KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusuf menyifatkan kenyataan calon Barisan Nasional Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang cuba membangkitkan wujudnya nepotisme di kalangan pembangkang menggambarkan kerisauannya dengan suasana pencalonannya di Rembau.
==>> Lagi berita klik disini
Jelas Sabki, Khairy mungkin cuba mempertahankan dirinya kerana berasakan dirinya diserang sewaktu dia menjadi calon pilihan raya dalam usia yang masih hijau dalam politik.
Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS.
"Saya percaya dia akan mendapat tentangan daripada calon KeADILan, Badrul Hisham. Dan beliau sendiri berasakan isu dirinya sudah menjadi 'liabiliti' dan menunjukkan dia bersedia diserang secara peribadi.
"Jika dia tidak mempunyai masalah peribadi, dia tidak akan mengatakan dia bersedia diserang secara peribadi. Kita juga tahu penglibatan dia dalam banyak transaksi kewangan dan ini merupakan beban besar untuk dijawab dalam pilihan raya,"katanya.
Jelasnya, sekiranya Barisan Nasional memenangi pilihan raya, sudah pasti Abdullah akan menjadi Perdana Menteri. Dan sebagai menantu pastinya lebih menghampiri 'coridor of power'.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohamad Shahir yang turut serta dalam sidang akhbar tersebut berkata, pertama kali dalam sejarah Umno, menantu dan bapa mertua bertanding serentak dalam pilihan raya.
"Jika dilihat dahulu Dato' Seri Najib bertanding pilihan raya setelah ayahnya Tun Abdul Razak meninggal dunia. Begitu juga dengan Dato' Hishamuddin yang terlibat dalam politik setelah ayahnya meletak jawatan. Begitu juga dengan pencalonan Mukhriz setelah Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
"Tetapi keadaan ini berbeza dengan Abdullah yang mana pada masa yang sama menantu dan bapa mentua bertanding dalam pilihan raya,"katanya.
Katanya, walaupun terdapat kalangan anak-anak pimpinan PAS yang disenaraikan sebagai calon seperti anak Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anak Dato' Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kedua-dua mereka digugurkan daripada senarai tersebut atas arahan kedua-dua ayah mereka.
"Kedua-dua anak pimpinan ini tidak akan bertanding dalam pilihan raya selagi ayah mereka memegang jawatan dalam parti,"katanya.
Khairy sewaktu penamaan calon di Dewan Merdeka, Seremban semalam sebagaimana dilaporkan berkata beliau tidak gentar dirinya menjadi momokan pembangkang.
Malah beliau mempersoalkan ada di kalangan calon parti pembangkang yang mempunyai pertalian keluarga seperti anak dan ayah serta anak dan ibu yang menyertai pilihan raya.
0 comments:
Post a Comment