KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Ramai pemerhati politik melihat pilihan raya ke-12 pada 8 Mac ini akan mencetuskan suatu kejutan pada senario politik tanah air.
==> Lagi berita klik disini
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, pada pusingan awal episod pilihan raya kali ini, rakyat dikejutkan dengan tindakan penipuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan menafikan tarikh pembubaran parlimen pada 13 Feb, sebaliknya mengumumkannya pada tarikh tersebut.
"Apa yang saya lihat, inilah pilihan raya di mana Perdana Menteri berada pada tahap defensif akibat tergugat dengan manifesto pembangkang apatah lagi dibelenggu dengan kebanjiran isu-isu yang tidak pernah terjawab," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tambahnya, Umno-BN cukup terdesak dengan situasi sekarang dengan masalah-masalah dalam negara yang masih tidak berpenghujung.
"Umno-BN kini sangat bimbang dengan kenaikan harga minyak, masalah keselamatan dengan peningkatan kadar jenayah, kelemahan pentadbiran negara serta sistem kehakiman yang diragui," katanya.
Justeru, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian membuat kesimpulan tindakan Umno-BN yang membuat serangan kepada PAS Kelantan adalah bukti keterdesakan mereka.
"Mereka melancarkan Tahun Merawat Kelantan di saat Sultan Kelantan melancarkan Tahun Melawat Kelantan 2008. Ia seolah-olah merosakkan salah satu daripada program Tahun Melawat Malaysia yang dirancang di bawah Kementerian Perlancongan," ujarnya lagi.
Tegasnya, walau apapun bentuk serangan yang dibuat ke atas Kelantan, beliau yakin rakyat Kelantan bijak berpolitik bagi menilai segala tindak-tanduk Umno-BN ke atas PAS.
"Rakyat Kelantan tidak akan mudah termakan dengan segala tohmahan yang dilemparkan oleh Umno-BN kerana mereka amat bijak berpolitik," ujarnya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai isu 'caretaker government' atau kerajaan sementara, Salahuddin menyatakan bahawa ia tidak pernah wujud.
Walau apapun, tegasnya kerajaan sementara itu mestilah wujud dengan menampilkan kewibawaannya sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara lain seperti negara Eropah dan Asia Tenggara daripada sudut ketelusannya.
"Malangnya, ia tidak pernah wujud kerana menteri-menteri masih lagi menggunakan portfolio untuk berkempen. Ini bertentangan dengan konsep 'caretaker government'," tambahnya lagi.
Tambahnya, teras kepada 'caretaker government' adalah pengamalan media yang merupakan antara teras terpenting untuk memberikan hak yang sama rata kepada semua parti politik yang bertanding.
"Namun kebebasan media tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara ini," katanya, kesal.
Jelasnya, keadaan tersebut adalah disebabkan oleh Umno-BN menggunakan media sebagai jentera penerangan dan kempen bagi memastikan rakyat terus ditipu dengan segala propaganda yang dimainkan oleh mereka. - mns
0 comments:
Post a Comment