Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mahu ahli-ahli Umno di kawasan-kawasan pilihan raya yang ditandingi parti-parti selain Umno - khususnya MCA, Gerakan dan MIC - keluar mengundi bagi menjamin kemenangan calon BN.
==>> Lagi berita klik disini
Ketika berucap di majlis Penerangan Isu-Isu Semasa anjuran Wanita UMNO Bahagian Seputeh, 20 Februari lalu Mat Taib mahu jentera Umno parti memastikan setiap pengundi Melayu di Bahagian Seputeh yang disifatkan sebagai 'deposit tetap' keluar mengundi BN pada pilihan raya 8 Mac ini.
"Kita mahu membentuk sebuah kerajaan yang kuat kerana dengan kerajaan yang kuat, BN boleh memerintah dengan kuat bagi menjayakan program pembangunan untuk rakyat," katanya.
Begitulah bersemangatnya Mat Taib untuk memastikan BN terus kuat dan relevan di mata rakyat.
Apa yang diperkatakan Mat Taib bukanlah sesuatu yang luar biasa. Di banyak kawasan pilihan raya, memang para pengundi Melayu-Umno lah yang bersemangat memberi kemenangan kepada calon-calon MCA, Gerakan, PPP malah MIC.
Pada pilihan raya umum 1999, Presiden MIC, Dato' S Samy Vellu tanpa segan silu menyatakan penghargaannya kepada para pengundi Melayu kerana 'menyelamatkan' beliau daripada tewas di Parlimen Sg Siput. Samy yang menang tipis pada waktu itu berkata: "Badan saya Umno, jiwa saya Umno, hati saya Umno..." Ungkapan yang menunjukkan bagaimana beliau begitu berterima kasih kepada ahli-ahli Umno kerana menyelamatkan kerjaya politiknya.
BN memang boleh utuh dengan sokongan Umno. Tetapi adakah BN yang kukuh itu membuktikan kukuhnya orang Melayu yang diwakili Umno? Jawapan ringkasnya tidak.==>> Lagi berita klik disini
Semakin kukuh BN, semakin lemah kedudukan orang Melayu. Lihat sahajalah keluhan Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid terhadap tuntutan-tuntutan orang Melayu yang tidak langsung dipedulikan BN khususnya Umno.
Dalam suratnya kepada Harakah, Azmi menulis:
Dikala isu tuntutan satu kaum di negara ini mendapat perhatian dan liputan luar biasa, kami bertanya apakah suara bangsa Melayu yang sudah sekian lama diketengahkan tidak diendahkan?
Jika benar pihak kerajaan peka dan mengambil berat kebajikan semua kaum di negara ini, kenapa ada perbezaan layanan tatkala kaum Melayu ingin membuat tuntutan yang sebenarnya jauh lebih munasabah dan rasional.
Suara Melayu yang menuntut agar pihak kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang sedia ada untuk membela nasib orang Melayu yang tertindas dan terpinggir tidak diendahkan.
Dalam hal ini tidak keterlaluan jika kami menganggap bahawa wujud semacam satu diskriminasi kepada bangsa Melayu sendiri tanpa disedari. Cuba lihat beberapa realiti berikut:
1) Masyarakat Melayu menuntut agar pengantar bahasa Inggeris untuk pengajaran Matematik dan Sains segera dikembalikan kepada bahasa Melayu. Suara ini datang bukan dari orang biasa malah dari golongan cendekiawan. Malah suara ini diungkapkan dalam perhimpunan parti pemerintah sendiri. Alasan bahawa negara perlu mendidik rakyatnya menguasai ilmu melalui bahasa Inggeris sudah dihujahkan sebagai tidak benar. Akan tetapi pihak berkuasa terus menolak tuntutan tersebut dan berbelanja jutaan ringgit untuk melaksanakan dasar yang bercanggah dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
2) Masyarakat Melayu juga menyuarakan kedudukan hartanah Melayu yang kini dihimpit pembangunan. Tanah milik orang Melayu menjadi sasaran pengambilalihan kerajaan bagi pihak pemaju. TRM (Tanah Rizab Melayu) terus menguncup apabila diambil untuk memberi laluan kepada pembangunan. Malah banyak TRM yang tidak diganti sedangkan ia suatu keperluan dalam Perlembagaan Persekutuan.
3) Sistem meritokrasi yang telah menghentikan pertimbangan kuota Melayu dalam kursus-kursus kritikal di IPT, kini telah mengakibatkan bilangan pelajar Melayu menurun. Suara beberapa ahli akademik Melayu yang meneliti wujudnya trend yang merugikan bangsa Melayu juga tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Atas nama persaingan, sistem ini dipaksakan ke atas orang Melayu walaupun ada cara lain yang boleh dilaksanakan agar orang Melayu tidak terus terpinggir.
4) Masyarakat Melayu juga gusar dengan dasar pemberhentian bantuan per kapita kepada SAR (Sekolah Agama Rakyat) yang diganti dengan pengambil-alihan melalui skim Sekolah Bantuan Kerajaan. Akan tetapi kehendak sekolah agama yang mahu berjalan sendiri terus dinafikan dari bantuan kewangan padahal pelajar yang berada di SAR adalah 100 peratus orang Melayu dan terbukti ada SAR yang cemerlang walaupun diuruskan sendiri oleh pihal lembaga masing-masing.
5) Masyarakat Melayu sangat gusar dengan bercambahnya lesen dan permit hiburan yang mengakibat generasi muda Melayu terjebak dengan acara hiburan tanpa henti. Sudah banyak aduan dan suara bantahan dibuat termasuk oleh mufti sendiri bagi mengawal program hiburan yang melampau. Namun ternyata suara ulama dan orang Melayu tidak diambil peduli.
6) Bila bangsa Melayu melahirkan suara bantahannya terhadap kumpulan yang biadap terhadap Islam dan institusi Islam di negara ini, orang Melayu dingatkan agar jangan fanatik dan bersikap esktrim. Padahal orang Melayu hanya mahu agar maruah agama dan bangsa tidak dipersenda oleh orang lain.
Demikianlah sebahagian rungutan orang Melayu yang tidak punya harga disisi pemerintah. Yang nyata pihak berwewenang tidak melihat suara bangsa ini perlu diambil perhatian serius.
Kami merasakan sebenarnya wujud diskriminasi yang lebih serius kepada bangsa Melayu. Hanya kerana pihak pemerintah merasakan bahawa orang Melayu tidak punya masalah besar untuk terus setia dengan status quo yang ada, maka mereka tidak merasa perlu mendengar rintihan bangsa Melayu.
Itulah sebenarnya realiti yang kita hadapi sekarang ini. Tetapi ia tidak langsung menginsafkan pemuka-pemuka Umno yang lebih berminat untuk terus berkuasa daripada melihat nasib bangsa terbela.
Semakin kukuh BN; semakin lemahlah orang Melayu!
0 comments:
Post a Comment