis baru-baru sebelum ini dihangatkan oleh kontroversi bila Radzi membuat kenyataan terbuka mempersoalkan kepimpinan Shahidan malah beliau berkata Azmi layak menjadi Menteri Besar Perlis yang baru.- mks.

    Gagal serah borang di Kepala Batas, calon PMN diasak polis

    KEPALA BATAS, 24 Feb (Hrkh) - Calon penaja Parti Mahasiswa Negara (PMN), Zainul Faqar Yaacob bersama Presiden Penaja PMN, Azlan Zainal dan seorang peguam, Balqis Nor Mohamad dihalang daripada memasuki Dewan Milenium untuk menyerahkan borang bertanding pilihan raya umum ke-12 atas tiket bebas di Parlimen P41 Kepala Batas pagi tadi.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Jelasnya ketika dihubungi, polis bertindak seolah PMN penjenayah kerana diasak dengan soalan serta melakukan empat sekatan sehingga ke pintu masuk Dewan Milenium.

    "Sekatan itu menyebabkan kami tidak boleh bertanding sedangkan kami datang awal dan sempat masuk jika sekiranya tidak disekat, " ujarnya.

    Menurutnya, sekatan pertama dilakukan polis untuk bertanyakan kesungguhan PMN sehingga menyalahkan kononnya borang tidak ada walhal semua borang ada pada salah seorang daripada kami yang disekat di peringkat pertama.

    Pertandingan pilihan raya ke-12 kali ini menyaksikan satu lawan satu di parlimen Kepala Batas antara PAS dan Barisan Nasional (BN).

    Parlimen Kepala Batas menyaksikan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ditentang oleh calon PAS, Ustaz Subri Md Arshad.

    Sementara Dun Penaga calon PAS, Ustaz Tapiudin Hamzah menentang calon BN, Dato' Azhar Ibrahim. Dun Bertam menyaksikan calon BN, Zabariah ditentang calon KeAdiLan, Noorsiah Md Arshad manakala calon Pinang Tunggal Dato' Roslan Saidin ditentang calon KeAdiLan, Haji Mohamad Hashim. - mks.

    Gagal kemuka bukti letak jawatan Senator, SPR tolak bantahan PAS

    ARAU, 24 Feb (Hrkh)- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menolak bantahan PAS terhadap calon Umno Dato' Ismail Kassim yang mencabar Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din di Parlimen Arau (P003) kerana tidak dapat mengemukakan bukti peletakan jawatan sebagai Senator.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Image

    Menurut peguam Zulmi Sabri yang mengemukakan bantahan tersebut, mendakwa Ismail masih lagi tidak meletakkan jawatan senator dan meminta beliau mengemukakan surat peletakan jawatannya termasuk bukti pembayaran (pay slip) pendapatan untuk dilihat sebagai bukti.

    Katanya jika sabit, tindakan ini adalah bertentangan dengan perkara 481(C) Perlembagaan Persekutuan yang mana calon tersebut boleh hilang kelayakan bertanding kerana masih lagi memegang jawatan berpendapatan.

    Dalam pada itu, Haron Din ketika ditemui kesal kerana SPR menolak bantahan PAS dan akan berbincang untuk melakukan tindakan susulan terhadap isu terbabit.

    "Kita tidak puas hati dengan penjelasan SPR itu dan mahukan keadilan dalam kes ini," katanya. Image

    Dr Haron adalah calon terawal sekali menyerah borang pencalonan di Dewan Sivik Arau jam 9.11 pagi tadi manakala lawannya yang merupakan adik kepada Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim.

    Turut sama menyerahkan borang pencalonan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin bagi mempertahankan kerusi dewan undangan negeri kawasan DUN Sanglang, satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum 2004.

    Selain itu empat calon PAS turut bertanding di kawasan masing-masing seperti Abu Bakar Ali di DUN Pauh (N11);Che Nordin Ahmad di Tambun Tulang (N12) yang mencabar Shahidan Kassim, Ahmad Adnan Fadzil di Guar Sanji (N13) dan Rus'sele Eizan di Simpang Empat (N14). Image

    Sementara turut menarik perhatian ialah dua beradik,bekas Pegawai Istana Negara Dato' Hassan Din dan Ishak Din yang hadir memberi sokongan kepada Dr Haron dengan diiringi sejumlah kira-kira 1,500 penyokong yang berarak dari rumah Ustaz Ahmad Ali ke Dewan Sivik Arau.

    Pengumuman calon-calon yang bertanding telah dibuat oleh Pegawai Pengurus SPR Mohd Daud Abdul Hamid dan disiarkan secara langsung oleh RTM tengah hari tadi. - mks.

    BN silap, tema 'Tahun Merawat Kelantan' makan diri

    KOTA BHARU, 24 Feb (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) perlu menunjukkan terlebih dahulu negeri-negeri yang telah dirawatnya sebelum beria-ia hendak merawat Kelantan.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Calon PAS Dun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi berkata, BN sebenarnya tersilap langkah apabila memilih tema 'Tahun Merawat Kelantan' kerana tema tersebut nyata memakan dirinya.

    "Tahun Merawat Kelantan adalah suatu tema yang tidak relevan dengan situasi di Kelantan sekarang, dan saya yakin rakyat Kelantan lebih bijak daripada apa yang Umno-BN sangkakan,"katanya semasa ditemui Harakahdaily selepas pencalonan pagi tadi.

    Beliau yang pertama kali bertanding pada pilihan raya umum ini meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk menang pada kali ini.

    Ditentang oleh Mohd Rosdi Abdul Aziz, Che Abdullah melihat peluang yang cerah di Wakaf Bharu dengan perubahan sokongan orang bukan Melayu kepada PAS.

    "Saya nampak peluang ada, dengan semangat baru di kalangan pengundi muda dan bukan Melayu meskipun bilangan mereka sekadar lebih kurang 10 peratus sahaja,"katanya.

    Begitupun, dengan kelebihan isu kenaikan harga barang yang sedang melanda sekarang ini, Che Abdullah mahu pengundi menilai masalah tersebut dengan sebaiknya untuk kebaikan generasi akan datang.

    Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan kemungkinan akan wujud penipuan pada pilihan raya umum kali ini.

    Penamaan yang berlangsung pagi tadi bertempat di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN.

    Kira-kira 5,000 penyokong PAS berkumpul di kiri pusat penamaan serta pekarangan Masjid Ismaili Tumpat dengan laungan zikir dan takbir.

    Manakala 1,000 penyokong Umno-BN pula berada di bahagian kanannya yang dibarisi oleh puteri-puteri Umno bersorakan sambil diawasi dengan ketat oleh pasukan polis dan FRU yang bertugas menjaga ketenteraman. - mks.

    Tanda protes, mungkin ada calon BN Kelantan akan tarik diri?

    KOTA BHARU, 24 Feb (Hrkh) - Selepas Wan Ubaidah Wan Omar memulakan hari gemilang PAS di Kelantan dengan diumumkan menang tanpa bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi, kempen PAS di Kelantan yang diperhebat mungkin mendapat lagi suntikan dengan ada desas-desus menyatakan kemungkinan besar calon BN akan menarik diri sebelum tempoh penarikan diri calon tamat.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Sumber berkata, ramai kalangan calon BN kali ini termasuk yang telah menarik diri sebenarnya tidak berpuas hati dengan keputusan-keputusan pimpinan parti meletakkan calon yang sepatutnya bertanding di Parlimen tetapi diletakkan di Dun.

    Begitu juga sebaliknya, ada calon yang berpotensi di Parlimen, tetapi dicalonkan di Dun, kata sumber.

    Sementara itu sumber juga memberitahu akan ada beberapa kejutan berlaku sepanjang waktu sebelum tamat tempoh penarikan diri dari pencalonan antaranya oleh nama-nama besar di beberapa Dun di Parlimen Pengkalan Chepa dan Machang.

    Di Machang kempen dijangka sengit antara calon BN, Dato' Sazmi Miah dengan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Saifuddin Nasution memandangkan sebelum ini pada pilihan raya umum 2004, BN hanya menang sekitar 90 undi.

    Selain itu sumber juga memberitahu Harakahdaily, seorang bekas ahli Parlimen BN di sini 'merajuk' dan membawa diri ke luar negara selepas namanya tidak disenaraikan sebagai calon.

    Kata sumber bekas ahli Parlimen itu yang juga dikenali dengan kelantangannya mengkritik tidak setuju calon muka baru ditampilkan di kawasannnya, justeru calon baru akan menghadapi undi protes oleh ahli Umno sendiri.

    Kekecohan juga mungkin berlaku di kerusi Kok Lanas memandangkan bekas orang kuat Umno, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim yang telah menyertai PAS dua tahun lalu akan menentang caon BN yang juga bekas ahli Parlimen Ketereh, Dato' Mohd Alwi Che Mat.

    Kerusi Kok Lanas agak panas selepas penyandang, Dato' Seri Annuar Musa berpindah ke Parlimen Ketereh selepas merasakan ketidakselesaan di Dun dan dikatakan mahu melepaskan 'beban' kepada Che Alwi.

    Dalam perkembangan lain, calon BN bagi Dun Perupok dan Parlimen Bachok, Dato' Dr Awang Adek Hussin hari ini membidas laporan Harakahdaily berhubung isu 'Serambi Maksiat'.

    Dalam bidasannya Awang Adek berkata, beliau tidak boleh menerima dakwaan jika BN menang mereka akan menjadikan Kelantan sebagai 'Serambi Maksiat'.Seorang pemerhati menyebut, Awang Adek sebenarnya gelabah apabila kempen Umno/BN di sini kurang mendapat sambutan.

    Selain itu kata sumber itu, Awang Adek menerima tentangan yang berat di Dun Perupok memandangkan Dun tersebut adalah kawasan tradisi PAS yang dikuasai Dato' Omar Mohammad sejak 1986 lagi.

    "Omar amat dikenali dan sangat diterima di Perupok, sementara Awang Adek pula bukan kawasan yang biasa ditandinginya," ujar sumber itu.

    Di Dun yang ditandingi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (Dun Cempaka), Mursyidul Am PAS itu dijangka tidak berhadapan dengan tugas sukar mempertahan kerusinya memandangkan calon BN bukanlah satu nama besar yang ditampilkan.

    Di Dun Salor, Dato' Husam Musa pula akan menentang calon BN, Ismail Mat yang merupakan calon baru dan tidak dikenali di Dun tersebut. - mks

    Awang Adek dianggap tamak tanding dua kerusi di Bachok

    BACHOK, 24 Feb (Hrkh) – Kawasan parlimen Bachok menjadi tumpuan utama di Kelantan memandangkan Datuk Dr Awang Adek Hussin sudah menganggap dirinya sebagai calon Menteri Besar.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Beliau kali ini cuba mempertahankan kerusi parlimen Bachok dan mencuba nasib di Dun Perupuk yang merupakan kubu kuat PAS.

    Malah wartawan asing dan media tempatan juga menjadikan Bachok sebagai lokasi pilihan selain Pengkalan Chepa, tempat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding.

    Ramai penduduk menganggap Awang Adek tamak kerana merebut dua tempat pada pilihan raya kali ini, sehingga peluang kepada orang lain tertutup rapat.

    Impian Umno mahu merampas Kelantan sebenarnya sudah terencat sejak semalam lagi apabila dua calon BN iaitu Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Abdullah Sudin dan calon Pasir Mas, Datuk Abdul Halim Ahmad menarik diri.

    Apa yang menghairankan Abdullah difahamkan tidak pernah memberi persetujuan untuk bertanding mewakili BN, biar pun cuba dipujuk untuk berbuat demikian.

    Perarakan calon PAS di Bachok dimulakan dengan solat hajat di Masjid Haji Zain Kampung Kemudi pada jam 8 pagi. Solat hajat diimamkan Ketua Urusan Ulamak PAS Bachok, Ustaz Idris Mohd Noor.

    Turut menunaikan solat hajat calon-calon PAS yang bertanding iatu Ustaz Nasharuddin Mat Isa (Parlimen Bachok), Datuk Omar Mohamed (Perupok), Ustaz Hassan Mohamood (Tawang) dan Abdul Aziz Kadir (Jelawat).

    Perarakan calon PAS menuju ke tempat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok sejauh kira-kira satu kilometer diiringi lebih 5,000 penyokong PAS dan KeADIlan.

    Turut hadir memberi sokongan Ketua Bahagian KeADIlan Bachok, Mohd Yatim Ismail.

    Laungan takbir dan selawat mengiringi perarakan calon dalam keadaan langit mendung dan sekali sekala turun titisan hujan.

    Selepas kemarau hampir sebulan malam tadi bumi Kelantan dibasahi air hujan seakan-akan merestui perjuangan gerakan Islam.

    Sebelum perarakan calon, Umno yang diketuai Awang, Datuk Dr Ilias Hussin dan Datuk Ibrahim Mat Din. Calon Umno hanya tiga orang memandangkan Awang Adek bertanding di dua kerusi kerusi.

    Ada pihak berhujah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa lebih lincah berbanding Awang Adek apabila dihulur tempat yang menjadi kubu tradisi PAS.

    Calon-calon Umno mengemukakan lebih awal borang penamaan calon kemudian diikuti calon PAS.

    Ustaz Nasharuddin mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.30 pagi, diikuti Hassan jam 9.35 pagi. Sebelum itu Abdul Aziz mengemukakan borang pencalonan jam 9.28 dan Omar jam 9.29 pagi.

    Biar pun terdapat tiga bantahan borang pencalonan namun pihak pengurus pilihan raya Bachok, Haji Adnan Hussin menolak bantahan tersebut.

    Pengumuman rasmi calon-calon yang bertanding dibuat jam 11.52 pagi di hadapan ribuan penyokong kedua-dua parti yang menunggu di luar pagar.

    Suasana tidak tegang sepanjang perarakan calon sehinggalah nama calon diumumkan.

    Bilangan penyokong PAS yang hadir mengatasi jumlah penyokong BN. Seorang anggota polis memberitahu penyokong PAS lebih berdisiplin dan mereka agak terkawal.

    Ketika menunggu pengumuman nama-nama calon bertanding penyokong Umno melaungkan irama dikir wau bulan, sedangkan penyokong PAS bertakbir dan selawat.

    Ustaz Nasharuddin berkata, semangat rakyat di Bachok sekarang kelihatan mahu kembali kepada PAS selepas mereka kecewa dengan janji-janji Awang Adek.

    “Rakyat tidak mahu kerajaan yang ada sekarang ditumbangkan dan mereka mahu terus mengekalkan kerajaan di bawah ulama,” katanya.

    Aziz pula berkata, ramai ahli dan penyokong Umno melahirkan komitmen bagi membantu PAS biar pun secara tidak terang-terangan.

    Malah katanya malam esok seorang pemimpin Umno di Gunung bersama kira-kira 70 pengikut akan menyerah borang menyertai PAS.

    Berdasar kepada perkembangan itu sudah cukup menggambarkan Awang Adek kini semakin lemas biar pun beliau sudah menjaja sebagai calon Menteri Besar.

    Sementara itu di KOTA BHARU, Pegawai Pengurus Pilihan raya, Haji Shafie Ismail mengesahkan calon yang bertanding bagi Parlimen Kota Bharu terdiri iaitu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (PAS) berdepan dengan Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh (BN).

    Bagi Dun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim (PAS) dan berdepan dengan Khazuni Othman (BN). Dun Kota Lama pula Datuk Anuar Tan Abdullah (PAS) berlawan dengan Ten Ken Ten (BN).

    Manakala Bunut Payong, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS) melawan Rosmadi Ismail (BN). Terdapat empat bantahan diterima, namun ditolak Pengawai Pengurus Pilihan Raya.

    Wan Abdul Rahim dicadang Mat Deris Yusoff dan disokong Mohd Saiba Yaacob. Rohani, 43 dicadang Yaacob Awang dan disokong Abdullah Mansor. Anuar Tan pula dicadang Mohammad Ibrahim dan disokong Wan Mamat Ali.

    Takiyuddin dicadang Abdul Ghani Abdul Rahman dan disokong Ezani Che Ismail. Proses penamaan calon tersebut memperlihatkan semangat yang tinggi ditunjukkan kedua-dua penyokong PAS dan BN.

    Penyokong PAS memulakan langkah seawal jam 8 pagi dengan menunaikan sembahyang hajat di Dataran Ilmu, Jalan Datuk Pati diimam Ketua Urusan Ulama PAS Kota Bharu, Ustaz Mat Deris Yusoff.

    Sepanjang jalan menuju ke Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) penyokong PAS bertasbih dan membaca ayat-ayat al Quran. - mj

    Jahatnya SPR apabila calon PAS tidak diperkenalkan

    KAJANG, 24 Feb (Hrkh) - Sekali lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat onar apabila bertindak mengumumkan calon-calon yang bertanding di Parlimen Hulu Langat tanpa memperkenalkan calon daripada PAS.

    ==>> Lagi berita klik disini

    Apabila proses bantahan ditutup, calon yang bertanding akan dibawa dan diumumkan di Stadium Kajang yang disaksikan para penyokong masing-masing, calon BN terlebih dahulu dibenarkan keluar dari tempat penamaan calon.

    Proses penamaan calon dibuat di Dewan Bandaraya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersebelahan Stadium Kajang.

    Pegawai Pengurus SPR (RO) mengiringi calon BN kemudian terus mengumumkan calon yang bertanding tanpa menunggu calon PAS untuk diperkenalkan di tengah-tengah penyokong mereka.

    Bagaimanapun, ketika itu kedua-dua calon PAS iaitu Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat dan Dun Dusun Tua Mohd Sani Hamzan masih berurusan dengan pihak SPR, menyebabkan mereka agak kebelakang kira-kira lima minit.

    Sebaik sahaja calon PAS tiba di astaka stadium, pegawai SPR selesai mengumumkan calon yang bertanding, keadaan ini membuatkan calon PAS tidak berpuas hati.

    Mohd Sani kesal atas sikap pegawai SPR yang tidak adil dalam memperkenalkan calon terutama dari PAS.

    Beliau berkata, mereka kelewatan kira-kira lima minit kerana mereka ada urusan menandatangani borang dan surat menyurat dengan SPR.

    "Ini soal keadilan, untuk memperkenalkan calon sekali pun, sepatutnya mereka menunggu kami bersama-sama untuk memperkenalkan calon yang mana kami ada di dalam dan urusan yang belum selesai," tegas beliau.

    Katanya, SPR sekali lagi menunjukkan budaya yang tidak sihat dan tidak profesional dalam soal memperkenalkan calon.

    "Baru kita nak memperkenalkan calon, SPR sudah tunjuk sikap yang biadap dan tidak bertamadun yang ditunjukkan oleh pengurus pilihan raya Hulu Langat," katanya dengan nada marah.

    Beliau mempersoalkan, jika mereka boleh menunggu tiga jam di dalam dewan semasa penamaan calon kenapa SPR tidak boleh menunggu mereka selama lima minit.

    Dalam pada itu, Calon PAS Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat melahirkan kekecewaan atas sikap SPR yang berat sebelah dalam memperkenalkan calon.

    Katanya, kelewatan berlaku kerana ada urusan menandatangani borang dan surat menyurat dengan pihak SPR.

    Calon KeADILan Dun Kajang, Lim Kit Seng berkata, kelewatan mereka kerana ada urusan dengan SPR yang mana ia tidak seharusnya berlaku.

    Katanya, SPR telah keluarkan notis untuk pegawai di kawasan pilihan raya bahawa mereka harus uruskan permit untuk berkempen selepas ini.

    "Untuk mendapatkan permit kita kena pergi ke Shah Alam kemudian balik semula ke MPKj bagi mendapatkan lesen barulah boleh mengeluarkan bahan-bahan kempen," katanya.

    Justeru, katanya, sikap yang ditunjukkan SPR memang tidak profesional dalam membuat keputusan .

    "SPR bagi notis yang suntuk sehingga menyusahkan proses untuk pencalonan," katanya.

    Menurut seorang petugas SPR yang ditemui, berkata, biasanya calon yang bertanding khususnya parti yang berlainan mereka akan diarahkan keluar berasingan, sama ada parti kerajaan mendahului ataupun pembangkang.

    "SPR akan arahkan salah satu parti akan keluar dahulu, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, tetapi biasanya parti kerajaanlah yang keluar dulu," katanya yang enggan dikenali.

    Kira-kira 3,000 para penyokong BA berarak mengiringi calon mereka ke Majlis Bandaraya Kajang (MPKj), mereka ditempatkan di dalam Stadium Kajang begitu juga para penyokong BN.

    Bagaimanapun keadaan penyokong terkawal dan tidak ada insiden yang berlaku, penyokong BA ditempatkan sebelah kiri dan BN pula ditempatkan sebelah kanan stadium.

    Terdapat empat bantahan yang dikemukakan oleh PAS, bagaimanapun ia telah ditolak oleh SPR. - mks.

    Submit your feedback

    Your e-mail address:

    Subject:

    Comments: