KAJANG, 24 Feb (Hrkh) - Sekali lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat onar apabila bertindak mengumumkan calon-calon yang bertanding di Parlimen Hulu Langat tanpa memperkenalkan calon daripada PAS.
==>> Lagi berita klik disini
Apabila proses bantahan ditutup, calon yang bertanding akan dibawa dan diumumkan di Stadium Kajang yang disaksikan para penyokong masing-masing, calon BN terlebih dahulu dibenarkan keluar dari tempat penamaan calon.
Proses penamaan calon dibuat di Dewan Bandaraya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersebelahan Stadium Kajang.
Pegawai Pengurus SPR (RO) mengiringi calon BN kemudian terus mengumumkan calon yang bertanding tanpa menunggu calon PAS untuk diperkenalkan di tengah-tengah penyokong mereka.
Bagaimanapun, ketika itu kedua-dua calon PAS iaitu Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat dan Dun Dusun Tua Mohd Sani Hamzan masih berurusan dengan pihak SPR, menyebabkan mereka agak kebelakang kira-kira lima minit.
Sebaik sahaja calon PAS tiba di astaka stadium, pegawai SPR selesai mengumumkan calon yang bertanding, keadaan ini membuatkan calon PAS tidak berpuas hati.
Mohd Sani kesal atas sikap pegawai SPR yang tidak adil dalam memperkenalkan calon terutama dari PAS.
Beliau berkata, mereka kelewatan kira-kira lima minit kerana mereka ada urusan menandatangani borang dan surat menyurat dengan SPR.
"Ini soal keadilan, untuk memperkenalkan calon sekali pun, sepatutnya mereka menunggu kami bersama-sama untuk memperkenalkan calon yang mana kami ada di dalam dan urusan yang belum selesai," tegas beliau.
Katanya, SPR sekali lagi menunjukkan budaya yang tidak sihat dan tidak profesional dalam soal memperkenalkan calon.
"Baru kita nak memperkenalkan calon, SPR sudah tunjuk sikap yang biadap dan tidak bertamadun yang ditunjukkan oleh pengurus pilihan raya Hulu Langat," katanya dengan nada marah.
Beliau mempersoalkan, jika mereka boleh menunggu tiga jam di dalam dewan semasa penamaan calon kenapa SPR tidak boleh menunggu mereka selama lima minit.
Dalam pada itu, Calon PAS Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat melahirkan kekecewaan atas sikap SPR yang berat sebelah dalam memperkenalkan calon.
Katanya, kelewatan berlaku kerana ada urusan menandatangani borang dan surat menyurat dengan pihak SPR.
Calon KeADILan Dun Kajang, Lim Kit Seng berkata, kelewatan mereka kerana ada urusan dengan SPR yang mana ia tidak seharusnya berlaku.
Katanya, SPR telah keluarkan notis untuk pegawai di kawasan pilihan raya bahawa mereka harus uruskan permit untuk berkempen selepas ini.
"Untuk mendapatkan permit kita kena pergi ke Shah Alam kemudian balik semula ke MPKj bagi mendapatkan lesen barulah boleh mengeluarkan bahan-bahan kempen," katanya.
Justeru, katanya, sikap yang ditunjukkan SPR memang tidak profesional dalam membuat keputusan .
"SPR bagi notis yang suntuk sehingga menyusahkan proses untuk pencalonan," katanya.
Menurut seorang petugas SPR yang ditemui, berkata, biasanya calon yang bertanding khususnya parti yang berlainan mereka akan diarahkan keluar berasingan, sama ada parti kerajaan mendahului ataupun pembangkang.
"SPR akan arahkan salah satu parti akan keluar dahulu, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, tetapi biasanya parti kerajaanlah yang keluar dulu," katanya yang enggan dikenali.
Kira-kira 3,000 para penyokong BA berarak mengiringi calon mereka ke Majlis Bandaraya Kajang (MPKj), mereka ditempatkan di dalam Stadium Kajang begitu juga para penyokong BN.
Bagaimanapun keadaan penyokong terkawal dan tidak ada insiden yang berlaku, penyokong BA ditempatkan sebelah kiri dan BN pula ditempatkan sebelah kanan stadium.
Terdapat empat bantahan yang dikemukakan oleh PAS, bagaimanapun ia telah ditolak oleh SPR. - mks.
0 comments:
Post a Comment