Recent Posts

Recent comments

Puteri sulung Anwar, Izzah berdepan Sharizat di Lembah Pantai

|

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Kerusi P.121 Lembah Pantai menjadi tumpuan anak-anak muda dan pihak media dalam penamaan calon yang mempertaruhkan puteri sulung Dato' Seri Anwar Ibrahim, iaitu Nurul Izzah, 28, yang mewakili parti KeADILan untuk melawan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Seri Sharizat dan calon bebas Periasamy A/L Nagartham.

==>> Lagi berita klik disini

Berpuluh-puluh wartawan dan juru gambar membuat liputan di tempat berkenaan beserta kira-kira seratus anggota polis berkawal di tempat berkenaan.

Seawal 8.00 pagi, penyokong-penyokongnya membawa bendera KeADILan dan poster Nurul Izzah ke pusat penamaan calon iaitu di Kompleks Sukan Bangsar, Bangsar dekat sini, hari ini.

Suasana menjadi tambah meriah apabila Nurul tiba di pusat penamaan calon tersebut kira-kira jam 9.00 pagi.

Nurul yang berkebaya labuh berwarna 'silver' serta berbunga-bunga kecil hitam dan bertudung diiringi suaminya Raja Shahrir Raja Salih, bapanya, Anwar dan adik-adiknya.

Bagaimanapun mereka semua tidak masuk ke dewan tetapi berada bersama-sama kira-kira 500 penyokong.

Nurul masuk ke dewan diiringi seorang peguam, Edmund Bon, penyokongnya, Md Zamir Tasi dan pencadangnya, Norleha Ghani.

Proses penamaan calon mengambil masa hampir tiga jam kerana berlaku dua bantahan.

Bagaimana Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Najib Muhamad berkata kedua-dua bantahan ditolak.

Apa yang menarik perhatian, Nurul yang sentiasa tersenyum dicium oleh Shahrizat bagaikan seorang ibu dan anak selepas diumumkan namanya sebagai calon di Lembah Pantai oleh pegawai SPR di luar dewan.

Suasana bertambah gamat apabila Nurul berjalan keluar dewan sebaik saja proses penamaan calon selesai.

Laungan "takbir", "Nurul, Nurul", dan "reformasi" bergema ketika Nurul berjalan menuju kepada penyokongnya yang berada di jalan raya sebelah kanan dewan.

Beliau disambut oleh bapa dan suaminya yang menantinya tanpa berganjak sejak awal hingga selesai proses penamaan calon.

Sementara itu penyokong BN yang berkumpul di kiri dewan lebih banyak menyanyi lagu 'Inilah Barisan Kita' semasa mereka menanti Shahrizat.

Jumlah penyokong BN hampir sama dengan penyokong Nurul.

Nurul yang ditemui di komplek tersebut berkata beliau akan memfokus kepada perjuangan nasib rakyat di Lembah Pantai.

"Sebagai seorang anak muda yang dilahirkan di Universiti Hospital, Petaling Jaya dan dibesarkan di sini dan sekarang dapat cahaya mata yang akan dibesarkan di kawasan ini, saya amat prihatin dengan kehidupan rakyat di sini," katanya.

Katanya, beliau bercita-cita untuk perjuangkan nasib rakyat bagi memastikan jurang ekonomi yang wujud secara jelas di Lembah Pantai.

Katanya, pembangunan yang berlaku di kawasan tersebut tidak mengambil kira mereka yang berada di bawah paras kemiskinan.

Sementara itu, Anwar yang sampai ke kompleks itu pagi tadi setelah menemani isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam berkata, beliau bersyukur kerana anaknya komited dalam perjuangan biarpun terpaksa menghadapi risiko yang amat perit, lebih-lebih lagi dalam negara seperti Malaysia ini.

"Saya berbangga dan akan cuba memberi pandangan," katanya setelah Nurul bersetuju untuk menjadi calon.

Katanya, beliau tahu BN akan menggunakan jentera kerajaan, membuat penipuan dan sebagainya untuk menang.

Namun katanya isu yang dibawa bukan soal nasi lemak dan minuman percuma tetapi masalah seperti perumahan rakyat, pengangguran, masalah harga barang, masalah majoriti penduduk miskin di Lembah Pantai yang perlu difikirkan.

Mengulas mengenai, persetujuan anaknya menjadi calon untuk Lembah Pantai, beliau berkata anaknya itu dilahir, dibesarkan dan bersekolah di Lembah Pantai.

Sementara itu suaminya, Raja Shahril berkata, sebagai suami beliau berbangga dan akan memberi sokongan dan semangat kepada Nurul.

Malah katanya, beliau akan turut bertungkus lumus berkempen secepat mungkin.

Katanya walaupun sebelum ini beliau keberatan untuk melepaskan Nurul bertanding tetapi atas pemintaan penyokong-penyokong beliau melepaskannya.

"Sebenarnya selama tiga hari berfikir baru saya membuat keputusan untuk membenarkannya,

"Ini kerana kita mengambil mandat rakyat bukan soal untuk mendapat pulangan, dan apa-apapun pengorbanan perlu difikir secara serius. Beliau akan cuba memberi manfaat sebaik mungkin kepada rakyat," katanya. - mns

0 comments:

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: