Recent Posts

Recent comments

Multaqa Alumni al-Azhar alat kempen BN

Nampaknya propaganda BN semakin menjadi-jadi termasuk menerusi iklan-iklan televisen yang mendedahkan kebaikan mereka bagi meraih undi pada pilihan raya umum ke-12 (8 Mac ini) dengan belanja yang besar, menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan, malah sempat pula memburuk-burukkan negeri musuhnya seperti Kelantan dengan pelbagai dakyah agar pengundi termakan dengan tipu muslihat mereka.

==>> Lagi berita klik disini

Terkini ia menganjurkan kempen melalui penganjuran apa yang dikenali Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar yang berakhir semalam (18 Februari).

Apa motif penganjuran Multaqa tersebut?

Mungkin jawapannya boleh dirungkai oleh Pengerusi BN, Abdullah Ahmad Badawi, tetapi persoalannya kenapa ia dianjurkan hampir kepada waktu penamaan calon, atau dengan kata lain negara akan mengadakan pilihan raya pada 8 Mac nanti sedangkan beliau sekarang ini bukan lagi menjawat jawatan Perdana Menteri.

Ini kerana selepas pembubaran Parlimen, negara ditadbir oleh kerajaan sementara yang sepatutnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang akan bertanding nanti, maknanya mana-mana program penting tidak boleh dianjurkan apatah lagi dirasmikan oleh mana-mana pihak, kerana tindakan itu boleh disifatkan sebagai mencabuli hak rakyat yang mahukan demokrasi.

Semua pihak yang peka dengan perjalanan sistem pentadbiran negara begitu memahami makna tersirat penganjuran Multaqa tersebut, ia tidak lain untuk mendapatkan 'political mileage' BN kerana pendekatan Islam Hadhari jelmaan PM sudah dilihat sebagai satu agama baru. Seorang berbangsa Cina baru-baru ini mahu masuk Islam Hadhari, kerana ia lebih mudah daripada Islam sebenar. Ini kerana pemimpin Islam Hadhari tidak mewajibkan para isteri bertudung kepala, yang penting bagi orang awam, perkataan Islam tetap ada dalam konsep jelmaan mereka.

Peserta Multaqa menerima konsep Islam Hadhari?

Benar atau tidak para peserta menerima konsep tersebut, ia terserah kepada pengetahuan Allah SWT yang telah menurunkan Islam yang sebenar melalui lidah baginda Rasulullah s.a.w.

Tetapi apa pendekatan Islam Hadhari yang cuba diperjuangkan oleh PM? Benarkah semua menteri, wakil rakyat, ahli Parlimen Umno dan BN menerima pakai konsep itu? Kenapa di negara-negara OIC lain tidak ada istilah Islam Hadhari termasuk Mesir, di mana ramai ilmuan al-Azhar menjadi peserta Multaqa, tidakkah mereka tidak tahu mengenainya supaya dapat diperkenalkan di negara mereka?

Apa yang menghairankan kita, ramai di kalangan rakyat Malaysia yang merupakan graduan al-Azhar tetapi tidak dijemput secara rasmi. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin, Dr Mahfodz Mohammad dan ramai lagi tokoh-tokoh bukan sahaja dalam PAS, begitu juga para pensyarah univeriti tempatan.

Persoalan Islam Hadhari yang hanya digunakan secara popular istilahnya di Malaysia, Pengerusi BN sepatutnya menjemput mereka ini bagi membincangkan dalam satu forum yang disaksikan oleh peserta Multaqa dengan tajuk cadangan seperti Islam Hadhari lawan Hadharah Islamiah.

Pihak BN boleh mengemukakan soalan, kenapa PAS dan ramai lagi ahli akademik di Malaysia dan juga saudara-saudara baru (golongan mualaf) tidak bersetuju dengan penggunaan pendekatan istilah itu, mereka lebih tahu daripada psereta yang disajikan omong-omong kosong yang sebarnya hanya gimik politik kotor Umno dan BN.

Tetapi apa sebenarnya pembangunan yang hendak dilaksanakan dalam pendekatan konsep Islam Hadhari?

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Abdul Shukor Husin turut membentangkan kertas kerja pada Multaqa tersebut menumpukan kepada pembangunan rohani yang seimbang.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, membentangkan kertas bertajuk 'Pendekatan Islam Hadhari: Pengalaman Malaysia'.

Pembangunan berdasarkan pengalaman di Malaysia sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu, dapat dilihat menerusi cara hidup orang Islam yang semakin kritikal bergelumang dengan hiburan melampau, penampilan mereka bagaikan macam orang bukan Islam, percampuran lelaki dan perempuan bebas tanpa batasan, boleh kita katakan, bahawa hati-hati orang Islam menuju ke arah kematian dan kekerasan akibat tidak ditarbiah dengan program-program agama.

Pembangunan yang sepatutnya diberi perhatian terlebih dahulu, ialah pembangunan insan dengan aspek agama dalam segenap agenda hidup mereka secara menyeluruh, ia dapat dijelmakan melalui cara berfikir, berpolitik, berkeluarga, bermasyarakat, berpakaian, penampilan diri yang sukses dengan Islam ke arah pencapaian sahsiah jati diri Muslim sebenar yang hanya memhambakan diri kepada Allah dan bukannya selain-Nya.

Pembangunan insan yang menjelamakan kalimah tauhid 'Tiada Tuhan melainkan Allah - iaitu manifesto yang juga menyakini bahawa tiada undang-undang melainkan undang-undang Allah', jika ia tidak dapat dilakukan, maka pilihlah salah satu daripada dua konsep yang pernah disebut oleh para ulama Islam - 'Ambillah Islam semuanya, atau tinggalkan Islam semuanya'. Mudah-mudahan Muslim tidak terkeliru dengan dakyah mereka yang mengkhianati Islam. - lanh

0 comments:

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: