KOTA BHARU, 24 Feb (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) perlu menunjukkan terlebih dahulu negeri-negeri yang telah dirawatnya sebelum beria-ia hendak merawat Kelantan.
==>> Lagi berita klik disini
Calon PAS Dun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi berkata, BN sebenarnya tersilap langkah apabila memilih tema 'Tahun Merawat Kelantan' kerana tema tersebut nyata memakan dirinya.
"Tahun Merawat Kelantan adalah suatu tema yang tidak relevan dengan situasi di Kelantan sekarang, dan saya yakin rakyat Kelantan lebih bijak daripada apa yang Umno-BN sangkakan,"katanya semasa ditemui Harakahdaily selepas pencalonan pagi tadi.
Beliau yang pertama kali bertanding pada pilihan raya umum ini meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk menang pada kali ini.
Ditentang oleh Mohd Rosdi Abdul Aziz, Che Abdullah melihat peluang yang cerah di Wakaf Bharu dengan perubahan sokongan orang bukan Melayu kepada PAS.
"Saya nampak peluang ada, dengan semangat baru di kalangan pengundi muda dan bukan Melayu meskipun bilangan mereka sekadar lebih kurang 10 peratus sahaja,"katanya.
Begitupun, dengan kelebihan isu kenaikan harga barang yang sedang melanda sekarang ini, Che Abdullah mahu pengundi menilai masalah tersebut dengan sebaiknya untuk kebaikan generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan kemungkinan akan wujud penipuan pada pilihan raya umum kali ini.
Penamaan yang berlangsung pagi tadi bertempat di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN.
Kira-kira 5,000 penyokong PAS berkumpul di kiri pusat penamaan serta pekarangan Masjid Ismaili Tumpat dengan laungan zikir dan takbir.
Manakala 1,000 penyokong Umno-BN pula berada di bahagian kanannya yang dibarisi oleh puteri-puteri Umno bersorakan sambil diawasi dengan ketat oleh pasukan polis dan FRU yang bertugas menjaga ketenteraman. - mks.
0 comments:
Post a Comment