APAKAH perkara paling menonjol sepanjang kempen pilihan raya umum di Malaysia? Mungkin ramai bersetuju bahawa perang poster di kalangan parti politik bertanding amat menarik.
Walaupun kempen pilihan raya boleh dilakukan dengan cara mengedarkan risalah dan surat, ceramah tertutup dan umum serta bersemuka dengan pengundi dari rumah ke rumah, memasang poster dan bendera masih menjadi pilihan utama.
Persimpangan dan bulatan jalan raya, tiang lampu dan pokok adalah antara tempat yang sering menjadi tumpuan petugas parti untuk meletakkan poster dan bendera parti. Ada yang lebih hebat dengan membina papan tanda besar untuk ditampal poster.
Walaupun tidak boleh bercakap, lebih banyak bendera dan poster di sesuatu kawasan, maka parti terbabit dikatakan mempunyai pengaruh lebih kuat.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Rahman, sendiri mengakui kehebatan perang poster pada pilihan raya umum di negara ini yang kadang-kadang menimbulkan pelbagai masalah.
Beliau yang menyertai SPR pada 1979 sebagai Setiausaha dan dilantik sebagai Pengerusi pada 2001 berkata, keadaan itu wujud sejak pilihan raya sebelum merdeka lagi sebagai antara cara berkempen.
“Keadaan itu berterusan hingga sekarang. Bagaimanapun, keadaan sekarang lebih teruk. Pilihan raya belum tahu lagi, poster sudah dipasang dan bendera terpacak di sana-sini,” katanya ketika ditemui Berita Minggu.
Abd Rashid berkata, keadaan ini tidak berlaku di negara lain yang pernah dilawatinya seperti ketika pilihan raya umum Australia, baru-baru ini.
Katanya, susah hendak jumpa poster dan bendera hingga seolah-olah tidak berada dalam suasana pilihan raya.
“Bagaimanapun apabila tiba hari pengundian, penduduk Australia berduyun-duyun keluar mengundi dengan peratusan keluar mengundi sangat tinggi, iaitu lebih 95 peratus kerana mengundi di sana adalah wajib,” katanya.
Beliau berkata, kadang-kadang keghairahan memasang poster dan bendera menimbulkan pergaduhan apabila sesuatu parti menguasai sepenuhnya tempat strategik dengan poster dan bendera, petugas parti lawan akan mengoyakkan untuk digantikan dengan poster dan bendera mereka.
Selain itu, katanya poster dan bendera menimbulkan masalah kekotoran apabila tidak dibersihkan selepas pilihan raya selesai.
Katanya, ini yang menyebabkan SPR mengenakan deposit RM5,000 bagi kawasan Parlimen dan RM3,000 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk memasang poster dan bendera.
Sementara itu, Abd Rashid mengakui bahawa tahap pengetahuan pengundi sekarang adalah tinggi, tetapi pada masa sama undi rosak masih berlaku.
“Ada yang sengaja menconteng kertas undi, melukis gambar dan ada yang saya sendiri tidak sanggup melihat (perkataan lucah). Mereka bukan tidak tahu, tetapi buat begitu kerana tidak sukakan calon parti yang disokong, tetapi tidak mahu menyokong parti lawan,” katanya.
Sementara itu berbanding golongan muda dan penduduk bandar, katanya pengundi berumur antara 40 hingga 50 dan penduduk kampung adalah paling ramai keluar mengundi.
“Pada hari pengundian, kita boleh lihat pengundi dewasa keluar awal mengundi. Pengundi muda sudahlah tidak ramai, kalau datang pun lewat petang.
“Saya melihat keadaan ini kerana sebahagian rakyat, terutama golongan muda berasa selesa dengan kemajuan negara hingga tidak berasakan mengundi dalam pilihan raya penting untuk masa depan mereka dan negara,” katanya.
Sebagai orang berpengalaman dalam pengendalian pilihan raya, katanya ada perbezaan jika hendak membandingkan semangat kakitangan kerajaan mengendalikan pilihan raya umum dulu dan sekarang.
“Dulu mereka tidak sabar-sabar menunggu kedatangan pilihan raya umum. Tak ada elaun pun tidak mengapa. Sekarang segala-galanya wang. Saya bukan kata semua, tetapi segelintir kakitangan. Secara keseluruhan petugas pilihan raya bekerja bersungguh-sungguh dan cekap,” katanya.
0 comments:
Post a Comment