Recent Posts

Recent comments

Masa depan demokrasi bergantung kesedaran rakyat

|

Dalam sebuah hadis pernah disebutkan bahawa hakikat pemimpin ini adalah hamba atau khadam bagi rakyatnya. Dalam tempoh menjelang pembubaran Parlimen ini, kita melihat ada baiknya hadis ini kembali diperingatkan semula dengan tujuan bermuhasabah ke atas politik kita mutakhir ini.

==>> Lagi berita klik disini

"Pemimpin sesuatu kaum itu adalah khadam bagi kaumnya (rakyatnya)" (Riwayat Al-Hakim & Abu Nuaim)

Daripada maksud hadis ini, bayangkan rakyat sebagai majikan dan pemimpin itu sebenarnya adalah khadam, hamba dan pekerja. Misalkan juga 'curiculum vitae' seorang pekerja itu bagaikan manifesto dan tempoh temuduga adalah seumpama tempoh kempen.

Soalannya sekarang, adakah layak seorang pekerja, hamba dan khadam bawahan dengan tiba-tiba berasa begitu berkuasa hingga mampu membuat hukum peraturan pemilihan kerjayanya mengikut kadar pertimbangan dan sukatan pemikirannya sendiri?

Bukankah semua keputusan itu; membaca manifesto (resume atau curiculum vitae), menetapkan tempoh berkempen (temuduga) adalah hak rakyat selaku majikan? Tetapi, kaedah agama ini terbalik dan sudah tidak lagi dipedulikan masyarakat, khasnya bagi mereka yang mengaku berada dalam negara Islam dan mentadbir berdasarkan ukuran piawai Islam Hadhari.

Tuntutan Bersih belum dipenuhi

Bagaimana dengan tuntutan Bersih yang masih belum dipenuhi? Khasnya, isu yang terbaru mengundang keraguan rakyat di mana wujudnya 1,031 pengundi pos di Dun Belantek, Kedah. Sudah tentu hal ini menunjukkan bahawa beberapa tuntutan Bersih masih belum ditunaikan oleh SPR. Undi pos masih wujud.

Apakah dengan keadaan SPR yang tidak serius ini memungkinkan pihak istana dapat bersetuju dengan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membubarkan Parlimen? Walhal, umum mengetahui bahawa dalam masa yang sama, Bersih yang mewakili rakyat prihatin ini masih lagi menemui banyak kelemahan dalam pengurusan SPR?

Dalam keadaan beberapa tuntutan yang masih belum ditunai ini, apakah lagi harapan Bersih dan rakyat yang bercita-cita mahukan kelahiran sebuah pilihan raya yang benar-benar adil, telus dan jujur?

Selepas gambar wajah Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dikoyak, apakah lagi bahan-bahan bercetak milik SPR yang boleh dikoyak? Kita jangan mati akal hendaknya.

Kertas undi perlu dikoyak

Mungkin ada pula segolongan pengundi yang bersatu hati, mengoyak kertas undi ketika proses pembuangan undi sedang berjalan. Itu pun jika wujud kesepakatan antara para pengundi seluruh negara dan dalam masa yang sama masih jelas kelihatan tuntutan itu belum lagi terlaksana.

Kalau kita meneliti susur-galur sejarah perjalanan pilihan raya di negara ini, kita akan dapat melihat lebih banyak ketelusan tercipta sejak awal pemerintahan. Contohnya, soal tempoh berkempen yang lebih panjang dan akses media yang lebih mesra kepada pihak pembangkang.

Berdasarkan fakta yang ditemukan dalam SPR, didapati pilihan raya kita bermula seawal 1801 di negeri-negeri Selat Tanah Melayu melalui penubuhan Jawatankuasa Sementara yang dinamakan Jawatankuasa Penilai (Committen of Assesors). Jawatankuasa ini bertanggungjawab ke atas aspek perancangan bandar mengikut kehendak penduduk setempat.

Bagaimanapun, pada ketika itu, tidaklah wujud ciri-ciri kerahsiaan ketika proses pengundian dijalankan. Hal ini ada kemungkinannya telah diwariskan kepada pengurusan SPR dengan bantuan pimpinan parti pemerintah hingga ke hari ini.

Isu penggunaan nombor siri sebagai kaedah mengesan pengundian calon adalah antara dakwaan yang sering dibangkitkan oleh sesetengah pihak.

Sejarah awal pilihan raya kita

Ertinya, seawal 1801, dalam pilihan raya di bawah seliaan British, ciri kerahsiaan telah terbatal. Para pengundi perlu menulis nama-nama calon yang hendak dipilih serta menuliskan namanya sendiri pada kertas undi dan menandatanganinya.

Kertas undi dihantar sendiri ke tempat pengundian di mana Sherif atau Timbalan Sherif akan menyemak kertas undi itu untuk mengesahkan kesahihan pengundi sama ada ia telah berdaftar atau tidak sebagai pengundi. Pengundi kemudiannya memasukkan kertas undi di dalam kotak tertutup yang ditetapkan.

Sementara itu, Pilihan Raya Perbandaran pertama telah diadakan di Pulau Pinang dan Melaka antara 5 hingga 20 Disember 1857.

Berhubung dengan persempadanan kawasan-kawasan pilihan raya tersebut, ia telah ditetapkan mengikut peruntukan di bawah The Straits Settlements Municipal Act No. XXVII, 1857.

Majlis Perbandaran Kuala Lumpur telah diadakan pada 1952. Di dalam pilihan raya itu, Umno-MCA, Parti Kemerdekaan Malaya dan calon bebas telah bertanding. Pertandingan itu telah menyaksikan kemenangan di pihak Umno-MCA sebanyak 9 kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara itu, pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan diadakan pada 27 Julai 1955 bagi membolehkan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Kerajaan sementara sebelum mendapat kemerdekaan.

Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Persempadanan Bahagian, sebanyak 52 bahagian pilihan raya telah dikenalpasti. Pada ketika ini, urusan pendaftaran pemilih bermula pada 18 Oktober 1954 (29 Oktober di Terengganu) dan dijadualkan tutup pada 16 November, tapi ia dilanjutkan sehingga 1 Disember 1954.

Sebanyak 1.28 juta pemilih telah berdaftar dan selepas dipamerkan selama 14 hari untuk dibuat tuntutan dan bantahan, daftar tersebut telah disahkan. Anggota tentera dan polis telah berdaftar sebagai pengundi tidak hadir.

Tujuh ribu petugas, termasuk Pegawai dan Penolong Pegawai Pengurus, dilantik dan diberi latihan untuk menjalankan pilihan raya. Filem latihan bertajuk A Model Polling Station , taklimat dan arahan bertulis telah digunakan semasa latihan.

Seramai 129 calon yang terdiri daripada 111 calon dari tujuh parti politik dan 18 calon bebas, mengemukakan kertas penamaan calon pada 15 Jun 1955. Menariknya, pada ketika itu tempoh kempen telah ditetapkan selama enam minggu atau 42 hari walaupun serangan komunis masih mengganas!

Tempoh kempen lebih panjang, mesra media

Menariknya di sini, dapat kita perhatikan bagaimana parti-parti politik di Australia mempunyai tempoh kempen yang panjang, selama 42 hari (enam minggu) sebagai suatu saluran untuk menyalurkan maklumat-maklumat kepada para pengundi mereka.

Sedangkan, Malaysia adalah antara negara Komanwel yang memakai warisan pentadbiran Inggeris seperti Australia.

Pernah berlaku sebelum ini, pilihan raya dijalankan selama lima minggu (35 hari) pada 1959, 1964, dan 1969 selepas merdeka dan tempoh itu dipanjangkan selama dua minggu dalam pilihan raya 1974, 1978 dan 1982.

Pilihan raya di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad (1986, 1990, 1995 dan 1999) menyaksikan tempoh kempen pilihan raya selama sembilan atau sepuluh hari saja.

Tapi dalam pilihan raya 2004, tempoh pilihan raya menjadi antara yang terpendek; lapan hari saja atau lebih tepat tujuh setengah hari. Nampaknya, makin lama, amalan demokrasi semakin terhakis menipis.

Ketika pilihan raya terawal, bukan saja calon-calon diberikan ruang seluas-luasnya dengan memanjangkan tempoh kempen, malah calon-calon parti berpeluang menyampaikan mesej mereka melalui Radio Malaya.

Dalam babak pertarungan pertama kali ini publisiti mengenai mereka telah pun dibuat lebih awal, iaitu pada Februari 1954.

Proses pengundian telah diadakan selama 12 jam dari 7 pagi sehingga 7 malam atau 8 pagi hingga 8 malam. Di Terengganu, masa pengundian dimulai 10 pagi hingga 10 malam untuk membolehkan nelayan yang baru pulang dari laut untuk mengundi dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, tempoh masa mengundi di beberapa kawasan darurat telah dipendekkan. Hal ini mungkin disebabkan faktor keselamatan.

Mengenangkan fakta-fakta inilah, maka dalam beberapa tuntutan Bersih, antara seruan mereka ialah tempoh kempen pilihan raya harus dipanjangkan selama 21 hari (tiga minggu).

Jarak masa ini, adalah separuh daripada tempoh masa berkempen pada 1955 (pilihan raya pertama), iaitu 42 hari (enam minggu).

Semua ini, menurut Bersih adalah penting untuk memberikan laluan kepada para pengundi bagi mengenali calon-calon sekali gus sebagai suatu cara untuk memudahkan persembahan manifesto parti-parti ini menjelang pilihan raya.

Peranan Harakah menjelang Pilihan Raya Umum

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah Ahmad Lutfi Othman ketika mengulas amalan SPR ketika ini berkata, ada beberapa hal yang perlu disemak semula dalam usaha menyemarakkan semula nafas demokrasi di negara ini.

Menurut beliau, sebagai suatu cara untuk memberikan pendidikan ke arah perjalanan demokrasi yang lebih bersih, Harakah telah pun menyusun beberapa risalah kempen secara percuma bagi mendedahkan kepincangan pilihan raya umum secara berterusan.

"Ada beberapa perkara yang akan dibangkitkan sebagai isu utama untuk diketengahkan kepada masyarakat tanpa mengira fahaman ideologi kepartian.

"Sasaran kita ialah mengenai hak-hak rakyat perlu dipenuhi. Misalnya, kita akan persoalkan semula mengenai kebenaran untuk mengadakan rapat umum, tempoh kempen yang wajib dipanjangkan, campur tangan pemerintah semakin ketara serta lain-lain lagi," kata Ahmad Lutfi.

Tambah beliau, proses pilihan raya mutakhir ini lebih parah jika dibandingkan dengan pilihan raya yang pertama kali dijalankan.

"Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sanggup meletak jawatan semata-mata kerana ingin menunjukkan keadilan kepada rakyat yang ingin mengundi. Sedangkan, dahulunya komunis masih mengganas dan perang senjata masih berterusan.

"Soalnya, kenapa rapat umum dibenarkan dan tempoh kempen boleh dipanjangkan pada ketika gawat itu? Antara lain, akses kepada media juga yang mesra kepada pembangkang. Dr Burhanuddin al-Helmy juga diberikan ruang berucap dalam media," kata Ahmad Lutfi.

Akhirnya, beliau menyeru kepada semua pihak yang cintakan amalan demokrasi agar dapat memberi sokongan kepada risalah kempen Harakah.

"Sokongan ini boleh ditunjukkan dengan cara anda menyebarkan risalah tersebut kepada semua pihak yang masih belum dapat membaca media-media alternatif," kata beliau.

.::Terima Kasih Harakahdaily || report broken link::.

0 comments:

Submit your feedback

Your e-mail address:

Subject:

Comments: