KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) -Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam respons awalnya terhadap pembubaran Parlimen hari ini menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak layak dipercayai lagi.
==>> Lagi berita klik disini Ini berikutan tidak sampai 24 jam, Abdullah mengumumkan kepada media tiada pembubaran Parlimen, sebaliknya membubarkannya hari ini. Abdullah juga dikatakan tidak konsisten dalam membuat sesuatu keputusan setelah melihat kenyataan-kenyataannya semalam menafikan berlakunya pembubaran Parlimen hari ini. Begitupun PAS tetap bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang dijangka akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, katanya. Laporan akhbar hari ini Abdullah secara berseloroh menyebut, "Tak jadi bubar esok (hari ini). Seronok khabar angin ini (tetapi) esok (hari ini) tak ada pembubaran Parlimen,". Abdullah juga menafikan kononnya mesyuarat mingguan Kabinet hari ini adalah yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan. Sambil ketawa ketika diajukan soalan sama ada Parlimen akan dibubarkan hari ini, Perdana Menteri berkata, mesyuarat mingguan Kabinet akan tetap diadakan seperti biasa hari ini. "Apa yang menyebabkan anda berfikir mesyuarat Kabinet itu adalah yang terakhir? Mesyuarat Kabinet ada lagi... ada lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus universiti itu di sini, semalam.
0 comments:
Post a Comment