KUALA LUMPUR, 22 Feb. (Hrkh) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menuntut kehadiran sekurang-kurangnya seorang wakil pelajar sebagai Senator di Dewan Negara selepas pilihan raya umum ke-12 akan datang.
==>> Lagi berita klik disini
"Ini semua adalah suatu kaedah terbaik bagi memastikan segala permasalahan kaum pelajar di negara ini dapat dibincangkan secara lebih terbuka dan sihat menerusi saluran yang lebih kuat," kata Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media mengenai 'Pengisytiharan Dokumen Pilihan Raya Umum Ke-12' yang dipersetujui oleh kira-kira 20 buah pertubuhan pelajar termasuk lima orang bekas pimpinan pelajar Majlis Perwakilan Pelajar tahun lalu.
"Sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak diendahkan oleh pihak atasan, maka kami semua akan melakukan tindakan yang lebih agresif bagi tujuan mencapai maksud kami.
"Semua tuntutan ini perlu dilaksanakan segera. Jika tidak, masalah-masalah kaum pelajar akan lebih banyak dan semakin banyak isu yang gagal diselesaikan," kata beliau sambil memperincikan 13 tuntutan lainnya.
Selain syor wakil pelajar sebagai Senator Dewan Negara, badan pelajar itu membariskan hal seperti usaha membasmi program hedonisme, pindaan Auku, menolak kewujudan IPT berteraskan kepartian, autonomi universiti, mewajibkan ilmu falsafah, biasiswa, internet percuma, mengelak istilah pro kerajaan-pembangkang, prejudis kepada dakwah IPT, tema Islamisasi dijadikan teras universiti dan mendaulatkan bahasa Melayu.
"Tetapi, antara tuntutan pelajar yang terpenting adalah usaha mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
"Kami akan menemui kerajaan untuk membincangkan kembali hal-hal ini," kata Mohd Hilmi.
Hari Pelajar
Dalam sidang media itu juga, Mohd Hilmi berkata, PKPIM turut mengesyorkan kerajaan akan datang dapat mengisytiharkan Hari Pelajar sebagai satu penghargaan ke atas pelajar di negara ini.
"Kami akan berbincang dengan lebih lanjut kepada kerajaan mengenai tarikh-tarikh yang boleh dipersetujui bersama untuk kepentingan semua pihak," kata beliau.
0 comments:
Post a Comment